Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Jika tujuh orang solat jenazah, bagaimanakah kedudukan susunan saf? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, solat jenazah mengandungi empat takbir dan tidak boleh kurang daripada itu. Hal ini kerana tidak ada khilaf dalam kalangan fuqaha bahawa takbir dalam solat jenazah adalah rukun, dan tidak sah solat jenazah melainkan dengannya.

Hal ini adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَعَى النَّجَاشِيَّ فِي اليَوْمِ الَّذِي مَاتَ فِيهِ خَرَجَ إِلَى المُصَلَّى، فَصَفَّ بِهِمْ وَكَبَّرَ أَرْبَعًا

Maksudnya: “Rasulullah SAW mengumumkan kematian al-Najasyi pada hari kematiannya. Kemudian Baginda keluar menuju ke tempat solat lalu Baginda menyusun saf bersama mereka, dan bertakbir sebanyak empat kali.

Riwayat al-Bukhari (1245) dan Muslim (951)

Seterusnya dalam menjawab soalan di atas, Syeikh Abdullah al-Bassam dalam Taudhih al-Ahkam (3/195) menyatakan, disunatkan dalam solat jenazah secara berjemaah untuk tidak kurang daripada tiga saf, meskipun makmumnya hanya enam orang. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat Ibn Battah daripada Abu Umamah bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؛ شَهِدَ جِنَازَةً وَهُوَ سَابِعُ سَبْعَةٍ، فَأَمَرَهُمْ أَنْ يَصِفُوا ثَلَاثَةَ صُفُوفٍ خَلْفَهُ، فَصَفِّ ثَلَاثَةً وَاثْنَانِ وَوَاحِدٌ خَلْفَ الصَّفِّ، فَصَلَّى عَلَى الْمَيِّتِ، ثُمَّ انْصَرَفَ

Maksudnya: “Nabi SAW menghadiri (menziarahi) jenazah dan Baginda ialah orang yang ketujuh daripada tujuh orang. Lalu Baginda memerintahkan mereka untuk menyusun tiga saf di belakangnya. Jadilah, tiga, dua dan satu orang berbaris di belakang saf. Setelah itu, Baginda mendirikan solat jenazah untuk mayat itu. Kemudian, Baginda pun beredar.

Begitu juga Rasulullah SAW pernah bersabda:

من صَلّى عليه ثلاثةُ صفوفٍ، فقد أَوْجَبَ

Maksudnya: “Sesiapa yang disolatkan oleh orang ramai sebanyak tiga saf, maka wajib baginya syurga.”

Riwayat Abu Daud (3166); al-Tirmizi (1028); Ibn Majah (1490) dan Ahmad (16724) dengan sedikit perbezaan lafaz.

Al-Qastalani dan lain-lain menjelaskan bahawa ketiga-tiga saf itu adalah sama dari sudut kelebihan/kebaikan, dan dia tidak menganggap saf yang pertama lebih baik dalam memelihara maksud syarak daripada tiga saf. Semakin banyak bilangan yang hadir (untuk mensolatkannya) maka ia adalah lebih baik. Ini adalah berdasarkan hadith dalam Sahih Muslim: “Tiada ada seorang pun yang meninggal dunia yang baginya sekumpulan orang Islam yang jumlahnya mencapai seratus, menyembahyangkan jenazahnya dan mereka memberi syafaat untuknya melainkan syafaat mereka untuknya itu akan diterima.” Manakala di dalam hadith Ibn Abbas disebutkan, “empat puluh orang.” (Lihat juga Hasyiah al-Raudh al-Murbi‘, 3/79).

Kesimpulannya

Oleh itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, sebaik-baiknya susunan saf solat jenazah secara berjemaah adalah sebanyak tiga saf ataupun lebih. Sekiranya hanya tujuh orang yang mensolatkan jenazah tersebut, maka susunan safnya bagi menjadikannya tiga saf adalah dengan seorang menjadi imam, kemudian saf pertama seramai tiga orang, saf kedua seramai dua orang dan saf ketiga seorang.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”

Bertarikh: 26 Oktober 2023 bersamaan 11 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply