Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Makan malam dan solat maghrib, mana yang lebih dahulu dan hikmah disebalik tersebut?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat merupakan salah satu rukun daripada rukun Islam dan ia juga merupakan penanda dalam membezakan antara orang yang beriman dan juga orang yang kafir sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith. Untuk itu, setiap orang yang beriman perlulah mengetahui dan mempelajari hukum-hakam berkaitan solat.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «إِذَا قُدِّمَ العَشَاءُ، فَابْدَءُوا بِهِ قَبْلَ أَنْ تُصَلُّوا صَلاَةَ المَغْرِبِ، وَلاَ تَعْجَلُوا عَنْ عَشَائِكُمْ

Maksudnya: “Apabila makan malam telah dihidangkan, maka makanlah terlebih dahulu sebelum kamu menunaikan solat Maghrib, dan janganlah kamu tergesa-gesa menghabiskan juadah itu.”

Riwayat al-Bukhari (672) dan Muslim (557)

Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: Faedah daripada hadith ini ialah, jika waktu Solat Maghrib telah tiba dan makan malam telah disediakan, dan semua orang sangat ingin memakannya, maka yang terbaik adalah dengan memakan makanan dahulu sebelum menunaikan solat. Sebahagian ulama dalam Mazhab Maliki berpendapat bahawa hukum ini seharusnya berlaku secara umum, tidak hanya pada solat tertentu, dan ini telah disebut dalam konteks Solat Maghrib, dan tidak ada yang mengharuskan penkhususan hanya untuk solat ini sahaja.

Hikmah dalam hal ini adalah bahawa yang diinginkan dalam solat adalah kehadiran hati, dan keperluan terhadap makanan mengalihkan perhatian hati dan menghalang khusyuk dalam solat. Oleh itu, lebih baik mendahulukan makanan sebelum memulakan solat supaya solat dilakukan dengan ketenangan dan kehadiran hati. Faedah daripada hadith ini juga adalah supaya menjauhkan diri daripada segala yang mengalihkan perhatian jiwa dari solat dan perkara yang boleh mengalihkan perhatian hati dari memikirkan makna solat, termasuk membaca, berzikir, dan berpindah dari satu rukun solat ke rukun solat yang lain.

Kebanyakan ulama menggalakkan untuk mendahulukan makanan sebelum solat, ini adalah pendapat yang lebih kuat. Namun, beberapa ulama menganggapnya sebagai wajib, tetapi solat dalam keadaan makanan sudah ada, tidak sah berdasarkan zahir hadith ini. Namun begtu, Jika waktu solat fardhu hampir tamat, dan makanan telah disediakan yang mana sekiranya makanan didahulukan, waktu solat akan berakhir, maka kebanyakan ulama berpendapat supaya menyegerakan solat untuk menjaga waktu. Bagi mereka yang mengutamakan khusyuk dalam solat, mereka menganggap ia lebih utama untuk mendahulukan makanan sebelum solat. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/86)

Diriwayatkan juga daripada Ibn Umar, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

 إِذَا وُضِعَ عَشَاءُ أَحَدِكُمْ وَأُقِيمَتِ الصَّلاَةُ، فَابْدَءُوا بِالعَشَاءِ وَلاَ يَعْجَلْ حَتَّى يَفْرُغَ مِنْهُ

Maksudnya: “Apabila makan malam untuk kamu telah dihidangkan lalu iqamat dikumandangkan, makanlah terlebih dahulu dan jangan makan tergesa-gesa, hingga selesai.”

Kebiasaannya Ibn Umar ketika dihidangkan juadah untuknya dan iqamat dikumandangkan, dia tidak datang untuk solat melainkan setelah dia selesai menikmati juadah itu, meskipun dia mendengar bacaan Imam.

Riwayat al-Bukhari (673)

Ibn Qudamah berkata: Ashab kami (ulama’ dalam mazhab Hanabilah) berkata: Sesungguhnya didahulukan makan daripada solat berjemaah jika dirinya cenderung kepada makanan (lebih daripada solat) dan Imam al-Syafie berkata seperti itu juga.” (Lihat al-Mughni, 1/450)

Terdapat juga hadith yang umum menunjukkan larangan solat ketika terhidangnya makanan sebagaimana riwayat daripada Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا صَلَاةَ بِحَضْرَةِ الطَّعَامِ، وَلَا هُوَ يُدَافِعُهُ الْأَخْبَثَانِ

Maksudnya: “Tidak sempurna solat apabila makanan telah dihidangkan ataupun ketika seseorang itu menahan daripada dua benda kotor (buang air kecil dan besar).”

Riwayat Muslim (560)

Selain itu, Imam al-Tirmizi berkata: “Hadith ini diamalkan oleh sebahagian ahli ilmu daripada kalangan sahabat Nabi SAW. Antaranya ialah Abu Bakar, Umar dan Ibn Umar. Ini juga merupakan pendapat Imam Ahmad dan Ishak. Mereka berdua berkata: Mulakanlah dengan makanan walaupun kamu terlepas melaksanakan solat secara berjemaah.” (Lihat Jami’ al-Tirmizi, 2/184)

Imam al-Nawawi berkata: “Pada hadith-hadith ini menunjukkan makruhnya solat ketika terhidangnya makanan yang ingin dimakan kerana perbuatan ini akan menyibukkan hati dengannya (makanan) dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk. Makruh juga bagi orang yang solat dalam keadaan menahan dua perkara yang kotor, iaitu membuang air kecil dan besar. Maka dengan itu, apa yang boleh difahami adalah (solat ketika makanan terhidang) hal ini akan menyibukkan hati dan menghilang kesempurnaan khusyuk. Kemakruhan ini adalah di sisi jumhur ashab kami (ulama’ al-Syafi’iyyah) dan selain daripada mereka.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 5/46)

Tambahan pula, Ibn Qudamah juga berkata bahawa pentingnya khusyuk dan juga melapangkan hati di dalam solat, katanya:  “Apabila makanan telah tersedia ketika waktu solat, maka sunat dimakan terlebih dahulu sebelum daripada solat. Hal ini kerana, ia akan melapangkan hati dan menghadirkan khusyuk. Selain itu, tidak disunatkan bersegera ketika makan malam atau makan tengahari.” (Lihat al-Mughni, 1/450)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa hukum orang yang solat dalam keadaan makanan telah tersedia hukumnya adalah makruh jika didirikn solat dalam keadaan waktu solat itu masih lama berbaki dan dalam keadaan ini maka sunat untuk dia makan terlebih dahulu. Akan tetapi, jika waktu solat itu sudah hampir tamat, maka pada waktu ini hendaklah ditunaikan solat terlebih dahulu sebelum memakan makanan yang telah tersedia itu. Manakala hadith yang menyuruh untuk didahulukan makan berbanding solat jika masih mempunyai waktu untuk didirikan solat tersebut adalah supaya seseorang yang ingin mendirikan solat itu boleh solat dalam keadaan penuh khusyuk dan hati yang tenang.

Akhirnya, semoga Allah SWT menerima solat-solat kita serta menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa bangun untuk melaksanakan solat kepada-Nya. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

Bertarikh: 26 Oktober 2023 bersamaan 11 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply