Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apa hukum tidak pergi solat jumaat kerana menjaga anak di rumah saya. Situasi saya bawa anak balik ke rumah sewa saya, manakala rumah isteri saya di daerah lain (pjj). Isteri tiada kerana keluar outstation. Jika hantar pada jiran, saya bimbang anak tidak biasa dan menangis.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat).

(Surah al-Jumu‘ah: 9)

Diriwayatkan daripada Tariq bin Syaibah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلاَّ أَرْبَعَةً عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوِ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِيٌّ أَوْ مَرِيضٌ

Maksudnya: Solat Jumaat adalah tanggungjawab yang wajib atas setiap lelaki Muslim untuk didirikan secara berjemaah, kecuali hamba yang dimiliki oleh tuannya, perempuan, kanak-kanak dan orang yang sakit.”

(Riwayat Abu Daud (1067)

Solat Jumaat diwajibkan kepada mereka yang memenuhi tujuh syarat berikut, iaitu:

  • Beragama Islam
  • Baligh
  • Berakal
  • Merdeka (bebas) sepenuhnya.
  • Lelaki
  • Sihat tubuh badan.
  • Bermukim di tempat solat Jumaat didirikan.

Sekiranya seseorang itu telah cukup ketujuh-tujuh syarat ini, maka diwajibkan solat Jumaat ke atas dirinya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/200-201 dan  Matla’ al-Badrain (disusun oleh PMWP), 1/159)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan tidak boleh meninggalkan solat jumaat kerana menjaga anak di rumah. Hal ini kerana ia tidak menepati keuzuran yang dibenarkan syarak. Oleh itu, dalam isu ini sewajarnya di bawa berbincang bersama antara suami isteri agar perkara ini boleh dielakkan. Antara perkara yang boleh dibuat adalah dengan menukar hari penjagaan anak agar si suami tidak perlu menjaga anak ketika hari jumaat. Begitu juga, jika ada rezeki yang lebih, anda boleh mengupah pengasuh bagi memudahkan urusan anda dan isteri agar tidak berlaku ketidak sefahaman dan seumpamanya.

Ahli Jawatankuasa Lajnah Daimah li al-Ifta’ ketika ditanya berkenaan hal ini, mereka menjawab: “Hukum asal solat Jumaat adalah wajib bagi setiap individu akan tetapi jika wujud uzur syarak ke atas orang yang wajib ke atasnya solat Jumaat seperti dia bertugas dengan tanggungjawab secara langsung berkait tugasan menjaga keamanan umat dan menjaga kepentingan mereka, menuntut dia menjalankan tugasnya saat solat Jumaat seperti keadaan petugas keselamatan, penjaga trafik, operator telefon dan seumpamanya. Keadaan mereka tidak kurang uzurnya berbanding mereka yang takut kerosakan menimpa nyawanya dan hartanya, yakni mereka yang disebut oleh ulama sebagai mendapat keuzuran meninggalkan Jumaat dan berjemaah selama mana berterusan uzur terbabit. Tetapi ini tidak menghilangkan kefarduan solat Zuhur, maka wajib atasnya untuk bersolat pada waktunya, dan selagi boleh hendaklah secara berjemaah kerana wajib hal itu seperti mana lima solat fardhu yang lain.” (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 18/188)

Semoga Allah mengurniakan kepada kita kekuatan iman dan kefahaman yang jelas dalam  melaksanakan segala tuntutannya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 26 Oktober 2023 bersamaan 11 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *