Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada terbaca mengenai al-qasamah, tetapi saya kurang faham apa yang dimaksudkan dengan al-qasamah ini. Adakah ianya bermaksud sumpah secara umum saja?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Al-Qasamah (القَسَامَةُ) merupakan perkataan bahasa Arab dengan huruf qaf berbaris atas yang berasal dari kata kerja (أَقْسَمَ – يُقْسِمُ – إِقْسَامًا – قَسَامَةً). Al-Qasamah ini bermaksud sumpah yang dilafazkan apabila dijumpai seorang mangsa bunuh di suatu kawasan, sebagaimana yang didefinisikan oleh ahli bahasa. (Lihat al-Ta‘rifat al-Fiqhiyyah, hlm. 77; Lisan al-‘Arab, 12/481; al-Mu‘jam al-Wasit, 2/734)

Adapun al-Qasamah menurut istilah fuqaha’, seperti yang disebutkan oleh Imam al-Mawardi, ia berasal dari perkataan al-qasam (القَسَمُ) yang bermaksud sumpah. Dinamakan al-Qasamah kerana sumpahan itu berlaku berulang kali. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 13/3)

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menerangkan maksud al-Qasamah, bahawa ia merupakan sumpah yang dilafazkan oleh keluarga orang yang dibunuh, dan dikatakan juga bahawa al-Qasamah merujuk kepada keluarga orang yang dibunuh itu. Dan yang dimaksudkan dengan al-Qasamah dalam ilmu fiqh adalah 50 kali lafaz sumpah yang dilafazkan oleh wali orang yang dibunuh ketika dia menuduh seseorang itu dengan jenayah pembunuhan, apabila wujudnya bukti yang mendekatkan lagi kebarangkalian bahawa wali itu berkata benar. Atau mungkin juga dilafazkan oleh yang dituduh membunuh itu ketikamana tidak ada sebarang bukti dari tohmahan itu. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 8/48)

Dan ini berdasarkan apa yang telah dibawakan oleh Imam al-Syafi‘i dalam sebuah riwayat yang panjang daripada Sahl bin Abi Hathmah al-Ansari, katanya:

أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ سَهْلٍ وَمُحَيِّصَةَ بْنَ مَسْعُودٍ أَتَيَا خَيْبَرَ، فَتَفَرَّقَا فِي النَّخْلِ، فَقُتِلَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ سَهْلٍ، فَجَاءَ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ سَهْلٍ وَحُوَيِّصَةُ وَمُحَيِّصَةُ ابْنَا مَسْعُودٍ إِلَى النَّبِيِّ ﷺ، فَتَكَلَّمُوا فِي أَمْرِ صَاحِبِهِمْ، فَبَدَأَ عَبْدُ الرَّحْمَنِ، وَكَانَ أَصْغَرَ القَوْمِ، فَقَالَ لَهُ النَّبِيُّ ﷺ: كَبِّرِ الكُبْرَ – قَالَ يَحْيَى: يَعْنِي: لِيَلِيَ الكَلاَمَ الأَكْبَرُ – فَتَكَلَّمُوا فِي أَمْرِ صَاحِبِهِمْ، فَقَالَ النَّبِيُّ ﷺ: أَتَسْتَحِقُّونَ قَتِيلَكُمْ – أَوْ قَالَ: صَاحِبَكُمْ – بِأَيْمَانِ خَمْسِينَ مِنْكُمْ. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَمْرٌ لَمْ نَرَهُ. قَالَ: فَتُبَرِّئُكُمْ يَهُودُ فِي أَيْمَانِ خَمْسِينَ مِنْهُمْ. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، قَوْمٌ كُفَّارٌ. فَوَدَاهُمْ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ مِنْ قِبَلِهِ

Maksudnya: “Bahawa ‘Abdullah bin Sahl dan Muhayyisah bin Mas‘ud datang ke Khaibar dan berpisah di antara kebun-kebun kurma. Lalu Abdullah bin Sahl dibunuh. Maka ‘Abd al-Rahman bin Sahl serta Huwayyisah dan Muhayyisah – kedua-duanya adalah anak lelaki Mas‘ud – datang kepada Nabi SAW dan berbicara tentang perihal (apa yang terjadi kepada) sahabat mereka. ‘Abd al-Rahman – orang yang paling muda di antara mereka – mula berbicara. Namun Nabi SAW bersabda kepadanya: ‘Besarkan yang besar.’ Yahya berkata: ‘Maksudnya: Hendaklah yang mewakili berbicara orang yang lebih tua.’ Mereka pun berbicara tentang (apa yang berlaku kepada) sahabat mereka. Maka Nabi SAW bersabda: ‘Apakah kamu mahu membuktikan pembunuhan salah seorang daripada kalian – atau sahabat kalian – dengan sumpah lima puluh orang daripada kalian?’ Mereka berkata: ‘Wahai Rasulullah, ini adalah suatu perkara yang kami tidak saksikan (bagaimana kami boleh bersumpah).’ Baginda bersabda: ‘Kalau begitu orang-orang Yahudi akan terbebas daripada tuntutan kamu dengan sumpah lima puluh orang daripada mereka.’ Mereka berkata: ‘Wahai Rasulullah, mereka orang-orang kafir.’ Akhirnya Rasulullah SAW membayar denda untuk mereka daripada dirinya sendiri.”

Riwayat al-Bukhari (6142) dan Muslim (1669)

Imam Abu Mansur al-Azhari mengatakan, apabila berkumpulnya satu jemaah dari keluarga orang yang dibunuh untuk mendakwa seseorang lelaki sebagai pembunuh kepada ahli keluarga mereka, dan mereka mempunyai petunjuk, maka 50 orang perlu bersumpah bahawa orang yang dituduh itu membunuh keluarga mereka. Maka mereka yang bersumpah ini yang disebut sebagai al-Qasamah, dinamakan atas kata terbitan dari perbuatan sumpah itu sendiri (أَقْسَمَ – قِسْمًا – قَسَامَةً). (Lihat al-Zahir fi Gharib Alfaz al-Syafi‘i, hlm. 245)

Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam menyatakan gambaran al-Qasamah ini, apabila terdapat seorang yang terbunuh dengan luka atau lainnya, dan pembunuhnya tidak diketahui, dan bukti tidak mencukupi untuk menunjukkan siapa yang membunuhnya, kemudian waris-waris kepada orang yang terbunuh mendakwa individu tertentu bahawa dia yang membunuhnya, dan ada petunjuk yang menentukan menentukan kebenaran dakwaan tersebut.

Petunjuk ini ada banyak, antaranya adalah permusuhan antara mangsa bunuh dengan orang yang dituduh, atau mangsa bunuh ditemui di rumah tertuduh, atau perhiasan badan mangsa ada pada orang itu, atau seumpamanya.

Dan al-Qasamah ini thabit berdasarkan dalil al-Sunnah. al-Qadhi ‘Iyadh berkata: “al-Sunnah itu merupakan salah satu dalil syara‘ yang (diambil hukum darinya) tanpa perlu terikat dengan dalil lain, dan ia juga antara salah satu dari kaedah hukum, dan salah satu dari rukun-rukun untuk kemaslahatan manusia.” Beginilah mazhab majoriti ulama’ dari kalangan para sahabat dan tabi‘in, dan ini juga yang diambil oleh para tokoh Islam.

Isi penting dalam masalah al-Qasamah ini adalah, umum sumpah itu akan berada di pihak yang lebih kuat, dan pihak tertuduh lebih kuat apabila adanya dakwaan terhadapnya kerana hukum asal adalah dia bebas dari sebarang tanggungan. Akan tetapi, kerana dalam al-Qasamah ini pihak yang menuduh mempunyai al-lauth (petunjuk). Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah mengatakan: “Semua petunjuk yang menguatkan dakwaan ke atas tertuduh, maka dakwaan pihak yang menuduh akan didahulukan dan diberikan kepada mereka untuk bersumpah. Ini kerana besarnya hukum al-Qasamah itu dan sulitnya perkara yang melibatkan pertumpahan darah, sehinggakan tidak boleh berpada dengan sekali lafaz sumpah sahaja, bahkan tidak boleh tidak sumpah itu perlu diulang sebanyak kali.” (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 6/166-167)

Kesimpulan

Natijah dari perbincangan tentang hakikat al-Qasamah di atas, hukumnya tertakluk pada perkara-perkara yang berikut:

  • Mangsa bunuh itu dijumpai di suatu tempat, dan tidak diketahui secara yakin siapakah pembunuhnya.
  • Keluarga mangsa mendakwa individu tertentu atau sekumpulan orang membunuh mangsa, sedangkan keluarga mangsa tidak ada bukti yang thabit membenarkan dakwaan mereka.
  • Adanya petunjuk yang menguatkan kebarangkalian bahawa dakwaan keluarga mangsa itu benar, seperti mangsa ditemui berdekatan dengan tertuduh, dan tidak ada orang lain di tempat itu melainkan dia. Atau terdapat pada badan tertuduh kesan seperti darah, atau ditemui padanya pisau yang berlumuran darah.

Maka ketika adanya perkara-perkara di atas, pihak yang mendakwa perlu bersumpah sebanyak 50 kali, atau datangkan 50 orang untuk bersumpah atas tuduhan tersebut. Jika pihak pendakwa menolak dari bersumpah, diberikan hak untuk bersumpah kepada tertuduh agar dia boleh menyelamatkan dirinya dari sebarang tuduhan.

Semoga, Allah SWT melindungi kita dan ahli keluarga yang lain dari sebarang keburukan. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا نَجِّنَا مِنَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, selamatkan kami dari kaum yang zalim.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 26 Oktober 2023 bersamaan 11 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply