Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Siapakah Abu Zar al-Ghifari?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا ۖ سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ السُّجُودِ ۚ ذَٰلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ ۚ وَمَثَلُهُمْ فِي الْإِنجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَىٰ عَلَىٰ سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ ۗ وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا

Maksudnya: “Nabi Muhammad (SAW) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka – dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.

(Surah al-Fath: 29)

Menjawab persoalan di atas kami katakan Abu Zar al-Ghifari merupakan salah seorang sahabat yang masyhur. Nama sebenarnya Jundub bin Junadah bin Sufyan bin Ubaid bin Hiram bin Ghifar bin Malil bin Dhamrah bin Bakar bin Abdul Manaf bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudar bin Nizar bin Ma’d bin Adnan sebagaimana pendapat al-Tabarani.

Bani Ghifar adalah qabilah Arab suku badwi yang tinggal di pergunungan yang jauh daripada peradaban orang-orang kota. Abu Zar berasal dari kabilah Ghifar yang menyembah berhala. Namun demikian, beliau mempunyai peribadi dengan keberanian hati, minda yang cerdas dan impian yang tinggi. Sejak awal, beliau tidak bersetuju dengan penyembahan berhala yang dilakukan oleh kaumnya. Hal ini menjadikan beliau berusaha mencari kebenaran, Akhirnya, ia menemukan beliau dengan Rasulullah SAW. Dengan asas keyakinan beliau yang kuat terhadap ajaran tauhid mencetuskan keberanian yang tinggi dalam dirinya untuk mengumumkan kelslamannya di hadapan orang-orang musyrik Mekah meskipun telah diberi amaran oleh Rasulullah SAW. Tindakan beliau itu menyebabkan beliau telah dipukul sehingga pengsan. Setelah itu, Baginda Nabi SAW mengarahkan beliau untuk kembali dan menyebarkan dakwah kepada kaumnya. (Lihat Suwar Min Hayat al-Sahabah, hlm. 45)

Beliau termasuk golongan yang awal memeluk Islam, tetapi lewat berhijrah ke Madinah. Justeru, beliau tidak bersama Rasulullah SAW dalam peperangan Badar. Beliau mempunyai kebanggaan yang banyak, antaranya kata beliau: “Aku dapati diriku yang keempat memeluk Islam dan tiada yang memeluk Islam sebelum daripadaku kecuali Nabi SAW, Abu Bakar dan Bilal,” mengikut riwayat al-Tabarani. Beliau dikatakan antara manusia yang hampir serupa dengan Isa bin Maryam dari sudut ibadat, akhlak dan kezuhudan.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada seorang lelaki di bumi dan di bawah naungan langit ini yang lebih jujur daripada Abu Zar.”

Imam al-Zahabi pernah berkata: “Abu Zar adalah ketua kepada kezuhudan, kebenaran dalam bercakap, ilmu dan amal.” Beliau pernah tinggal di negeri Syam di zaman pemerintahan

Uthman bin Affan RA. Pada waktu itu, gabenor negeri Syam adalah Mu’awiyah bin Abi Sufiyan RA. Maka Mu’awiyah merasa terganggu dengan sikap hidupnya, sehingga meminta kepada Amirul Mu’minin Uthman bin Affan untuk memanggilnya ke Madinah kembali. Abu Zar akhirnya dipanggil kembali ke Madinah dengan segera. Apabila tiba di Madinah, Abu Zar bertemu Amirul Mu’minin Uthman bin Affan dan beliau diberitahu oleh Amirul Mu’minin bahawa dia dikehendaki untuk tinggal di Madinah menjadi orang kanan kepada Amirul Mu’minin. Mendengar penjelasan tersebut, Abu Zar menegaskan kepada Uthman bin Affan: “Wahai Amirul Mu’minin, aku tidak senang dengan kedudukan demikian. Izinkanlah aku untuk tinggal di daerah perbukitan Rabzah iaitu di luar kota Madinah”. Abu Zar menghabiskan waktunya dengan berzikir kepada Allah dan membaca Al Quran. Beliau meninggal dunia ketika pemerintahan Uthman di al-Rabzah pada tahun 32 Hijrah. (Lihat Syarah Hadis 40, hlm. 194-195)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Bertarikh: 26 Oktober 2023 bersamaan 11 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply