Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah kaitan antara istiqamah hati dan lidah dengan istiqamah iman?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلَا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنتُمْ تُوعَدُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.”
(Surah al-Fussilat: 30)
Dalam menafsirkan ayat ini ( ثُمَّ اَسْتَقَمُوا) ada dua pandangan:
- Saidina Abu Bakar al-Siddiq berkata: “Mereka tidak menyekutukan sesuatu dengan Allah.”
- Saidina Umar al-Khattab berkata: “Mereka tetap beristiqamah di atas ketaatan kepada Allah, tidak ke kiri dan ke kanan, seperti musang.
Dinyatakan di sini pendapat ulama tentang istiqamah:
- Abu Qasim al-Qusyairi berkata: “Istiqamah adalah tingkatan yang menjadi pelengkap dan penyempurna segala urusan. Lantaran istiqamah segala kebaikan dan peraturannya dapat diwujudkan.”
- Al-Wasiti berkata: “Istiqamah adalah sifat yang menyempurnakan segala kebaikan.”
- Ibn Rajab al-Hanbali berkata: “Istiqamah ialah menempuh jalan yang lurus iaitu agama yang lurus, tidak ke kiri dan tidak ke kanan. Terhimpun di dalamnya segala ketaatan zahir dan batin serta meninggalkan segala larangan. Dengan demikian wasiat ini mencakupi segala kebaikan.”
- Muhammad Soleh al-Uthaimin dalam Syarh Riyadh al-Salihin berkata: “Istiqamah ialah seseorang itu thabit mengikut syariat Allah SWT sebagaimana suruhan Allah dan didahuluinya dengan ikhlas kepada Allah SWT. Walaupun disuruh beristiqamah mengikut kadar kemampuan tetapi mestilah berusaha supaya ia membetulkan dengan kebenaran.”
Menjawab persoalan di atas, kami katakan ia ada kaitan antara istiqamah hati dan lisan yang membawa istiqamah iman seseorang hamba. Daripada Anas bin Malik, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا يَسْتَقِيمُ إِيمَانُ عَبْدِ حَتَّى يَسْتَقِيمَ قَلْبُهُ، وَلَا يَسْتَقِيمُ قَلْبُهُ حَتَّى يَسْتَقِيمَ لِسَانُهُ
Maksudnya: “Tidak lurus dan tetap iman seorang hamba sehingga lurus dan tetap hatinya dan hatinya tidak lurus dan tetap sehingga lurus dan tetap lidahnya.”
Riwayat Ahmad (13048), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (7), Ibn Abi al-Dunya dalam al-Sumt (9) dan al-Qadha’i dalam Musnad al-Syihab (887). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut dalam takhrij al-Musnad (13048) menyatakan isnadnya dha’if
Seorang ulama iaitu al-Hasan al-Basri apabila membaca ayat berkenaan dengan istiqamah ini akan membaca doa:
اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبُّنَا، فَارْزُقْنَا الإِسْتِقَامَةَ
Maksudnya: “Ya Allah Engkaulah Tuhan kami, maka kurniakanlah kami dengan istiqamah.” (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 7/172)
Bertarikh: 26 Oktober 2023 bersamaan 11 Rabiulakhir 1445 H