#3866: Biografi Jabir bin Abdillah R.Anhuma

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh kisahkan tentang Jabir bin Abdillah R.Anhuma?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا ۖ سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ السُّجُودِ ۚ ذَٰلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ ۚ وَمَثَلُهُمْ فِي الْإِنجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَىٰ عَلَىٰ سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ ۗ وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا

Maksudnya: “Nabi Muhammad (SAW) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka – dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.

(Surah al-Fath: 29)

Jabir bin Abdillah bin Amr bin Haram al-Ansari al-Khazraji al-Salami Gelaran yang diberikan kepada beliau ialah Abu Abdullah. Beliau telah memeluk Islam sebelum hijrah dan beliau juga hadir bersama bapanya dalam Perjanjian Aqabah kedua ketika itu beliau masih kecil. Antara sifat beliau adalah berani dan bersemangat dalam menegakkan agama Allah SWT.

Ini dapat dibuktikan di dalam riwayat yang sahih, beliau berkata: “Aku telah menyertai peperangan bersama Rasulullah SAW sebanyak 19 peperangan, tetapi aku tidak menyertai peperangan Badar dan Uhud kerana ayahku menegah aku daripada menyertainya. Apabila ayahku terbunuh di dalam peperangan, sejak daripada itu aku tidak pernah ketinggalan daripada menyertai Rasulullah SAW dalam mana-mana peperangan.”

Jabir bin Abdillah pernah melawat ke Mesir dan Syam, disebabkan itu ramai orang telah menimba ilmu daripadanya ketika mereka bertemu dengannya. Beliau juga mempunyai halaqah ilmu dan kelas pengajian di dalam masjid al-Nabawi. Di samping itu, beliau merupakan antara sahabat yang terakhir meninggal dunia di Madinah.

Antara kisah yang masyhur ialah ketika Nabi SAW dan para sahabat sedang menggali parit di dalam peperangan al-Khandaq, Jabir telah melihat bahawa Nabi SAW dalam kelaparan. Apabila keadaan begitu, Jabir memberitahu isterinya untuk menyediakan sedikit makanan untuk Rasulullah SAW tetapi Rasulullah SAW telah mengajak semua sahabat ketika itu untuk makan walaupun makanan yang disediakan hanya sedikit. Daripada kisah ini, ia menunjukkan akan mukjizat Rasulullah SAW apabila makanan yang sedikit cukup dimakan oleh bilangan yang besar.

Beliau merupakan salah seorang sahabat yang banyak meriwayatkan hadis daripada Rasulullah SAW iaitu sebanyak 1540 buah hadis. Jabir bin Abdillah RA telah meriwayatkan daripada Abu Bakar, Umar al- Khattab, Ali bin Abi Thalib, Abu Ubaidah, Muaz bin Jabal, Khalid bin al-Walid dan Abu Hurairah. Manakala yang meriwayatkan daripadanya ramai, antaranya ialah Said bin Musayyib, Abu Salamah, Muhammad al- Baqir, Atha’, Amr bin Dinar, Mujahid, Abu Zubair, Al-Sya’bi dan ramai lagi.

Sanad yang terkenal dan paling sahih daripadanya adalah yang diriwayatkan oleh penduduk Makkah melalui jalur Sufyan bin Uyainah, daripada Amr bin Dinar, daripada Jabir bin Abdillah RA.

Jabir bin Abdillah telah meninggal dunia di Madinah pada tahun 77 hijrah yang mana ketika itu beliau berusia 94 tahun. Pada akhir hayatnya, Jabir bin Abdillah telah buta dan jenazahnya telah disolatkan oleh Aban bin Uthman iaitu ketua di Madinah pada waktu itu. Tambahan pula, beliau merupakan sahabat yang terakhir wafat dalam kalangan ahli yang menyertai perjanjian al-Aqabah di Madinah. (Lihat Syarah Hadis 40, hlm. 236-237)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)

Bertarikh: 26 Oktober 2023 bersamaan 11 Rabiulakhir 1445 H

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *