#3867: Berdoa Selain Bahasa Arab dalam Hati Ketika Sujud

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya berkenaan berdoa sewaktu sujud dalam solat. Batalkah solat sekiranya kita berdoa dalam hati selain bahasa Arab, lidah ikut bergerak?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”

Surah Ghafir (60)

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT bukan sahaja memerintahkan kepada para hamba-Nya untuk beribadah bahkan Dia juga memberikan jaminan bahawa doa tersebut akan dimustajabkan. Kata Khalid al-Rib’ie: Sangat ajaib buat umat ini, dikatakan kepada mereka: “Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan mustajabkan.” Allah memerintahkan kepada mereka untuk berdoa, serta menjanjikan kepada mereka kemustajaban tanpa ada sebarang syarat antara keduanya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 15/292)

Kemudian Allah SWT berfirman dalam ayat yang sama:

إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”

Surah Ghafir (60)

Ibn ‘Asyur di dalam tafsirnya menyatakan bahawa ayat ini menjadi dalil bahawa Allah SWT menuntut hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya berkaitan hajat-hajatnya serta ia menjadi dalil akan pensyariatannya dan perkara ini tidak mempunyai khilaf dalam kalangan umat Islam sendiri. (Lihat Tafsir Ibn ‘Asyur, 24/183)

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.A, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الدُّعَاءَ يَنْفَعُ مِمَّا نَزَلَ وَمِمَّا لَمْ يَنْزِلْ ، فَعَلَيْكُمْ عِبَادَ اللهِ بِالدُّعَاءِ

Maksudnya: “Sesungguhnya doa itu bermanfaat terhadap apa yang telah diturunkan dan apa yang belum diturunkan. Oleh itu, hendaklah kamu berdoa wahai hamba Allah.”

Riwayat al-Tirmizi (3548)

Dalam menghadapi musibah, doa dan permohonan kepada Allah SWT mampu menolong seseorang untuk menghadapinya. Ibn Qayyim dalam al-Jawab al-Kafi menyebut bahawa doa merupakan ubat yang paling bermanfaat. Ia merupakan musuh bagi musibah. Ia dapat mengubati dan mengatasinya, mencegah turunnya musibah atau mengangkatnya atau meringankannya. Ia merupakan senjata orang beriman.

Adapun doa ketika sujud, ia adalah amat mustajab berdasarkan hadith Rasulullah SAW:

أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ، وَهُوَ سَاجِدٌ، فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ

Maksudnya: “Keadaan paling rapat seorang hamba dengan Tuhan-nya adalah ketika dia bersujud, maka perbanyakkanlah kalian dengan berdoa (pada waktu sujud).”

Riwayat Muslim (482)

Pada asasnya, solat seseorang itu akan terbatal apabila berkata-kata dengan sengaja. Kata-kata yang dimaksudkan ialah kata-kata yang lain selain daripada al-Quran, zikir dan doa. Hal ini adalah berdasarkan hadith, daripada Zaid bin Arqam R.A, katanya:

كُنَّا نَتَكَلَّمُ فِى الصَّلاَةِ يُكَلِّمُ أَحَدُنَا أَخَاهُ فِى حَاجَتِهِ حَتَّى نَزَلَتْ هَذِهِ الآيَةُ {حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلاَةِ الْوُسْطَى وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ} فَأُمِرْنَا بِالسُّكُوتِ

Maksudnya:Kami pernah berbual-bual ketika menunaikan solat. Seorang daripada kami bercakap kepada rakannya tentang keperluannya sehinggalah turun ayat ini yang bermaksud: ‘Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala solat fardhu, khasnya solat wusta (yakni solat Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam solat kamu) dengan taat dan khusyuk,” lalu kami diperintahkan diam.

Riwayat al-Bukhari (4260) dan Muslim (539)

Kata-kata yang dianggap membatalkan solat ialah kata-kata yang mengandungi dua huruf dan lebih walaupun tidak memberi apa-apa pengertian. Begitu juga satu huruf tetapi ia mempunyai makna seperti qi (قِ) yang bererti peliharalah, ‘ie (عِ) yang bererti sedarlah, dan fi (فِ) yang bererti tunaikanlah. Walau bagaimanapun jika, berkata-kata ketika mendirikan solat kerana terlupa atau tidak mengetahui tentang haramnya disebabkan baru memeluk Islam, kedua-duanya dimaafkan sekiranya kata-kata tersebut sedikit, tidak melebihi enam perkataan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/167-168).

Kesimpulan

Terdapat perbezaan pandangan dalam isu ini, yang mana ulama mazhab Syafi‘i membezakan antara doa dalam solat yang ma’thur dan doa dalam solat yang tidak ma’thur. Bagi doa yang ma’thur, mereka berselisih pendapat mengenainya kepada tiga pendapat:

Pertama, dibolehkan bagi orang yang tidak berkemampuan untuk mengucapkannya dengan bahasa selain bahasa Arab. Manakala bagi orang yang berkemampuan menyebutnya dengan bahasa Arab pula tidak dibolehkan untuk mengucapkannya dengan bahasa selain bahasa Arab dan jika dia tetap melakukannya maka solatnya dikira terbatal. Inilah pendapat yang paling sahih dan selari dengan pendapat mazhab Hanbali.

Kedua, dibolehkan untuk mengucapkannya dengan bahasa selain bahasa Arab bagi orang yang baik bahasa Arabnya dan orang lain.

Ketiga, tidak dibolehkan kepada mana-mana orang untuk mengucapkannya dengan bahasa selain bahasa Arab kerana tiadanya keperluan mendesak untuk melakukannya.

Manakala bagi doa dalam yang solat yang tidak ma’thur pula mereka bersepakat bahawa tidak boleh mereka-rekanya dan membacanya dalam solat dengan bahasa selain bahasa Arab tanpa sebarang khilaf dan sesiapa yang melakukannya, maka dikira batal solatnya. Berbeza halnya dengan mereka-reka doa dengan bahasa Arab (yakni doa tidak ma’thur), ia adalah diharuskan di sisi ulama mazhab Syafi‘i tanpa sebarang khilaf.  (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 11/172-173; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/299-300).

Namun begitu, seseorang yang berdoa secara lisan dengan menggunakan bahasa lain selain bahasa Arab, maka dikira batal solatnya. Oleh itu, dalam isu ini, anda hanya berdoa di dalam hati tanpa melafazkannya, maka ia tidaklah membatalkan solat dan solat anda sah.

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang jelas dalam beribadat kepada dan kami akhiri dengan doa :

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

Surah Ibrahim (40)

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 26 Oktober 2023 bersamaan 11 Rabiulakhir 1445 H

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *