Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah kelebihan mendirikan solat jenazah dan kemudiannya menghantar jenazah tersebut ke tanah perkuburan? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya, solat jenazah mengandungi empat takbir dan tidak boleh kurang daripada itu. Hal ini kerana tidak ada khilaf dalam kalangan fuqaha bahawa takbir dalam solat jenazah adalah rukun, dan tidak sah solat jenazah melainkan dengannya.
Hal ini adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَعَى النَّجَاشِيَّ فِي اليَوْمِ الَّذِي مَاتَ فِيهِ خَرَجَ إِلَى المُصَلَّى، فَصَفَّ بِهِمْ وَكَبَّرَ أَرْبَعًا
Maksudnya: “Rasulullah SAW mengumumkan kematian al-Najasyi pada hari kematiannya. Kemudian Baginda keluar menuju ke tempat solat lalu Baginda menyusun saf bersama mereka, dan bertakbir sebanyak empat kali.”
Riwayat al-Bukhari (1245) dan Muslim (951)
Secara ringkasnya solat jenazah adalah sebagaimana berikut:
Pertama: Bertakbiratul ihram sambil berniat solat Jenazah.
Kedua: Setelah bertakbir, letakkan kedua-dua tangan ke dada sebagaimana solat biasa, kemudian membaca surah al-Fatihah.
Ketiga: Setelah selesai membaca surah al-Fatihah, bertakbir pula kali kedua. Kemudian, bacalah apa-apa selawat ke atas Nabi SAW. Selawat yang afdhal ialah selawat Ibrahimiyah sebagaimana yang telah disebutkan dalam bab hukum-hukum solat.
Keempat: Bertakbir pula kali ketiga dan diikuti dengan mendoakan mayat. Mendoakan mayat adalah maksud utama solat jenazah. Sekurang-kurang bacaan doa adalah:
اللَّهُمَّ ارْحَمهُ أوِ اغْفِرلَه
Maksudnya: “‘Ya Allah! Rahmatilah dia,’ atau ‘Ya Allah! Ampunilah dia.’” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/602).
Kelima: Bertakbir buat kali keempat, kemudian berdoa:
اللَّهُمَّ لاَ تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلاَ تَفْتِنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَلَهُ
Maksudnya: “Ya Allah! Janganlah Engkau tahan pahalanya daripada kami dan janganlah timbulkan fitnah kepada kami selepas kematiannya serta ampunilah kami dan dia.”
Riwayat Abu Daud (3201)
Keenam: Memberi salam sebanyak dua kali, iaitu ke kanan dan ke kiri sebagaimana salam solat-solat yang lain.
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, tidak dapat dinafikan lagi, solat jenazah mempunyai ganjaran yang besar bagi mereka yang mengerjakannya. Begitu juga mereka yang mengiringi jenazah ke tanah perkuburan. Hal ini adalah berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ شَهِدَ الْجَنَازَةَ حَتَّى يُصَلَّى عَلَيْهَا فَلَهُ قِيرَاطٌ، وَمَنْ شَهِدَهَا حَتَّى تُدْفَنَ فَلَهُ قِيرَاطَانِ. قِيلَ: وَمَا الْقِيرَاطَانِ؟ قَالَ: مِثْلُ الْجَبَلَيْنِ الْعَظِيمَيْنِ
Maksudnya: “Sesiapa yang menghadiri solat jenazah sehingga ia disolatkan ke atasnya, maka baginya satu qirat. Sesiapa yang mengiringi jenazah sehingga ia dikebumikan, maka baginya dua qirat. Ditanyakan kepada Baginda SAW: ‘Apakah yang dimaksudkan dengan dua qirat? Baginda SAW menjawab: ‘Seperti dua gunung yang besar.’”
Riwayat al-Bukhari (1325) dan Muslim (945)
Begitu juga hadith daripada riwayat Thauban R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ صَلَّى عَلَى جَنَازَةٍ فَلَهُ قِيرَاطٌ فَإِنْ شَهِدَ دَفْنَهَا فَلَهُ قِيرَاطَانِ الْقِيرَاطُ مِثْلُ أُحُدٍ
Maksudnya: “Sesiapa yang mengerjakan solat jenazah maka dia akan mendapat pahala sebanyak satu qirat. Jika sekiranya dia menyaksikan pengebumian jenazah maka dia akan mendapat dua qirat, dan satu qirat itu ganjarannya sebesar bukit Uhud.”
Riwayat Muslim (946)
Selain itu, besarnya pahala qirat itu dapat dilihat melalui riwayat daripada terdapat riwayat daripada Nafi‘, dia berkata, diceritakan kepada Ibn Umar R.A bahawa Abu Hurairah R.A berkata:
مَنْ تَبِعَ جَنَازَةً فَلَهُ قِيرَاطٌ فَقَالَ: أَكْثَرَ أَبُو هُرَيْرَةَ عَلَيْنَا فَصَدَّقَتْ يَعْنِي عَائِشَةَ أَبَا هُرَيْرَةَ، وَقَالَتْ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُهُ فَقَالَ ابْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا: لَقَدْ فَرَّطْنَا فِي قَرَارِيطَ كَثِيرَةٍ فَرَّطْتُ: ضَيَّعْتُ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang mengiringi jenazah, maka baginya satu qirat.” Maka Ibn Umar berkata: “Abu Hurairah R.A telah berlebihan (dalam menyebutkan pahala) kepada kita.” Maka beliau — iaitu Aisyah R.Anha — membenarkan Abu Hurairah R.A dengan berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW mengatakannya.” Maka Ibn Umar berkata: “Sesungguhnya (kami telah) mensia-siakan qirat yang banyak.”[1] Kalimah (فَرَّطْتُ) bermaksud: “Mensia-siakan sesuatu daripada urusan Allah.”
Riwayat al-Bukhari (1323-1324)
Menurut Syeikh Abdullah al-Bassam, hadith mengenai kelebihan solat jenazah dan juga kelebihan mengiringinya ke kubur telah diriwayatkan oleh seramai 12 orang sahabat. Selain itu, hadith ini juga mengandungi kelebihan dan fadhilat ke atas orang yang hadir menyaksikan dan mendirikan solat jenazah, mengiringinya, membawanya dan mengebumikannya di tanah perkuburannya; sebagai suatu bentuk pengakuan kepada janji Allah dan mengharapkan ganjaran-Nya. Tidak ada yang menghalang niat untuk menunaikan hak seorang Muslim dan menghiburkan ahli keluarganya, semua ini adalah termasuk dalam amalan soleh.
Begitu juga mereka yang mendirikan solat jenazah hingga proses pengebumiannya dan langsung tidak meninggalkannya (sehinggalah selesai), baginya ganjaran atau pahala setara dengan dua qirat. Satu qirat setara dengan gunung yang besar dan dalam riwayat yang lain, ia diumpamakan sebagai sebuah gunung Uhud. Namun, bagi mereka yang hanya menunaikan solat jenazah tetapi tidak mengiringi jenazah itu hingga ke kubur, separuh daripada ganjaran besar ini sudah lenyap atau tergugur daripadanya.
Selain itu, hadith ini juga mengandungi anjuran syarak untuk menghadiri proses pengebumian jenazah kerana terdapatnya manfaat besar hal itu. Ini termasuklah memenuhi hak orang yang meninggal dunia dengan berdoa buatnya, melakukan solat jenazah ke atasnya, memenuhi atau menunaikan hak ahli keluarganya dengan menenangkan dan menghiburkan mereka atas musibah kematian yang menimpa mereka, mendapat ganjaran dan pahala untuk mereka yang mengiringi jenazah, serta mendapat pengajaran di samping mengambil iktibar dengan melihat kematian dan kubur-kubur, dan lain-lain perkara daripada hukum yang Allah telah tetapkan dalam syariat-Nya.
Sebahagian ulama menyebutkan, mengikuti proses pengebumian jenazah dapat dibahagikan kepada tiga peringkat/tahap:
Peringkat pertama: Mendirikan solat jenazah ke atasnya.
Peringkat kedua: Mengiringi jenazah sehingga ke kuburnya, kemudian menunggu sehingga dia dikebumikan.
Peringkat ketiga: Menunggu selepas dia dikebumikan di kubur, lalu mendoakan ke atas mayat itu dengan keampunan dan rahmat. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/218-219).
Seterusnya, dinukilkan daripada al-‘Aini bahawa ukuran qirat adalah berbeza-beza mengikut negara. Syeikh Abdullah al-Bassam menyebutkan, ukuran qirat sekarang mengikuti mahkamah Arab Saudi dan ulama di sana bahawa ia adalah satu juzuk (bahagian) daripada 24 bahagian. Adapun kadar dan nilaiannya di sisi Allah SWT, maka Dialah yang lebih mengetahui akan hal tersebut. Akan tetapi Dia telah mendekatkan buat kita (bandingannya) di mana setiap qirat itu seperti bukit Uhud. Kemudian, al-‘Aini juga ada menyatakan, dikhususkan dengan menyebutkan ukuran “qirat” kerana itulah ukuran yang kebiasaannya digunakan dalam muamalat mereka. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/217).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa orang yang menunaikan solat jenazah lalu mengiringi jenazah itu ke perkuburan dan menunggunya sehingga selesai dikebumikan, diberi ganjaran pahala sebanyak dua qirat. Manakala orang yang hanya menunaikan solat jenazah sahaja atau hanya mengiringi jenazah ke tanah perkuburan, diberi ganjaran pahala sebanyak satu qirat.
KIta mengetahui bahawa qirat itu merujuk kepada ganjaran pahala yang sangat besar dan banyak. Namun, tidak ada yang mengetahui nilaian atau ukuran satu qirat yang sebenar sebagaimana dikehendaki di sisi Allah SWT melainkan hanya Allah SWT lebih mengetahui akan hal tersebut. Akan tetapi disebutkan dalam hadith bandingannya, di mana satu qirat itu bersamaan dengan sebuah gunung yang sangat besar atau gunung Uhud.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”
Surah al-Hasyr (10)
[1] Yakni kami telah mensia-siakan pahala yang banyak kerana kami tidak selalu mengiringi jenazah dan tidak menghadiri pengebumiannya.
Bertarikh: 26 Oktober 2023 bersamaan 11 Rabiulakhir 1445 H