Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Jika ada jenazah dibawa ke pada waktu Asar untuk disolatkan selepas solat Asar, bolehkah? Bukankah selepas solat Asar dilarang untuk mendirikan solat selepas itu? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, pada asasnya, solat jenazah merupakan fardhu kifayah ke atas kaum Muslimin untuk menunaikannya. Begitu juga solat jenazah mengandungi empat takbir dan tidak boleh kurang daripada itu. Hal ini kerana tidak ada khilaf dalam kalangan fuqaha bahawa takbir dalam solat jenazah adalah rukun, dan tidak sah solat jenazah melainkan dengannya.

Hal ini adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَعَى النَّجَاشِيَّ فِي اليَوْمِ الَّذِي مَاتَ فِيهِ خَرَجَ إِلَى المُصَلَّى، فَصَفَّ بِهِمْ وَكَبَّرَ أَرْبَعًا

Maksudnya: “Rasulullah SAW mengumumkan kematian al-Najasyi pada hari kematiannya. Kemudian Baginda keluar menuju ke tempat solat lalu Baginda menyusun saf bersama mereka, dan bertakbir sebanyak empat kali.

Riwayat al-Bukhari (1245) dan Muslim (951)

Bahkan di sana terdapat ganjaran yang besar dikurniakan kepada orang yang melakukan solat jenazah. Hal ini adalah berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ شَهِدَ الْجَنَازَةَ حَتَّى يُصَلَّى عَلَيْهَا فَلَهُ قِيرَاطٌ، وَمَنْ شَهِدَهَا حَتَّى تُدْفَنَ فَلَهُ قِيرَاطَانِ. قِيلَ: وَمَا الْقِيرَاطَانِ؟ قَالَ: مِثْلُ الْجَبَلَيْنِ الْعَظِيمَيْنِ

Maksudnya:Sesiapa yang menghadiri solat jenazah sehingga ia disolatkan ke atasnya, maka baginya satu qirat. Sesiapa yang mengiringi jenazah sehingga ia dikebumikan, maka baginya dua qirat. Ditanyakan kepada Baginda SAW: ‘Apakah yang dimaksudkan dengan dua qirat? Baginda SAW menjawab: ‘Seperti dua gunung yang besar.’

Riwayat al-Bukhari (1325) dan Muslim (945)

Begitu juga hadith daripada riwayat Thauban R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏ مَنْ صَلَّى عَلَى جَنَازَةٍ فَلَهُ قِيرَاطٌ فَإِنْ شَهِدَ دَفْنَهَا فَلَهُ قِيرَاطَانِ الْقِيرَاطُ مِثْلُ أُحُدٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengerjakan solat jenazah maka dia akan mendapat pahala sebanyak satu qirat. Jika sekiranya dia menyaksikan pengebumian jenazah maka dia akan mendapat dua qirat, dan satu qirat itu ganjarannya sebesar bukit Uhud.”

Riwayat Muslim (946)

Keduanya, berkenaan waktu-waktu yang diharamkan untuk seseorang itu mendirikan solat pula, Syeikh Taqiyuddin al-Hisni ada menyebutkan tentang beberapa waktu tersebut iaitu:

  • Selepas solat subuh sehingga matahari terbit.
  • Ketika matahari terbit sehingga sempurna dan meninggi dengan kadar tombak.
  • Selepas asar sehingga matahari terbenam.
  • Ketika matahari terbenam sehingga sempurna terbenamnya. (Lihat Kifayah al-Akhyar, hlm. 126).

Justeru, jelaslah bahawa selepas solat Asar sehingga terbenam matahari termasuk dalam waktu yang dilarang untuk solat. Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نَهَى عَنِ الصَّلاَةِ بَعْدَ الْعَصْرِ حَتَّى تَغْرُبَ الشَّمْسُ وَعَنِ الصَّلاَةِ بَعْدَ الصُّبْحِ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah melarang daripada melakukan solat (sunat) selepas solat Asar sehingga tenggelamnya matahari dan solat selapas subuh sehingga terbitnya matahari.

Riwayat Muslim (825)

Ketiganya, meskipun begitu, larangan mendirikan solat pada waktu-waktu ini bukanlah secara mutlak. Hal ini ada dijelaskan oleh Imam al-Nawawi bahawa larangan untuk mendirikan solat pada waktu yang dilarang ialah hanya pada solat yang tidak ada sebab. Manakala solat-solat yang mempunyai sebab maka tidak makruh (yakni tidak haram) untuk melaksanakannya pada waktu-waktu tersebut. Maksud solat yang mempunyai sebab ialah sebab (yang disunatkan untuk solat) itu mendahului solat tersebut.

Kemudian, beliau menyebutkan pula contoh-contoh solat yang mempunyai sebab sekali gus memasukkan solat jenazah termasuk di dalamnya. Hal ini adalah sebagaimana katanya, di antara solat yang mempunyai sebab ialah solat yang ditinggalkan sama ada solat fardhu mahupun solat sunat. Hal ini jika kita berpendapat dengan pendapat yang paling sahih — menurut mazhab Syafi‘i — bahawa disunatkan untuk menggantikan (qadha’) solat-solat sunat, maka pada waktu tersebut dibolehkan untuk menggantikan (qadha’) solat-solat fardhu, sunat rawatib dan selainnya. Begitu juga, dibolehkan untuk menggantikan (qadha’) solat sunat yang menjadi kebiasaan baginya, solat yang dinazarkan, solat jenazah, sujud tilawah, sujud syukur, solat gerhana, solat tawaf, dan jika dia berwuduk pada waktu-waktu ini (yakni yang dilarang untuk solat) maka dia boleh melaksanakan solat sunat dua rakaat. Perkara ini disebutkan secara jelas oleh sebahagian ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i dan di antara dalam kalangan mereka ialah al-Rafi‘i. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/170).

Di antara yang menunjukkan kepada keharusan untuk melakukan solat-solat yang bersebab ini pada waktu-waktu yang dilarang padanya untuk mendirikan solat adalah berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Qais bin ‘Amr, beliau berkata:

رَأَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم رَجُلاً يُصَلِّي بَعْدَ صَلاَةِ الصُّبْحِ رَكْعَتَيْنِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: صَلاَةُ الصُّبْحِ رَكْعَتَانِ فَقَالَ الرَّجُلُ: إِنِّي لَمْ أَكُنْ صَلَّيْتُ الرَّكْعَتَيْنِ اللَّتَيْنِ قَبْلَهُمَا فَصَلَّيْتُهُمَا الآنَ. فَسَكَتَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم.

Maksudnya:Rasulullah SAW melihat seorang lelaki menunaikan solat sesudah solat subuh sebanyak dua rakaat. Lalu Rasulullah SAW bersabda: ‘Solat subuh itu dua rakaat.’ Maka lelaki itu berkata: ‘Sesungguhnya aku belum lagi melaksanakan solat sunat dua rakaat sebelum subuh, maka aku melakukannya sekarang (iaitu selepas solat subuh). Maka Rasulullah SAW pun diam.”

Riwayat Abu Daud (1267)

Hadith di atas menunjukkan, diamnya Nabi SAW itu menjelaskan bahawa Baginda tidak menghalang solat sunat yang mempunyai sebab untuk didirikan selepas daripada solat fardhu subuh — yakni pada waktu yang dilarang untuk solat.

Tambahan lagi, Imam al-Nawawi turut menyatakan bahawa para ulama telah berijma‘ mengenai keharusan solat jenazah selepas Subuh dan juga Asar. (Lihat  al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/72). Malah, para fuqaha Syafi‘iyyah menyebutkan, solat jenazah ini boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja dari sudut ia tidak terhad kepada waktu-waktu yang tertentu. Bahkan menurut al-Mawardi, solat ke atas jenazah, tidak dikhususkan kepada waktu-waktu yang tertentu, begitu juga ia tidak dihukumkan sebagai makruh untuk dilaksanakan pada waktu-waktu yang tertentu. Dibolehkan untuk mengerjakannya pada waktu-waktu yang dilarang solat padanya. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 3/48).

Kesimpulannya

Oleh itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa dibolehkan untuk melakukan solat jenazah selepas solat Asar kerana ia termasuk dalam solat yang mempunyai sebab. Justeru, ia boleh dilakukan pada bila-bila masa sekalipun pada waktu yang dilarang.

Lebih-lebih lagi, ketidakterikatan waktu untuk mendirikan solat jenazah juga kerana kita dituntut untuk menyegerakan proses pengebumian jenazah yang meliputi urusan pemandian, pengkafanan, mensolatkannya, mengiringinya dan mengebumikannya. Ini seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ

Maksudnya: “Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.”

Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”

Riwayat Abu Daud (3201); al-Tirmizi (1024); al-Nasa’i (1986) dan Ibn Majah (1498)

Bertarikh: 26 Oktober 2023 bersamaan 11 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply