Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah bertalbiah dan bertakbir dalam masa yang sama ketika mengerjakan haji?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ
Maksudnya: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.”
(Surah al-Hajj: 27)
Talbiah merupakan satu ucapan yang menandakan kehadiran para Jemaah Haji yang dilafazkan oleh setiap jemaah haji. Ucapan ini dilaungkan setelah berihram ketika berada di tanah suci. Maksud yang dikehendaki dari laungan talbiah ini ialah menyahut seruan Allah SWT, pembuka ucapan dan pengakuan atau ikrar, iltizam serta komitmen perjanjian dan kata-kata langsung atau berdialog dengan Allah SWT.
Lafaz talbiah adalah seperti berikut:
لَبَّيْكَ اللّٰهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لَا شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ، إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَاْلملْكَ لَا شَرِيْكَ لَكَ
Maksudnya: “Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu ya Allah. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Tuhan yang tiada sekutu bagi-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilanMu. Sesungguhnya segala puji dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaanMu, tiada sekutu bagiMu.”
Hal ini bersandarkan hadith daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ لَبَّيْكَ لاَ شَرِيكَ لَكَ لَبَّيْكَ إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لاَ شَرِيكَ لَكَ
Maksudnya: “Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu ya Allah. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Tuhan yang tiada sekutu bagi-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Sesungguhnya segala puji dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaan-Mu, tiada sekutu bagi-Mu.”
Riwayat Muslim (1184)
Manakala takbir pula bermaksud lafaz pujian yang dipuji dengannya Tuhan dan diagungkan-Nya. Inilah seperti yang dijelaskan oleh Imam al-‘Izz ibn Abd al-Salam. (Lihat Qawaid al-Ahkam fi Masalih al-Anam, 2/66)
Firman Allah SWT:
وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ
Maksudnya: “Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaran-Nya!”
(Surah al-Muddatthir: 3)
Maksudnya, hendaklah kamu agungkan Tuhanmu dan disebut dengan kalimah Allahu Akbar (اللهُ أًكْبَرُ). Diriwayatkan juga bahawa tatkala turunnya ayat ini Rasulullah SAW terus menyeru “Allahu Akbar!” (اللهُ أًكْبَرُ). Maka Saidatina Khadijah R.Anha juga bertakbir dan dia amat sukacita dan yakin bahawa itu merupakan satu wahyu. (Lihat Kitab al-Inayah ‘ala al-Hidayah, 1/239)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan hadith daripada Anas R.A, katanya:
كَانَ يُهِلُّ مِنَّا اَلْمُهِلُّ فَلَا يُنْكِرُ عَلَيْهِ، وَيُكَبِّرُ مِنَّا الْمُكَبِّرُ فَلَا يُنْكِرُ عَلَيْهِ.
Maksudnya: “Di antara kami, ada yang membaca talbiyah dan Rasulullah SAW tidak mengingkarinya. Dan ada juga yang bertakbir, sementara Rasulullah SAW juga tidak mengingkarinya.”
Riwayat al-Bukhari (1609) dan Muslim (1285)
Berdasarkan hadith di atas, terdapat beberapa pengajaran, antaranya:
Pertama: Hadith di atas secara sempurna terdapat di dalam Sahih Muslim: Muhammad bin Abu Bakar bertanya kepada Anas bin Malik R.A, di mana kedua mereka sedang berangkat dari Mina menuju ke Padang Arafah, “Apa yang kamu semua lakukan pada hari-hari seperti ini bersama Rasulullah?” Anas menjawab:
كَانَ يُهِلُّ الْمُهِلُّ مِنَّا فَلاَ يُنْكَرُ عَلَيْهِ وَيُكَبِّرُ الْمُكَبِّرُ مِنَّا فَلاَ يُنْكَرُ عَلَيْهِ
Maksudnya: “Antara kami, ada yang membaca talbiyah dan Rasulullah SAW tidak mengingkarinya. Dan ada juga yang bertakbir, sementara Rasulullah SAW juga tidak mengingkarinya.”
Hadith ini merupakan bantahan kepada mereka yang berpendapat bahawa bacaan talibiyah mesti diakhiri pada waktu Subuh pada hari Arafah (9 Zulhijjah).
Kedua: Al-Ihlal (الإِهْلَال) bermaksud mengangkat suara dengan membaca talbiyah. Hadith di atas menjadi dalil dibolehkan bacaan takbir dengan mengambil kedudukan bacaan talbiyah. Sehingga dibolehkan bagi seseorang, untuk terkadang bertalbiyah, dan terkadang bertakbir. Kedua-duanya adalah ibadah sunnah. Nabi SAW telah memperakui hal ini untuk para sahabatnya. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/151)
Selain kitu, terdapat juga hadith daripada Ibn Mas’ud R.A, katanya:
لَقَدْ خَرَجْتُ مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ مِنًى إِلَى عَرَفَةَ، فَمَا تَرَكَ التَّلْبِيَةَ حَتَّى رَمَى جَمْرَةَ الْعَقَبَةِ، إِلَّا أَنْ يَخْلِطَهَا بِتَكْبِيرٍ أَوْ تَهْلِيلٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya aku telah keluar bersama Rasulullah SAW dari Mina menuju Arafah. Nabi SAW tidak pernah meninggalkan bacaan talbiyah sehinggalah Baginda melontar Jamrah al-‘Aqabah. Hanya sahaja Baginda menggabungkannya dengan takbir dan tahlil.”
Riwayat Ahmad (3961), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (9688), Ibn Khuzaimah (2806), al-Hakim dalam al-Mustadrak (1717) dan al-Tahawi dalam Syarh Ma’ani al-Athar (4014). Syeikh Ahmad Syakir menyatakan bahawa isnadnya sahih dalam takhrij al-Musnad (6/28)
Kami akhiri dengan doa:
اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”
Bertarikh: 26 Oktober 2023 bersamaan 11 Rabiulakhir 1445 H