#3882: Waktu Nabi SAW Melontar pada Hari Raya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan tentang waktu Nabi SAW melontar pada hari Raya haji?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan hadith riwayat daripada Jabir R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ خُذُوا مَنَاسِكَكُمْ فَإِنِّي لاَ أَدْرِي لَعَلِّي لاَ أَحُجُّ بَعْدَ عَامِي هَذَا

Maksudnya: “Wahai manusia, ambillah kerja-kerja haji kamu sesungguhnya aku tidak mengetahui apakah aku masih akan melaksanakan haji lagi selepas tahun ini”

Riwayat al-Nasa’i (3062)

Selain itu, terdapat juga hadith yang diriwayatkan oleh  Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا جُعِلَ الطَّوَافُ بِالْبَيْتِ وَبِالصَّفَا وَالمَرْوَةِ وَرَمْيُ الْجِمَارِ لِإِقَامَةِ ذِكْرِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya: “Sesungguhnya tawaf yang dilaksanakan di Baitullah, sa’ie di antara bukit Safa dan Marwah, dan melontar jamrah disyariatkan hanyalah untuk mengingati Allah SWT.”

Riwayat Abu Daud (1888) dan al-Tirmizi  (902). Hadith ini dikatakan sahih oleh al-Tirmizi dan juga telah ditashihkan oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Zahabi.

Imam al-Nawawi berkata: Antara hikmah melontar ialah asal ibadat sebagai ketaatan. Ibadah semuanya sudah tentu mempunyai banyak makna. Ini kerana syara’ tidak perintahkan sesuatu dengan main-main atau secara gurauan. Makna ibadat kadang-kadang difahami oleh mukallaf dan kadang-kadang tidak difahami. Hikmah pada solat untuk melahirkan khusyu’, tawaduk, kepatuhan dan menzahirkan kefakiran kepada Allah SWT.  (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah, hlm. 341)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith daripada Jabir R.A, katanya:

رَمَى رَسُولُ اللهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- الجَمْرَةَ يَوْمَ النَّحْرِ ضُحًى، وأمَّا بَعْدَ ذلِكَ، فَإذَا زَالَتِ الشَّمْسُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melontar Jamrah pada hari raya Korban, pada waktu Dhuha. Adapun setelah itu  (11,12,dan 13 Zulhijjah), sesudah matahari tergelincir.”

Riwayat Muslim (1299)

Berdasarkan hadith di atas, dapat diambil beberapa pengajaran. Syeikh Abdullah al-Bassam dalam Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram (4/168) menyebut:

  • Telah dijelaskan bahawa yang disunatkan adalah melontar jamrah aqabah setelah matahari terbit dengan mengamalkan hadith riwayat Ibn ‘Abbas R.Anhuma yang lalu. Dan sesungguhnya waktu jawaz (harus/boleh) untuk melontar adalah sejak sebelum terbit fajar dari malam Hari Raya Korban.

Daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ تَرْمُوا الجَمْرَةَ حَتَّى تَطلُعَ الشَّمْسُ

Maksudnya: “Janganlah kamu semua melontar jamrah sehinggalah matahari terbit.”

Riwayat Ahmad (19778), Abu Daud (1940), al-Tirmizi (893), al-Nasa’ie (5/270) dan Ibn Majah (1942)

Hadith riwayat Jabir R.A di atas adalah pendukung dan penguat kepada hadith riwayat Ibn ‘Abbas. Ini adalah perbuatan Nabi SAW yang disebut dalam sabdanya:

خُذُوا عَنِّي مَنَاسِكَكُمْ

Maksudnya: “Ambillah dariku tatacara ibadah haji kamu semua.”

Riwayat Muslim (1297) dengan perbezaan lafaz dan al-Nasa’ie (3062)[1].

  • Bahawa waktu melontar jamrah yang tiga dilakukan pada hari tasyriq dan setelah tergelincirnya matahari.

Imam al-Nawawi berkata dalam Syarh Sahih Muslim: “Mazhab kami, iaitu mazhab al-Syafi’[i, Malik, Ahmad dan jumhur ulama’ menyatakan; bahawa melontar jamrah pada tiga hari tersebut (tasyriq) tidak boleh dilakukan, kecuali setelah matahari tergelincir. Abu Hanifah dan Ishaq berkata; melontar dibolehkan pada hari ketiga sebelum matahari tergelincir.”  (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 9/48)

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

[1] Dalam Sunan Ibn Majah, dengan lafaz:

 يَا أَيُّهَا النَّاسُ خُذُوا مَنَاسِكَكُمْ فَإِنِّي لاَ أَدْرِي لَعَلِّي لاَ أَحُجُّ بَعْدَ عَامِي هَذَا

Maksudnya:  “Wahai manusia, ambillah kerja-kerja haji kamu. Sesungguhnya aku tidak mengetahui apakah aku masih akan melaksanakan haji lagi selepas tahun ini.”

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *