Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan, apakah hikmah bercukur atau bergunting dalam ibadah haji atau umrah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Allah SWT berfirman:

لَتَدْخُلُنَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ إِن شَاءَ اللَّـهُ آمِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ لَا تَخَافُونَ

Maksudnya: Iaitu Sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjid Al-Haram – insya Allah (pada masa Yang ditentukanNya) – Dalam keadaan aman (menyempurnakan ibadah umrah kamu) dengan mencukur kepala kamu, dan dengan menggunting sedikit rambutnya, serta kamu tidak perlu merasa takut (akan pengkhianatan musuh sehingga kamu keluar balik dari situ).”

(Surah al-Fath: 27)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Firman-Nya, ‘مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ’, yakni dalam keadaan mencukur seluruh rambutnya, dan sebahagian yang lain sebahagian rambutnya. Al-Tahliq (mencukur seluruh rambut) dan al-taqsir (memotong sebahagian rambut) untuk kaum lelaki, kedua-duanya boleh. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 13/421)

Daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «اللَّهُمَّ ارْحَمِ الْمُحَلِّقِينَ» قَالُوا: وَالْمُقَصِّرِينَ يَا رَسُولَ اللَّهِ، قَالَ: «اللَّهُمَّ ارْحَمِ الْمُحَلِّقِينَ» قَالُوا: وَالْمُقَصِّرِينَ يَا رَسُولَ اللَّهِ، قَالَ: «وَالْمُقَصِّرِينَ».

Maksudnya: Rasulullah SAW berdoa: “اللَّهُمَّ ارْحَمِ الْمُحَلِّقِينَ” (Ya Allah, rahmatilah orang-orang yang mencukur rambut mereka).” Para sahabat berkata: “Dan (doakanlah rahmat juga buat) orang-orang yang menggunting (rambut mereka), wahai Rasulullah.” Baginda mengucapkan: “اللَّهُمَّ ارْحَمِ الْمُحَلِّقِينَ»” (Ya Allah, rahmatilah orang-orang yang mencukur rambut mereka).” Mereka berkata lagi: “Dan (doakanlah rahmat juga buat) orang-orang yang menggunting (rambut mereka), wahai Rasulullah.”  Baginda menyambung: “Dan (rahmati jugalah wahai Allah) orang-orang yang menggunting (rambut mereka).

Riwayat al-Bukhari (1727) dan Muslim (1301)

Berkenaan persoalan di atas, Syeikh Abdullah al-Bassam dalam Taudhih al-Ahkam (4/175) berkata:

Antara rahsia mencukur dan memendekkan rambut adalah bahawa pada keduanya terdapat kepatuhan yang sempurna, tunduk kepada Allah SWT, menzahirkan sifat ubudiyyah dan patuh dengan taat kepadanya. Oleh kerana itu, mencukur seluruh rambut lebih utama daripada memendekkan. Ini kerana, mencukur lebih merealisasikan syiar ibadah yang agung ini. Selain itu, mencukur lebih menunjukkan  kebenaran atau kejujuran niat si pelaku dalam sikap tunduk kepada Allah dan menzahirkan kepatuhan.

Selain itu, antara rahsia dan hikmah yang lain adalah ia dapat menghilangkan kotoran yang menimpa jemaah haji ketika dia melakukan ihram. Dan hal tersebut diisyaratkan dalam firman Allah SWT:

ثُمَّ لْيَقْضُوا تَفَثَهُمْ

Maksudnya: “Kemudian hendaklah mereka membersihkan diri mereka.”

(Surah al-Haj: 29)

Para ulama’ menjelaskan dengan hal tersebut sampai mereka tenggelam menuju Baitullah dengan keadaan yang cantik dan berhias sekaligus merealisasikan firman Allah SWT:

 يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ

Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang).”

(Surah al-A’raf: 31)

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply