Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bagaimanakah cara untuk mengiringi jenazah jika dalam keadaan berkenderaan; di hadapan jenazah atau dibelakangnya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, kita dituntut untuk menyegerakan pengurusan jenazah yang meliputi pemandian, mengkafankan, mensolatkan, serta pengebumian. Ini seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ

Maksudnya: “Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.”

Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)

Berdasarkan hadith ini, disunatkan untuk disegerakan solat jenazah dan membawanya ke perkuburan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/20 dan 2/51). Selain itu, menyegerakan pengebumian jenazah di dalam hadith di atas termasuk proses memandikan, mengkafankan, mengangkat serta mengusungnya ke tanah perkuburan. (Lihat Fatawa Syeikh Ilisy, 1/155).

Selain itu, tidak dapat dinafikan lagi, solat jenazah mempunyai ganjaran yang besar bagi mereka yang mengerjakannya. Begitu juga mereka yang mengiringi jenazah ke tanah perkuburan. Hal ini adalah berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ شَهِدَ الْجَنَازَةَ حَتَّى يُصَلَّى عَلَيْهَا فَلَهُ قِيرَاطٌ، وَمَنْ شَهِدَهَا حَتَّى تُدْفَنَ فَلَهُ قِيرَاطَانِ. قِيلَ: وَمَا الْقِيرَاطَانِ؟ قَالَ: مِثْلُ الْجَبَلَيْنِ الْعَظِيمَيْنِ

Maksudnya:Sesiapa yang menghadiri solat jenazah sehingga ia disolatkan ke atasnya, maka baginya satu qirat. Sesiapa yang mengiringi jenazah sehingga ia dikebumikan, maka baginya dua qirat. Ditanyakan kepada Baginda SAW: ‘Apakah yang dimaksudkan dengan dua qirat? Baginda SAW menjawab: ‘Seperti dua gunung yang besar.’

Riwayat al-Bukhari (1325) dan Muslim (945)

Begitu juga hadith daripada riwayat Thauban R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏ مَنْ صَلَّى عَلَى جَنَازَةٍ فَلَهُ قِيرَاطٌ فَإِنْ شَهِدَ دَفْنَهَا فَلَهُ قِيرَاطَانِ الْقِيرَاطُ مِثْلُ أُحُدٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengerjakan solat jenazah maka dia akan mendapat pahala sebanyak satu qirat. Jika sekiranya dia menyaksikan pengebumian jenazah maka dia akan mendapat dua qirat, dan satu qirat itu ganjarannya sebesar bukit Uhud.”

Riwayat Muslim (946)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, al-Buhuti dalam Kassyaf al-Qina‘ (4/176-177) menyebutkan dianjurkan atau disunatkan kepada orang yang mengiringi jenazah yang dalam keadaan berkenderaan untuk mengiringi jenazah di belakangnya. Begitu juga Syeikh Abdullah al-Bassam turut menyatakan, ini juga merupakan pendapat imam yang empat (iaitu disunatkan kepada orang yang berkenderaan untuk mengikuti jenazah di belakangnya). Al-Khattabi menyebutkan, aku tidak mengetahui adanya khilaf dalam kalangan mereka mengenai orang yang berkenderaan mengikuti atau mengiringi jenazah di belakangnya. Demikian juga dinyatakan dalam dalam al-Insaf bahawa hal itu tanpa adanya sebarang khilaf. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/222).

Hal ini adalah  berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh al-Mughirah bin Syu‘bah secara marfu‘ bahawa Baginda bersabda:

الرَّاكِبُ خَلْفَ الْجَنَازَةِ

Maksudnya: “Orang yang berkenderaan mengiringi di belakang jenazah.”

Riwayat al-Tirmizi (1031) dan beliau menilainya sebagai hasan sahih.

Hal ini juga kerana orang yang berkenderaan jika mengiringi jenazah tersebut di hadapannya akan memberikan gangguan kepada orang yang mengikutinya. Namun, jika dia berkenderaan dan dia mengikuti jenazah tersebut di hadapannya, maka hukumnya adalah makruh. Ini adalah sebagaimana disebutkan oleh al-Majd. Begitu juga al-Nakha‘i turut menyebutkan, mereka menghukumkannya sebagai makruh. Ini diriwayatkan oleh Sa‘id.

Begitu juga dihukumkan sebagai makruh mengiringi jenazah secara berkenderaan melainkan adanya keperluan atau ketika pulang dan kembali darinya. Jadi, ketika itu tidak dihukumkan sebagai makruh. (Lihat Kassyaf al-Qina‘, 4/177; Taudhih al-Ahkam, 3/222).

Kesimpulannya

 Oleh itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa dianjurkan dan digalakkan kepada orang yang mengiringi jenazah secara berkenderaan untuk mengiringinya di belakang jenazah tersebut. Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith Nabi SAW yang menunjukkan kepada hal tersebut. Namun, jika orang yang mengiringi jenazah secara berkenderaan itu tetap mengiringi jenazah dengan cara berada di hadapannya, maka hal itu tidak mengapa tetapi dihukumkan sebagai makruh. Ini kerana dikhuatiri ia akan memberi gangguan kepada orang lain yang juga mengikuti jenazah tersebut.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”

Riwayat Abu Daud (3201); al-Tirmizi (1024); al-Nasa’i (1986) dan Ibn Majah (1498)

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply