Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum seseorang bangun apabila melihat jenazah? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, tidak dapat dinafikan lagi, solat jenazah mempunyai ganjaran yang besar bagi mereka yang mengerjakannya. Begitu juga mereka yang mengiringi jenazah ke tanah perkuburan. Hal ini adalah berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ شَهِدَ الْجَنَازَةَ حَتَّى يُصَلَّى عَلَيْهَا فَلَهُ قِيرَاطٌ، وَمَنْ شَهِدَهَا حَتَّى تُدْفَنَ فَلَهُ قِيرَاطَانِ. قِيلَ: وَمَا الْقِيرَاطَانِ؟ قَالَ: مِثْلُ الْجَبَلَيْنِ الْعَظِيمَيْنِ

Maksudnya:Sesiapa yang menghadiri solat jenazah sehingga ia disolatkan ke atasnya, maka baginya satu qirat. Sesiapa yang mengiringi jenazah sehingga ia dikebumikan, maka baginya dua qirat. Ditanyakan kepada Baginda SAW: ‘Apakah yang dimaksudkan dengan dua qirat? Baginda SAW menjawab: ‘Seperti dua gunung yang besar.’

Riwayat al-Bukhari (1325) dan Muslim (945)

Begitu juga hadith daripada riwayat Thauban R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏ مَنْ صَلَّى عَلَى جَنَازَةٍ فَلَهُ قِيرَاطٌ فَإِنْ شَهِدَ دَفْنَهَا فَلَهُ قِيرَاطَانِ الْقِيرَاطُ مِثْلُ أُحُدٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengerjakan solat jenazah maka dia akan mendapat pahala sebanyak satu qirat. Jika sekiranya dia menyaksikan pengebumian jenazah maka dia akan mendapat dua qirat, dan satu qirat itu ganjarannya sebesar bukit Uhud.”

Riwayat Muslim (946)

Hadith ini mengandungi kelebihan dan fadhilat ke atas orang yang hadir menyaksikan dan mendirikan solat jenazah, mengiringinya, membawanya dan mengebumikannya di tanah perkuburannya; sebagai suatu bentuk pengakuan kepada janji Allah dan mengharapkan ganjaran-Nya. Begitu juga mereka yang mendirikan solat jenazah hingga proses pengebumiannya dan langsung tidak meninggalkannya (sehinggalah selesai), baginya ganjaran atau pahala setara dengan dua qirat. Satu qirat setara dengan gunung yang besar  dan dalam riwayat yang lain, ia diumpamakan sebagai sebuah gunung Uhud. Namun, bagi mereka yang hanya menunaikan solat jenazah tetapi tidak mengiringi jenazah itu hingga ke kubur, separuh daripada ganjaran besar ini sudah lenyap atau tergugur daripadanya.

Selain itu, hadith ini juga mengandungi anjuran syarak untuk menghadiri proses pengebumian jenazah kerana terdapatnya manfaat besar hal itu. Ini termasuklah memenuhi hak orang yang meninggal dunia dengan berdoa buatnya, melakukan solat jenazah ke atasnya, memenuhi atau menunaikan hak ahli keluarganya dengan menenangkan dan menghiburkan mereka atas musibah kematian yang menimpa mereka, mendapat ganjaran dan pahala untuk mereka yang mengiringi jenazah, serta mendapat pengajaran di samping mengambil iktibar dengan melihat kematian dan kubur-kubur, dan lain-lain perkara daripada hukum yang Allah telah tetapkan dalam syariat-Nya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/219).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, terdapat riwayat daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

‏إِذَا رَأَيْتُمُ الْجَنَازَةَ فَقُومُوا، فَمَنْ تَبِعَهَا فَلاَ يَقْعُدْ حَتَّى تُوضَعَ

Maksudnya: “Sekiranya engkau melihat jenazah melepasi engkau, maka berdirilah. Sesiapa yang mengiringinya jenazah, maka janganlah dia duduk sehingga jenazah diletakkan.

Riwayat al-Bukhari (1310) dan Muslim (959)

Secara zahirnya, hadith ini menunjukkan kepada wajibnya untuk berdiri ketika jenazah lalu sebagai suatu penghormatan kepada urusan kematian. Oleh sebab itu, terdapat hadith menyatakan:

إنَّ الـمَوْتَ فَزَعٌ، فَإِذا رَأَيْتُمُ الجَنازَةَ فَقُومُوا

Maksudnya: “Sesungguhnya kematian adalah hal yang mengerikan, maka apabila kamu melihat jenazah, berdirilah.

Riwayat Muslim (960)

Hal ini disebabkan oleh penghormatan terhadap perintah Allah SWT dan penghormatan terhadap perintah orang yang melaksanakannya di kalangan manusia dan malaikat yang dekat dengan-Nya.

Adapun berkenaan lafaz, “فَمَنْ تَبِعَهَا فَلاَ يَقْعُدْ حَتَّى تُوضَعَ”, Imam al-Nawawi menyebutkan, mazhab jumhur ulama berpendapat hal itu adalah disunatkan (istihbab). Hal ini adalah berdasarkan kepada kesahihan hadith-hadith yang menyebutkan digalakkan (sunat) berdiri sehinggalah jenazah dimasukkan dalam kubur.

Selain itu, dinyatakan dalam Syarh al-Zad wa Hasyiatuhu bahawa dihukumkan sebagai makruh untuk duduk sehingga jenazah diletakkan di tanah bagi tujuan pengebumian, kecuali bagi sesiapa yang jauh kerana jika dia terpaksa menunggu dalam keadaan berdiri sehinggalah jenazah sampai dan diletakkan ke dalam kubur akan mengakibatkan kesukaran dan masyaqqah kepadanya. Terdapat riwayat daripada al-Bara’, katanya:

خَرَجْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي جَنَازَةِ رَجُلٍ مِنْ الْأَنْصَارِ فَانْتَهَيْنَا إِلَى الْقَبْرِ وَلَمَّا يُلْحَدْ فَجَلَسَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَجَلَسْنَا حَوْلَهُ

Maksudnya: “Kami bersama Rasulullah SAW keluar untuk melihat jenazah seorang lelaki Ansar, lalu kami pun tiba di kubur. Ketika mana lubang lahad telah dibuat, Rasulullah SAW duduk, lalu kami ikut duduk di sekelilingnya.

Riwayat Abu Daud (3212); al-Nasa’i (2001); Ibn Majah (1549) dengan sedikit perbezaan lafaz.

Kemudian, Syeikh Abdullah al-Bassam menyebutkan pula khilaf ulama berkenaannya. Jumhur ulama termasuk para imam yang empat berpendapat, tidak disunatkan berdiri ketika melihat jenazah. Mereka berpendapat, perintah untuk berdiri ketika melihat jenazah telah dimansuhkan. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Ali bin Abu Talib R.A, katanya:

أمَرنا رسولُ اللهِ صلّى اللهُ عليه وسلَّمَ بالقيامِ في الجِنازةِ، ثُم جلَس بعدَ ذلك وأمَرنا بالجُلوسِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW memerintahkan kami agar berdiri ketika melihat jenazah, setelah itu Baginda duduk dan memerintahkan kami untuk duduk.

Riwayat Ahmad (623) dan Abu Daud (3175)

Imam Ahmad menyebutkan, sekiranya dia bangun tidak ada apa-apa, dan sekiranya dia duduk pun tidak mengapa. Namun, Imam al-Nawawi berpendapat, pendapat yang terpilih adalah disunatkan untuk berdiri ketika melihat jenazah. Malah, pendapat yang menyatakan disunatkan (istihbab) untuk berdiri adalah pendapat yang dipilih oleh al-Syeikh Taqiyuddin. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/225-226).

Kesimpulannya

Oleh itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa ia termasuk dalam perkara yang diperselisihi dalam kalangan ulama dan kami melihat perkara ini adalah luas. Namun, kami berpendapat bahawa dianjurkan atau disunatkan untuk berdiri ketika melihat jenazah sehinggalah selesai urusan pengebumiannya sebagaimana nas yang sahih yang menunjukkan kepada hal tersebut. Perbuatan berdiri itu adalah sebagai suatu penghormatan kepada urusan kematian, penghormatan terhadap perintah Allah SWT dan penghormatan terhadap perintah orang yang melaksanakannya di kalangan manusia dan malaikat yang dekat dengan-Nya

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”

Riwayat Abu Daud (3201); al-Tirmizi (1024); al-Nasa’i (1986) dan Ibn Majah (1498)

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply