Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum memandikan jenazah dengan menggunakan air panas atau suam, terutamanya ketika musim sejuk? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, secara umumnya, memandikan jenazah adalah suatu kewajipan yang diletakkan di dalam fardhu kifayah. Hal ini bermakna, kewajipan itu wajib ke atas masyarakat di sesuatu tempat, dan kewajipan itu hanya akan terangkat atau dikira selesai apabila sebahagian daripada masyarakat menunaikan tanggungjawab tersebut. Bahkan kewajipan memandikan jenazah ini berasal daripada arahan Nabi SAW sendiri.

Terdapat riwayat menceritakan bahawa ketika berlakunya tragedi seorang lelaki yang mati akibat terjatuh daripada unta, maka diseru untuk dimandikan jenazahnya, sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma:

اغْسِلُوهُ بِمَاءٍ وَسِدْرٍ, وَكَفِّنُوهُ فِي ثَوْبَيْنِ

Maksudnya: “Mandikanlah dia dengan air yang dicampur daun bidara dan kafanilah dengan dua helai kain.”

Riwayat al-Bukhari (1265) dan Muslim (1206)

Menurut Syeikh Abdullah al-Bassam, hadith ini menunjukkan kepada anjuran atau galakkan (sunat) untuk menyegerakan pengurusan jenazah, sekiranya kematiannya tidak berlaku secara mengejut. Ini kerana perlu dipastikan akan kematiannya terlebih dahulu atau dilewatkan disebabkan oleh maslahah supaya ramai orang melakukan solat jenazah untuknya atau kerana menunggu kehadiran kaum kerabat dan sebagainya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/163).

Keduanya, dalam menjawab soalan di atas, memandikan jenazah atau mayat hendaklah dengan menggunakan air mutlak, yang boleh digunakan bagi mengangkat hadas dan membersihkan najis. Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa air-air yang boleh digunakan untuk bersuci ada tujuh iaitu air laut, air hujan, air sungai, air mata air, air salji dan air sejuk. (Lihat al-Fiqh al-Syafi‘i al-Muyassar, 1/79).

Seterusnya, secara ringkasnya, berkenaan memandikan jenazah dengan air yang dipanaskan, sekurang-kurangnya terdapat tiga pendapat dalam hal ini, sebagaimana disebutkan oleh Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Jaziri:

Pendapat pertama, memandikan jenazah dengan air yang dipanaskan adalah dibolehkan jika ada keperluan seperti terlalu sejuk atau menghilangkan kotoran. Sekiranya tidak, maka dianjurkan (sunat) untuk memandikan jenazah dengan air sejuk (yakni biasa). Ini adalah pendapat yang disepakati di sisi ulama Syafi‘iyyah dan Hanabilah.

Pendapat kedua menyatakan, tidak ada beza antara air sejuk dan air panas dalam hal memandikan jenazah. Dalam erti kata lain, kedua-dua air itu boleh digunakan untuk memandikan jenazah, tidak kira ketika adanya keperluan ataupun tidak. Ini adalah pendapat dalam kalangan ulama Malikiyyah.

Pendapat ketiga pula menyatakan, air panas adalah lebih baik dan afdhal dalam semua keadaan. Ini adalah pendapat dalam kalangan ulama Hanafiyyah. (Lihat al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-Arba‘ah, 1/461).

Begitu juga Ibn Qudamah ada menyabutkan bahawa dibolehkan untuk memandikan jenazah dengan air panas jika tujuannya adalah untuk menghilangkan kotoran yang melekat pada tubuh badan jenazah. Beliau menyebutkan, air panas, usynan[1] dan cuka boleh digunakan sekiranya ada keperluan untuk menggunakannya. Misalnya, diperlukan untuk menggunakan air panas kerana terlalu sejuk atau bagi menghilangkan kotoran yang tidak dapat dihilangkan melainkan dengannya. Demikianlah juga usynan boleh digunakan jika pada tubuh mayat terdapat kotoran. (Lihat al-Mughni, 3/378).

Tambahan lagi, Da’irah al-Ifta’ al-Urduniyyah turut menyatakan, digalakan (sunat) untuk menggunakan air sejuk (yakni air biasa) ketika proses memandikan jenazah kecuali apabila adanya keperluan untuk menggunakan air panas bagi menghilangkan najis yang tidak dapat dihilangkan dengan hanya menggunakan air sejuk.[2]

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada soalan yang diajukan, kami melihat perkara ini adalah luas. Mana-mana air yang digunakan tidak kira air sejuk atau air panas selagi mana ia adalah air mutlak, maka mandi jenazah itu adalah sah. Justeru, kami berpendapat bahawa boleh untuk memandikan mayat atau jenazah dengan panas jika ada keperluan untuk menggunakannya seperti bagi menghilangkan kotoran dan najis, kerana cuaca terlalu sejuk atau seumpamanya. Sekiranya tidak, maka disunatkan untuk memandikan jenazah dengan air sejuk — air biasa.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”

Riwayat Abu Daud (3201); al-Tirmizi (1024); al-Nasa’i (1986) dan Ibn Majah (1498)

[1] Sejenis pokok yang dijadikan sebagai bahan untuk mencuci dan membersihkan pakaian dan juga tangan.

[2] Lihat https://www.aliftaa.jo/Question2.aspx?QuestionId=3603. Diakses pada 26 Oktober 2023.

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply