Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bagaimana cara untuk memasukkan jenazah ke dalam liang? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

كُلُّ نَفۡس ذَآئِقَةُ ٱلۡمَوۡتِۗ

Maksudnya: “Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.

(Surah Ali ‘Imran: 185)

Al-Maraghi dalam tafsirnya menafsirkan bahawa bagi setiap yang bernyawa itu pasti akan mengalami saat perpisahan dengan jasadnya. Walaupun badannya mati, namun jiwa tidak akan mati. Hal ini kerana mampu merasakan sesuatu adalah yang hidup sedangkan bagi yang telah mati, tidak akan mampu merasakan sesuatu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/861).

Begitu juga, Sayyid Qutub menafsirkan bahawa setiap yang hidup pasti akan meneguk air maut dan akan berpisah dari kehidupannya. Tiada ada beza di antara seseorang dengan yang lain dalam kepastian merasai air maut, malah yang berbeza diantara mereka adalah nasib dan kesudahan mereka selepas meninggalkan dunia ini. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 2/19).

Seterusnya, kita dituntut untuk menyegerakan pengurusan jenazah yang meliputi pemandian, mengkafankan, mensolatkan, serta pengebumian. Ini seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ

Maksudnya: “Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.”

Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)

Berdasarkan hadith ini, disunatkan untuk disegerakan solat jenazah dan membawanya ke perkuburan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/20 dan 2/51). Selain itu, menyegerakan pengebumian jenazah di dalam hadith di atas termasuk proses memandikan, mengkafankan, mengangkat serta mengusungnya ke tanah perkuburan. (Lihat Fatawa Syeikh Ilisy, 1/155).

Justeru, pada asasnya, jenazah hendaklah dilakukan ke atasnya empat perkara. Pertama, memandikan. Kedua, mengkafankan. Ketiga, menyembahyangkan iaitu melaksanakan solat jenazah ke atasnya. Keempat, mengebumikannya. Ini adalah asas fardhu kifayah menurut ijma‘ para ulama tanpa khilaf. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/104).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, terdapat riwayat daripada Abu Ishaq bahawa:

أَنَّ عَبْدَ اللهِ بْنَ يَزِيدَ أدْخَلَ المَيِّتَ مِنْ قِبلِ رِجْلِيِ القَبْرِ، وَقَالَ: هَذَا مِنَ السُّنَّةِ

Maksudnya: “Abdullah bin yazid memasukkan mayat di dalam kubur dari sisi berhampiran kaki kubur[1] dan berkata: ‘Ini adalah sunnah (Nabi SAW).’

Riwayat Abu Daud (3211)

Syeikh Abdullah al-Bassam ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan, ia menunjukkan kepada anjuran atau galakan (sunat) untuk memasukkan mayat ke dalam kuburnya secara perlahan-lahan (berhati-hati) dengan menjadikan kepala mayat masuk dari arah bahagian kubur yang akan menjadi posisi kakinya apabila dikebumikan. Kemudian masukkan atau gerakkan mayat itu secara perlahan-lahan dan lemah lembut kerana Nabi SAW dimasukkan ke dalam kuburnya dari arah kepalanya dahulu. Ini adalah sebagaimana diriwayatkan oleh Imam al-Syafi‘i (2/360) dan al-Baihaqi (4/54) dengan sanad yang sahih. Tambahan lagi, perkara ini juga adalah makruf di sisi para sahabat dan menjadi amalan golongan Muhajirin dan Ansar.

Namun, jika tidak boleh untuk memasukkan mayat dengan cara seperti ini atau terdapatnya kesukaran untuk melakukannya, maka masukkanlah mayat ke dalam kuburnya dengan mana-mana cara yang mudah kerana yang pentingnya adalah bersikap lemah lembut dengan mayat (atau berhati-hati dan tidak bersikap kasar) ketika memasukkannya ke dalam kubur.

Kemudian, lafaz “هَذَا مِنَ السُّنَّةِ” bermaksud sunnah Nabi SAW dan ia merangkumi sama ada wajib atau sunat. Akan tetapi sunnah yang dimaksudkan dalam hadith ini adalah merujuk kepada perkara itu disunatkan (istihbab).

Selain daripada itu, Syeikh Abdullah al-Bassam juga ada menyebutkan khilaf dan perbahasan ulama berkenaannya. Para ulama telah bersepakat (ijma‘) bahawa diharuskan untuk memasukkan mayat ke dalam kubur dengan cara apa sekalipun. Akan tetapi mereka berselisih pendapat berkenaan cara yang paling baik (afdhal) untuk memasukkannya kepada sekurang-kurangnya tiga pendapat:

Pendapat pertama: Ulama Syafi‘iyyah dan Hanabilah berpendapat, cara yang paling untuk memasukkan mayat ke dalam kuburnya adalah dengan cara memasukkan kepala mayat dari arah bahagian kubur yang akan menjadi posisi kakinya apabila dikebumikan. Kemudian masukkan atau gerakkan mayat itu secara perlahan-lahan dan lemah lembut. Ini adalah berdasarkan kepada hadith yang telah disebutkan di atas.

Pendapat kedua: Imam al-Syafi‘i dalam satu pendapatnya menyatakan, cara yang berlawanan sebagaimana di atas (pendapat pertama) iaitu memasukkan mayat dari arah bahagian kubur yang akan menjadi posisi kepalanya apabila dikebumikan — yakni kaki masuk dahulu.

Pendapat ketiga:  Imam Abu Hanifah berpendapat, cara yang paling baik adalah dengan memasukkan mayat ke dalam kuburnya dari arah kiblat secara mengiring kerana ia adalah lebih mudah. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/227-228).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa perkara ini adalah luas dan diharuskan untuk memasukkan mayat ke dalam kubur dengan cara apa sekalipun dengan syarat tetap berhati-hati dan bersikap lemah lembut dengan mayat dan bukannya dengan cara yang kasar. Namun, para ulama berselisih pendapat mengenai cara memasukkan mayat ke dalam kuburnya yang paling baik.

Dalam hal ini, kami berpendapat bahawa disunatkan untuk memasukkan mayat ke dalam kuburnya dengan cara memasukkan kepalanya terlebih dahulu dari arah bahagian kubur yang akan menjadi posisi kakinya apabila dikebumikan. Kemudian masukkan atau gerakkan mayat itu secara perlahan-lahan dan lemah lembut. Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith yang telah disebutkan di atas.

Akan tetapi sekiranya tidak boleh untuk memasukkan mayat dengan cara seperti ini atau terdapatnya kesukaran untuk melakukannya, maka masukkanlah mayat ke dalam kuburnya dengan mana-mana cara yang mudah kerana yang pentingnya adalah bersikap lemah lembut dengan mayat (atau berhati-hati dan tidak bersikap kasar) ketika memasukkannya ke dalam kubur.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”

Riwayat Abu Daud (3201); al-Tirmizi (1024); al-Nasa’i (1986) dan Ibn Majah (1498)

[1] Iaitu hujung yang akan menampung kaki apabila jenazah diletakkan di dalamnya.

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply