Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, kenapakah islam melarang mengukir tatu pada bahagian badan ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan di sini terlebih dahulu takrif tatu. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, tatu ialah tanda pada badan yang dibuat dengan melarik dan mencucuk dan memasukkan warna, cacah.[1]

Manakala Portal Rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia menyatakan, tatu adalah lukisan atau tanda kekal di atas kulit yang dibuat dengan menggunakan dakwat pigmen atau pewarna yang dimasukkan ke kulit melalui tusukan jarum ke lapisan dermis (lapisan kedua kulit). Dakwat dimasukkan ke dalam lapisan dermis kerana sel kulit di bahagian ini adalah stabil, oleh itu tatu akan menjadi kekal. Selain itu, tatu boleh dilakukan secara manual (menggunakan tangan) atau dengan menggunakan peralatan elektrik yang menggunakan sistem tiub dan jarum. Biasanya dengan menggunakan peralatan elektrik ini, jarum akan mencucuk kulit lebih kurang 3 mm dalam dan dakwat yang disimpan dalam tiub tersebut akan dimasukkan ke dalam lubang tusukan jarum tersebut. Biasanya, proses pembuatan tatu ini tidak menggunakan bius, oleh itu orang yang sedang ditatu mungkin akan berasa sakit semasa prosedur itu dijalankan. Begitu juga berkemungkinan akan berlaku pendarahan kecil di kawasan tusukan jarum tersebut.

Selain daripada itu, membuat tatu juga mempunyai risiko kesihatan. Di antaranya:

  • Jangkitan kuman: Memandangkan proses membuat tatu melibatkan kelukaan pada kulit, maka ia boleh menyebabkan jangkitan setempat pada luka tersebut. Gejala yang biasa berlaku adalah bengkak, sakit dan bernanah di kawasan tersebut.
  • Reaksi alahan: Alahan biasa berlaku di kawasan tatu terutamanya jika tatu tersebut menggunakan pewarna merah. Gejala yang mungkin berlaku adalah ruam gatal dan bengkak merah.

Walau bagaimanapun gejala yang lebih teruk mungkin berlaku seperti sukar bernafas, pengsan, bengkak mata dan sebagainya.

  • Pembentukan “granuloma” iaitu terdapat pembengkakan kronik berlaku pada kawasan yang telah mengalami jangkitan kuman.
  • Pembentukan keloid iaitu keadaan di mana parut tebal timbul di kawasan tusukan jarum tatu.
  • Jangkitan kuman bawaan darah

Sekiranya peralatan yang digunakan untuk membuat tatu itu dicemari oleh darah yang telah dijangkiti virus Hepatitis C, Hepatitis B dan HIV, maka anda juga berisiko untuk mendapat jangkitan tersebut. Anda juga berisiko untuk mendapat jangkitan tetanus (kancing gigi) dari peralatan yang tercemar.[2]

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa mengukir tatu di badan merupakan perkara yang diharamkan oleh syara’. Ini kerana terdapat larangan keras dari dari Rasulullah SAW mengenai perbuatan tersebut. Hal ini boleh dilihat melalui firman Allah SWT:

وَلَآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللَّهِ ۚ وَمَن يَتتَّخِذِ الشَّيْطَانَ وَلِيًّا مِّن دُونِ اللَّهِ فَقَددْ خَسِرَ خُسْرَانًا مُّبِينًا

Maksudnya: “Dan aku (syaitan) akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.”

(Surah al-Nisa’: 119)

Imam al-Tabari menjelaskan, bahawa dalam satu konteks, ayat ini memberi makna larangan mengubah ciptaan Allah SWT. (Lihat Jami‘ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 9/222).

Begitu juga hadith yang diriwayatkan daripada daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, beliau berkata:

لَعَنَ اللَّهُ الوَاشِمَاتِ والمــُوتَشِمَاتِ، والمــُـــتَنَمِّصَاتِ، والمــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ

Maksudnya: “Allah melaknat wanita-wanita yang membuat tatu, yang meminta dilukiskan tatu, yang mencabut bulu-bulu wajah dan yang merenggangkan gigi untuk kecantikan, yang mengubah ciptaan Allah.”

Riwayat al-Bukhari (4886)

Al-Wasyimah ialah perbuatan  menusuk jarum ke dalam bahagian tubuh sendiri atau orang lain, sehingga darah mengalir, kemudian mengisi bahagian tersebut dengan al-kohol dan pewarna, sehingga ia menjadi hijau. Manakala al-Mutasyimah ialah orang yang meminta untuk dibuatkan tatu padanya.

Hadith ini menunjukkan bahawa perbuatan mengukir tatu adalam haram. Orang yang melakukannya atau meminta untuk dilakukan perkara tersebut adalah dilaknat. Laknat ini tidak berlaku kecuali melainkan pada perkara yang melibatkan dosa besar.

Al-Alusi menyatakan dalam kitabnya ‘Bulugh al-Arb’: Sesungguhnya tindakan membuat tatu adalah pandangan yang salah dan amalan yang sangat tercela; oleh itu, syariah Islam mengharamkannya dan menjadikannya sebagai perkara yang dilarang, kerana ia melibatkan perubahan ciptaan Allah. (Lihat Taudih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram,5/374)

Hadith ini menunjukkan akan pengharaman semua perkara tersebut dan lafaz ‘laknat’ yang terdapat di dalamnya merupakan dalil bahawa ia termasuk dalam dosa-dosa besar. Selain itu, sebab kepada laknat itu turut dinyatakan dalam hadith melalui lafaz “المــُـغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ” iaitu sifat yang dikehendaki oleh orang yang membuat tatu, mencabut bulu wajah dan merenggangkan gigi. (Lihat Fath al-Bari, 10/373).

Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam isu ini menyatakan, tatu akan mencacatkan muka dan kedua tangannya (yakni tubuh badannya) dengan warna-warna seperti biru dan lukisan-lukisan yang hodoh. Sebahagian masyarakat Arab terutamanya wanita meminta dibuatkan tatu pada sebahagian besar badan mereka. Begitu juga sebahagian penganut agama tertentu meminta dibuatkan tatu pada badan mereka yang melambangkan sembahan dan syiar agama mereka sebagaimana penganut agama nasrani membuat tatu lambang salib pada tangan dan dada mereka.

Tambahan lagi, membuat tatu adalah proses yang menyakitkan apabila dicucuk jarum pada bahagian tubuh yang mahu ditatu. Semua perkara tersebut mengundang laknat kepada sesiapa yang membuat tatu dan sesiapa yang meminta supaya dibuatkan tatu pada badannya. (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 86).

Justeru kami katakan perbuatan mengukir tatu merupakan perbutan yang diharamkan oleh syara kerana terdapat tegahan yang jelas melalui nas-nas al-Quran dan al-Hadith. Di samping itu juga, perbuatan mengukir tatu pada badan adalah perbuatan yang sering dilakukan oleh kaum kafir. Oleh yang demikian kita dilarang sama sekali menyerupai tindakan atau  perbuatan sesuatau kaum.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahu a‘lam

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=tatu . Diakses pada 26  Oktober  2023.

[2] Lihat http://www.myhealth.gov.my/tatu/ . Diakses pada 26 Oktober 2023.

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply