Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya bolehkan seorag suami bersetubuh dengan isteri-isterinya dengan hanya sekali mandi wajib ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Mandi wajib menurut syara’ adalah mandi yang diwajibkan bagi sesiapa yang berhadas besar sebelum melakukan beberapa ibadah seperti mendirikan solat, tawaf, memegang mushaf al-Quran, beriktikaf di masjid dan seumpamanya. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا ۚ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci.”

(Surah al-Nisa’: 43)

Begitu juga firman Allah SWT:

وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا ۚ

Maksudnya: “Dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.”

(Surah al-Maidah: 6)

Para ulama’ telah menetapkan bahawa syarat fardhu bagi mandi wajib hanya tiga, iaitu:

  • Niat
  • Menghilangkan najis jika sekiranya ada pada badan.
  • Meratakan air ke seluruh rambut (bulu-bulu) dan badan. (Lihat Matan al-Ghoyah wa al-Taqrib, 21)

Menjawab kepada persoalan di atas, kami ingin menyatakan bahawa jika seseorang melakukan hubungan bersama dengan isteri-isterinya dan hanya mandi wajib sekali, maka kami berpandangan bahawa dalam hal ini tidak ada masalah dan ia adalah dibenarkan. Ini kerana Rasulullah SAW pernah melakukan hubungan bersama isteri-isterinya dengan hanya sekali mandi. Yang demikian boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada Anas Bin Malik R.A bahawa beliau berkata:

أنَّ النبيَّ ﷺ كانَ يَطُوفُ على نِسائِهِ بغُسْلٍ واحِدٍ.

Maksudnya: Nabi SAW pernah bersetubuh dengan kesemua isterinya dengan sekali mandi

Riwayat Bukhari(268) dan Muslim(309)

Ibn Battal menyatakan bahawa: Para ulama tidak ada perselisihan pendapat tentang keharusan menggauli para isteri dengan sekali mandian. (Lihat Syarh Sahil al-Bukhari, 1/381)

Dapat difahami juga  melalui hadith ini ialah mandi junub adalah  daripada kesucian yang ditentukan dalam Islam dan juga merupakan amalan kebersihan yang digalakkan. Kesan mandi junub adalah  membawa manfaat pada  kesihatan. Apabila sperma keluar dari alat kelamin lelaki, yang merupakan cecair dari  badannya dan sumber tenaga, ia akan mengalami keletihan dan kepenatan setelah keluar, dan akibat daripada itu, akan terdapat penurunan dalam peredaran darah. Oleh yang demikian, dalam rahmat Allah Yang Maha Mengetahui, disyariatkan mandi dari hadas besar yang mengembalikan tenaga, serta kecerdasan pada tubuh. Betapa banyak hikmah dan rahsia yang terkandung dalam syariat Allah SWT.

Keistimewaan Rasulullah SAW dengan kekuatan badan dan kelakiannya dimana  memadai baginya dengan menggunakan air dan sekali mandi ketika  keadaan tidak mengizinkan untuk mandi pada setiap kali selepas berlakunya persetubuhan. Rasulullah SAW setelah menyelesaikan urusannya, Baginda akan menuangkan air ke atas tubuhnya, dan baginda mandi dengan satu sha’ (ukuran) air.” (Lihat Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 5/379)

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa; diharuskan bagi orang yang tengah berjunub untuk tido, makan, minum serta berhubungan kelamin sebelum mandi wajib. (Lihat Syarh Muslim,1/499)

Justeru kami katakan dalam isu ini tidak menjadi satu kesalahan bagi sesiapa yang menyetubuhi isteri-isterinya dengan sekali mandi wajib. Ini kerana tidak disyaratkan untuk melakukan mandi wajib setiap kali berlakunya persetubuhan melainkan ketika hendak  melaksanakan solat serta ibdah-ibadah yang lain.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply