Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Saidina Uthman mati dibunuh dengan ditebas tangannya sehingga terputus?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا ۖ سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ السُّجُودِ ۚ ذَٰلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ ۚ وَمَثَلُهُمْ فِي الْإِنجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَىٰ عَلَىٰ سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ ۗ وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا

Maksudnya: “Nabi Muhammad (SAW) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka – dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.

(Surah al-Fath: 29)

Beliau ialah Abu ‘Amr dan Abu ‘Abdillah Uthman bin ‘Affan bin Abu al-‘As bin Umayyah bin ‘Abd Syams al-Qurasyi al-Umawi. Beliau merupakan khalifah ketiga daripada khulafa’ al-Rasyidin. Beliau termasuk dalam kalangan mereka yang terawal memeluk Islam.

Beliau juga mendapat julukan Zu al-Nurain yang bermaksud pemilik dua cahaya. Hal ini kerana beliau berkahwin dengan dua orang puteri Rasulullah SAW, iaitu Ruqayyah dan Ummu Kulthum. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, Bhg.Khulafa’ al-Rasyidin, hlm. 149).

Selain itu, beliau juga termasuk dalam kalangan sahabat yang dikira sebagai mati syahid. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Qatadah, bahawasanya Anas bin Malik R.A menyampaikan kepada mereka bahawasanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَعِدَ أُحُدًا، وَأَبُو بَكْرٍ، وَعُمَرُ، وَعُثْمَانُ فَرَجَفَ بِهِمْ، فَقَالَ: اثْبُتْ أُحُدُ فَإِنَّمَا عَلَيْكَ نَبِيٌّ، وَصِدِّيقٌ، وَشَهِيدَانِ

Maksudnya: “Nabi SAW mendaki gunung Uhud bersama Abu Bakar, Umar dan Uthman . Tiba-tiba gunung Uhud bergoncang. Maka Baginda berkata: ‘Diamlah wahai Uhud kerana sesungguhnya di atasmu ada seorang Nabi, Siddiq (Abu Bakar) dan dua orang syahid (Umar dan Uthman).’”

Riwayat al-Bukhari (3675)

Beliau telah mati dibunuh oleh para pemberontak yang mengepung rumahnya. Seorang lelaki yang berasal dari Bani Sadus bernama al-Maut al-Aswad telah mencekik Uthman R.A. sebelum menebasnya dengan pedang. Tebasan yang pertama telah ditangkis oleh Uthman dengan tangannya sehingga terputus, lalu darah yang tersembur telah terkena pada mushaf yang sedang dibacanya. (Lihat Tarikh al-Rusul wa al-Muluk, 2/671; Al-Matalib al-‘Aliyah bi Zawa’id al-Masanid al-Thamaniyyah oleh al-Hafiz Ibn Hajar, 7/640 dan Nafahat Athirah fi Sirah Sahabah Rasululah, hlm. 870)

Saidina Uthman meninggal dunia pada 8 Zulhijjah tahun 35 Hijrah menurut pendapat yang masyhur. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 4/364) Beliau dikebumikan di perkuburan Baqi‘. (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul, hlm. 367-368)

Para sahabat seperti ini termasuk di kalangan orang-orang yang benar janji dengan ALlah SWT:

مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ ۖ فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ ۖ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا

Maksudnya: “Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.

(Surah al-Ahzab: 23)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply