Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami kisah kehidupan ‘Ukkasyah bin Mihsan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا ۖ سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ السُّجُودِ ۚ ذَٰلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ ۚ وَمَثَلُهُمْ فِي الْإِنجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَىٰ عَلَىٰ سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ ۗ وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا

Maksudnya: “Nabi Muhammad (SAW) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka – dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.

(Surah al-Fath: 29)

Nama beliau ialah ‘Abu Mihsan ‘Ukkasyah bin Mihsan bin Hurthan bin Qais bin Murrah bin Kathir bin Ghanm bin Dudan bin Asad bin Khuzaiman al-Asadi. Sebahagian ulama membaca nama beliau dengan Ukasyah tanpa tasydid.

Beliau adalah al-Sa‘id al-Syahid, mendapat jaminan perlindungan Quraisy, salah seorang daripada al-Sabiqun al-Awwalun, ahli Badar dan ahli syurga. Beliau juga merupakan salah seorang jejaka yang paling tampan.

Dalam peperangan Badar, beliau telah diuji dengan ujian yang baik iaitu pedang yang berada ditangannya telah patah. Maka Nabi SAW memberinya sebatang pelepah daripada pohon tamar atau sebatang ranting. Kemudian dengan izin Allah SWT batang yang berada di tangannya telah telah bertukar menjadi pedang, dan beliau telah berperang dengan menggunakan pedang tersebut. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 1/307-308; Usd al-Ghabah fi Ma‘rifah al-Sahabah, 4/64)

Terdapat riwayat Abu Hurairah R.A, katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

يَدْخُلُ الجَنَّةَ مِنْ أُمَّتِي زُمْرَةٌ هُمْ سَبْعُونَ أَلْفًا، تُضِيءُ وُجُوهُهُمْ إِضَاءَةَ القَمَرِ لَيْلَةَ البَدْرِ. وَقَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ: فَقَامَ عُكَّاشَةُ بْنُ مِحْصَنٍ الأَسَدِيُّ يَرْفَعُ نَمِرَةً عَلَيْهِ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ، ادْعُ اللهَ أَنْ يَجْعَلَنِي مِنْهُمْ، قَالَ: «اللهُمَّ اجْعَلْهُ مِنْهُمْ» ثُمَّ قَامَ رَجُلٌ مِنَ الأَنْصَارِ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ، ادْعُ اللهَ أَنْ يَجْعَلَنِي مِنْهُمْ، فَقَالَ: سَبَقَكَ بِهَا عُكَّاشَةُ.

Maksudnya: “Akan masuk syurga sekumpulan daripada umatku, mereka seramai tujuh puluh ribu orang, wajah mereka bersinar seperti bersinarnya bulan pada malam purnama.” Abu Hurairah berkata: “Setelah itu ‘Ukkasyah bin Mihsan al-Asadi R.A berdiri sambil mengangkat kain yang dipakainya, lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah, berdoalah agar Allah menjadikan aku termasuk salah seorang daripada mereka.’ Maka Baginda berdoa: “اللهُمَّ اجْعَلْهُ مِنْهُمْ” (Ya Allah, jadikanlah dia termasuk dalam kalangan mereka). Setelah itu berdiri pula seorang lelaki dari golongan Ansar, lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah, berdoalah agar Allah menjadikan aku salah seorang daripada mereka.’ Baginda bersabda: ‘‘Ukkasyah telah mendahului engkau dalam doa tersebut.’”

Riwayat al-Bukhari (6542)

Terdapat riwayat daripada Ummu Qais binti Minsan, katanya: Rasulullah SAW wafat ketika ‘Ukkasyah berumur 44 tahun. Beliau dibunuh pada tahun selepas itu di Buzakhah pada zaman pemerintahan Abu Bakar al-Siddiq, tahun 12 Hijrah. (Lihat al-Isti‘ab, 3/1080). Ada pendapat menyatakan, ‘Ukkasyah gugur syahid dalam peperangan melawan golongan murtad, dan dibunuh oleh Tulaihah bin Khuwailid. (Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 4/440) (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul, hlm. 381-383)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply