Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Ada orang kata Zaid bin ‘Amr adalah ahli kitab di zaman dahulu. Adakah dia seorang Islam dan siapakah dia?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُم مَّوَدَّةً لِّلَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ قَالُوا إِنَّا نَصَارَىٰ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّ مِنْهُمْ قِسِّيسِينَ وَرُهْبَانًا وَأَنَّهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ ‎

Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani” yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.

(Surah al-Maidah: 82)

Zaid bin ‘Amr bin Nufail bin ‘Abd al-‘Uzza bin Riyah bin Qurt bin Razah bin ‘Adi bin Ka‘ab bin Lu’ai bin Ghalib al-Qurasyi al-‘Adawi. Beliau ialah bapa kepada Sa’id bin Zaid yang merupakan salah seorang 10 sahabat yang dijamin syurga.

Diceritakan bahawa Zaid bin ‘Amr selalu menghadap ke Kaabah lalu berkata: Tuhanku ialah Tuhan Ibrahim, dan agamaku ialah agama Ibrahim, serta dia solat. Lalu ditanyakan kepada Rasulullah SAW, dan Baginda bersabda: “Dihimpunkan umat antara aku dan Isa bin Maryam hanya seorang.” (Lihat Siyar al-Salaf al-Salihin, 1/243).

Al-Zahabi ada menceritakan bahawa Zaid bin ‘Amr termasuk dalam kalangan mereka yang melarikan diri daripada ibadah berhala kepada agama Allah. Dia telah mengembara sehingga ke bumi Syam dalam mencari agama yang benar. Dalam pencariannya itu, beliau telah melihat Nasrani dan Yahudi, tetapi dia tidak menyukai agama mereka — yakni tidak menganutnya. Beliau berkata: “Ya Allah, sesungguhnya aku berada di atas agama Ibrahim.” Akan tetapi tidak tersebarnya syariat Nabi Ibrahim A.S sebagaimana yang dikehendaki. Begitu juga dia tidak melihat sesiapa menghalangnya daripada perkara itu, dan dia termasuk dalam kalangan orang yang terselamat. Sesungguhnya Nabi SAW telah bersaksi buatnya bahawasanya: “Dihimpunkan sebagai umat secara bersendirian.”

Begitu juga terdapat riwayat daripada Asma’ binti Abu Bakar, katanya: “Aku melihat Zaid bin ‘Amr bin Nufail berdiri dalam keadaan membelakangkan Kaabah sambil berkata: ‘Wahai sekalian Quraisy! Demi Allah, tidak ada seorangpun di antara kamu yang mengikuti agama Ibrahim melainkan aku.’”(Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 1/126-128).

Diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

دَخَلْتُ الجَنَّةَ فَرَأَيْتُ لِزَيْدِ بنِ عَمْرِو بنِ نُفَيْل دَوْحَتَيْن

Maksudnya: “Aku telah memasuki syurga dan aku mendapati Zaid bin ‘Amr bin Nufail dua pokok besar yang memayunginya.”

Riwayat Ibn ‘Asakir dalam Tarikh Dimasyq (19/512). Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah (2/224) menyatakan bahawa sanad hadith ini adalah baik (jayyid).

Diriwayatkan juga daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma, katanya:

سُئِلَ النَبيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ زَيْد بِنْ عَمْرُو بِنْ نُفَيْل فَقَالَ: يُبْعَثُ يومَ القيامةِ أُمَّةً وحْدَه، بَيْنِي وَبَيْنَ عِيسَى عَلَيْهِمَا السَّلَام.

Maksudnya: “Nabi SAW ditanya tentang Zaid bin ‘Amr bin Nufail. Baginda menjawab: ‘Dia dibangkitkan pada hari kiamat sebagai umat secara bersendirian, di antaraku dan antara Isa A.S.’”

Riwayat Abu Ya‘la dalam Musnadnya (2047). Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam al-Matalib al-‘Aliyah (3/283) menyatakan bahawa di dalam riwayat ini terdapat Mujalid yang bersendiri dalam meriwayatkannya, dan dia seorang perawi yang dhaif.

(Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul, hlm. 394-396)

Marilah sama-sama kita berdoa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply