Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Sesetengah orang ada yang menyimpan air zamzam supaya kelak ia digunakan untuk air mandian jenazahnya. Soalannya, apakah hukum memandikan jenazah dengan air zamzam? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, pertamanya, air zamzam merupakan penghulu bagi segala air dan sebaik-baik air di atas muka bumi ini. Zamzam adalah nama bagi sebuah telaga yang berada di dalam Masjidil Haram di Makkah. Kemunculan telaga ini adalah pada zaman Nabi Ismail bin Ibrahim A.S, apabila Allah SWT telah sediakan air dari telaga ini bagi menghilangkan kelaparan dan dahaga buat dirinya dan ibunya, apabila mereka sudah kehabisan bekalan air di Makkah yang tandus pada ketika itu.

Di antara keistimewaan air Zamzam ini ialah ia merupakan air yang diberkati dan boleh mengenyangkan sesiapa yang meminumnya serta penawar daripada penyakit. Perkara ini kami telah bahaskan secara panjang lebar dalam dua artikel kami yang bertajuk:  #369 Keberkatan Air Zamzam Tidak Terikat dengan Tanah Haram[1] dan #374 Keharusan Membawa Air Zamzam Keluar dari Makkah.[2]

Begitu juga, Islam sangat prihatin terhadap soal menjaga kebersihan dan bersuci. Ini kerana kebersihan merupakan sebahagian daripada ciri-ciri iman. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Malik al-Asy‘ari bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ

Maksudnya: “Bersuci itu adalah sebahagian daripada ciri-ciri keimanan.”

Riwayat Muslim (223)

Keduanya, berbalik kepada soalan yang diajukan, pada asasnya, memandikan jenazah atau mayat hendaklah dengan menggunakan air mutlak, yang boleh digunakan bagi mengangkat hadas dan membersihkan najis. Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa air-air yang boleh digunakan untuk bersuci ada tujuh iaitu air laut, air hujan, air sungai, air mata air, air salji dan air sejuk. (Lihat al-Fiqh al-Syafi‘i al-Muyassar, 1/79).

Justeru, secara umumnya tidak menjadi masalah untuk menggunakan air zamzam sebagai air mandian jenazah kerana ia termasuk dalam jenis air mutlak dalam kategori air mata air.

Imam al-Nawawi ketika membahaskan mengenai hukum berwuduk dan mandi dengan menggunakan air zamzam menyatakan bahawa pendapat majoriti ulama adalah sepertimana pendapat mazhab Syafi‘i iaitu tidak makruh berwuduk dan mandi dengan menggunakan air zamzam. Dalilnya adalah berdasarkan kepada keumuman nas yang sahih lagi jelas berkenaan hukum air tanpa membezakannya. Selain itu, sentiasa ada orang-orang Islam yang berwuduk dengan air zamzam tanpa ada seorang pun yang mengingkari perbuatan mereka itu. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/91).

Di sana terdapat riwayat daripada Ali bin Abu Talib R.A bahawa:

 أنَّ رَسُول اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَعَا بِسَجْلٍ مِنْ مَاءِ زَمْزَمَ، فَشَرِبَ مِنْهُ وَتَوَضَّأَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW meminta satu bekas dari air zamzam lalu Baginda meminum daripadanya dan berwuduk.

Riwayat Ahmad (564)[3]

Selain itu, Ibn Hajar al-Haitami juga ada menyebutkan bahawa tidak makruh bersuci (mandi dan berwuduk) dengan air zamzam, akan tetapi adalah lebih utama untuk tidak menggunakannya bagi menghilangkan najis — yakni membersihkan najis dengannya. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 1/76). Bahkan, Syeikh Ibrahim al-Baijuri turut menyatakan bahawa pendapat yang muktamad dalam mazhab Syafi‘i ialah hukumnya tidak makruh menggunakan air zamzam sekalipun bagi menghilangkan najis akan tetapi ia termasuk dalam perkara khilaf aula — yakni menyalahi perkara yang utama. (Lihat Hasyiah al-Baijuri ‘ala Fath al-Qarib al-Mujib, 1/55).

Begitu juga Ibn Qudamah turut menyebutkan, tidak makruh untuk berwuduk dan mandi dengan air zamzam kerana ia adalah air tahur (suci lagi menyucikan), maka ia menyerupai air-air yang lain. Namun, terdapat satu riwayat daripada Imam Ahmad yang menyatakan bahawa hukumnya adalah makruh. Hal ini adalah berdasarkan kepada pendapat al-Abbas R.A:

لَا أُحِلُّهَا لِمُغْتَسِلٍ، لَكِنْ لِمُحْرِمٍ حَلَّ وَبَلَّ

Maksudnya: “Aku tidak benarkan air zamzam digunakan bagi orang mandi, tetapi bagi muhrim (orang dalam ihram untuk minum) adalah halal lagi baik.” (Lihat al-Mughni, 1/16).

Namun, ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i menyebutkan bahawa pendapat al-Abbas R.A itu dapat ditakwilkan bahawa ia diucapkan ketika waktu sedikitnya air zamzam disebabkan oleh ramai orang yang meminumnya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/91). Manakala Ibn Qudamah pula mengatakan bahawa pendapat al-Abbas R.A itu tidak menunjukkan secara jelas bahawa ia adalah haram, tetapi dapat difahami bahawa menggunakan selain air zamzam — yakni untuk tujuan mandi — adalah lebih utama, dan kemulian air zamzam tidak memestikan bahawa hukumnya adalah makruh untuk digunakan. (Lihat al-Mughni, 1/16).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa dibolehkan dan tidak makruh menggunakan air zamzam sebagai air mandian untuk jenazah kerana ia merupakan air yang suci lagi menyucikan sepertimana air mutlak yang lain. Sekalipun begitu, sebaik-baiknya tidak menggunakan air zamzam bagi membersihkan najis, sebagai mengambil jalan keluar dan meraikan khilaf ulama yang memakruhkannya.

Tambahan lagi, dengan kedudukan air zamzam yang mulia sepertimana disebutkan oleh al-Munawi bahawa air zamzam adalah penghulu bagi segala air, merupakan air yang paling mulia, paling berharga dan paling disukai oleh manusia. Ia telah digali oleh malaikat Jibril A.S dan diberi minum kepada Nabi Ismail A.S. (Lihat Faidh al-Qadir Syarh al-Jami‘ al-Saghir, 5/404).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”

Riwayat Abu Daud (3201); al-Tirmizi (1024); al-Nasa’i (1986) dan Ibn Majah (1498)

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/369-keberkatan-air-zamzam-tidak-terikat-dengan-tanah-haram/. Diakses pada 24 Oktober 2023.

[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/374-keharusan-membawa-air-zamzam-keluar-dari-makkah/. Diakses pada 24 Oktober 2023.

[3] Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij al-Musnad (564) menilai sanadnya sebagai hasan.

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply