Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya mengenai adab ketika melakukan hubungan kelamin dan apakah doa untuk menyelamatkan zuriat dari kejahatan syaitan ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya : “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”

(Surah al-Ghafir: 60)

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT bukan sahaja memerintahkan kepada para hamba-Nya untuk beribadah bahkan Dia juga memberikan jaminan bahawa doa tersebut akan dimustajabkan. Kata Khalid al-Rib’ie: Sangat ajaib buat umat ini, dikatakan kepada mereka: “Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan mustajabkan.” Allah memerintahkan kepada mereka untuk berdoa, serta menjanjikan kepada mereka kemustajaban tanpa ada sebarang syarat antara keduanya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 15/292)

Al-Sa’di menyatakan : Ini adalah anugerah Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya, dan kurniaan-Nya yang agung  di mana ALLah SWT menyeru hambaNYA kepada apa yang dapat memberi manfaat bagi agama dan dunia mereka, serta memerintahkan mereka untuk berdoa kepadaNYA baik doa  tersebut adalah doa untuk beribadah mahupun doa permohonan dan Dia menjanjikan untuk mengabulkan doa mereka. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, Hlm.740)

Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan : Ini adalah dari anugerah-Nya yang Maha Suci dan Maha Tinggi. Dengan kemurahan-Nya Dia memanggil hamba-hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya dan Dia menjawab doa-doa mereka. Seperti yang dikatakan oleh Sufyan al-Thauri:  orang yang paling dicintai-Nya oleh hamba-hamba-Nya adalah orang yang paling banyak memohon kepada-Nya, dan orang yang paling dibenci-Nya adalah orang yang tidak memohon kepada-Nya. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 7/153)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami ingin menekankan bahawa antara adab yang dianjurkan untuk diamalkan ketika berhubungan dengan isteri adalah dengan berdoa kepada Allah SWT agar dijauhkan dari gangguan syaitan yang boleh mempengaruhi baik pasangan suami-isteri mahupun zuriat mereka. Hal ini boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R. Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَوْ أنَّ أحَدَهُمْ إذا أرادَ أنْ يَأْتِيَ أهْلَهُ قالَ: باسْمِ اللَّهِ، اللَّهُمَّ جَنِّبْنا الشَّيْطانَ، وجَنِّبِ الشَّيْطانَ ما رَزَقْتَنا، فإنَّه إنْ يُقَدَّرْ بيْنَهُما ولَدٌ في ذلكَ لَمْ يَضُرَّهُ شيطانٌ أبَدًا.

Maksudnya: “Seandainya seseorang daripada kamu mahu mendatangi isterinya, maka ucapkan: “بِاسْمِ اللهِ، جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ، وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا” (Maksudnya: Dengan nama Allah! Jauhkan kami daripada syaitan dan jauhkanlah syaitan daripada apa yang Engkau rezekikan kepada kami). Jika ditakdirkan mereka mendapat anak daripada (hubungan) itu, maka syaitan tidak akan dapat mendatangkan mudharat kepadanya (anak itu) selama-lamanya.”

Riwayat Bukhari (6388)

Dalam hadis ini, Nabi  SAW menjelaskan satu dari adab dalam hubungan kelamin. Iaitu, apabila seorang lelaki ingin berhubungan dengan isterinya, hendaklah dia berkata: “بِاسْمِ اللهِ.” Kerana menyebut nama Allah Taala membawa berkat dan kebaikan dalam tindakan yang dilakukan, sementara meninggalkannya boleh menjadikan sesuatu tindakan itu tidak lengkap dan  kekurangan.

Adapun doa yang kedua ialah: “اللَّهُمَّ جَنِّبْنا الشَّيْطانَ، وجَنِّبِ الشَّيْطانَ ما رَزَقْتَنا”. Inilah doa yang diberkati, dan permohonan perlindungan  yang jika diterima oleh Allah SWT maka, syaitan tidak akan dapat mendatangkan mudharat kepadanya (anak) selama-lamanya iaitu dia kekal selamat dari syaitan yang direjam.

Penyebab terlindung daripada syaitan itu banyak, ada yang berkaitan dengan jasmani dan ada yang berkaitan dengan kerohanian. Doa ini adalah salah satu pencegahan  secara rohani daripada syaitan dan godaan-godaannya. (Lihat Taudih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram, 5/368)

Doa ini juga disebut oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami ketika ditanya berkaitan zikir ketika ingin bersetubuh bersama isteri dan ia juga disunatkan bagi isteri untuk membacanya atau keduanya sekalipun pasangan itu pada kebiasaannya tidak mendapat anak (seperti mandul atau sebaginya) kerana di sana sentiasa ada kemungkinan pasangan tersebut mendapat anak, juga hikmahnya bahawa rezeki Allah itu lebih umum berbanding untuk mendapatkan anak sahaja. (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 107/4)

Justeru, kami ingin menegaskan bahawa adalah sangat dianjurkan bagi pasangan suami isteri apabila mereka ingin melakukan hubungan kelamin adalah dianjurkan untuk mengamalkan doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Doa ini bukan hanya memohon perlindungan untuk mereka berdua, tetapi juga untuk keturunan yang mungkin dilahirkan daripada perkongsian mereka.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a’lam.  

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply