Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah disunatkan untuk seseorang itu membina masjid di perkampungan atau taman perumahan?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, katanya:
أَمَرَ رَسُولُ الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمْ بِبِنَاءِ المسَاجِدِ فِي الدُّورِ، وَأنْ تُنَظَّفَ وَتُطَيَّبَ
Maksudnya: “Rasulullah SAW memerintahkan untuk membina masjid-masjid di perkampungan-perkampungan, lalu dibersihkan dan diberi wangian.”
Riwayat Ahmad (26386), Abu Dawud (455) dan al-Tirmizi (594)
Syeikh Abd al-Muhsin al-’Abbad berkata: Maksud daripada “الدُّورِ” adalah kawasan penempatan kehidupan, kedai, dan kawasan di dalam bandar, bermaksud setiap kawasan atau setiap kejiranan di bandar tersebut mempunyai masjid. Tidak perlu ada hanya satu masjid di bandar itu, walaupun besar. Boleh jadi juga dengan beberapa masjid, dan setiap kejiranan atau kawasan di dalamnya mempunyai masjid. Namun, masjid-masjid ini tidak perlu terlalu dekat antara satu sama lain. Antara mereka perlu ada jarak, dan itulah yang dimaksudkan dengan “الدُّور”. “الدُّور” adalah bentuk jama’ daripada “الدار”, yang merujuk kepada rumah, kejiranan, atau kawasan di tempat tersebut. Ia tidak terhad kepada kediaman. Dan inilah yang dimaksudkan oleh tindakan Baginda SAW untuk mendirikan masjid di kejiranan dan kawasan-kawasan tersebut, agar penduduk setempat lebih mudah menyertai solat berjemaah, berbeza dengan jika masjid berada jauh, maka ia akan menyulitkan sesetengah orang untuk menyertai solat berjemaah kerana jarak masjid yang jauh.
Jika masjid berdekatan dan setiap kejiranan mempunyai masjid, maka seseorang dapat pergi ke masjid dengan mudah dan kembali dengan mudah. Ini lebih memastikan bahawa solat berjemaah tidak terlepas bagi lelaki yang mana adalah kewajipan bagi mereka untuk solat berjemaah di masjid.:
Perkataan Baginda SAW yang mana Baginda memerintahkan pembinaan masjid di kawasan-kawasan ini dan agar ia dibersihkan dan diwangikan, mempunyai tiga aspek:
- Pertama: adalah untuk mendirikan masjid di kejiranan dan kawasan tersebut, supaya lebih mudah bagi penduduk untuk menyertai solat berjemaah, dan agar mereka tidak mengalami kesulitan untuk pergi ke masjid yang jauh daripada tempat tinggalnya.
- Kedua: adalah agar masjid tersebut dijaga dan dibersihkan daripada kotoran dan najis. Jika ada kotoran atau najis, ia perlu dibersihkan..
- Ketiga: adalah agar masjid tersebut diletakkan dengan bau yang harum, dengan menggunakan bahan haruman agar orang yang datang ke masjid dapat mencium bau yang harum.
Dalam kitab biografi perawi hadith, terdapat seorang yang dikenali sebagai Na’im al-Majmar. Dia dinamakan demikian kerana dia bertanggungjawab untuk menyediakan alat pembakar (jumrah) yang digunakan untuk membakar wangi-wangian di dalam masjid, sehingga bau harum dapat tersebar di dalam masjid. (Lihat Syarh Sunan Abi Dawud li al-’Abbad, 65/3)
Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: Maksud “الدُّور” dalam hadith ini boleh merujuk kepada dua perkara:
- Maksud pertama adalah “الدُّور” merujuk kepada kehidupan kabilah atau kawasan, dan dalam konteks ini, adalah disyorkan untuk membina masjid di kawasan-kawasan yang dihuni supaya penduduk kawasan tersebut dapat berkumpul untuk melaksanakan solat berjemaah di dalamnya. Ini akan mendatangkan pahala besar, seperti yang disebutkan dalam hadith riwayat al-Bukhari (450) dan Muslim (533) daripada Uthman bin Affan RA, di mana Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang membina sebuah masjid, Allah akan membangunkan baginya di syurga sebuah masjid yang serupa dengannya.”
- Maksud kedua “الدُّور” merujuk kepada rumah-rumah individu. Dalam konteks ini, disyorkan untuk menetapkan sesuatu tempat yang khusus untuk melaksanakan solat sunat atau solat fardhu bagi individu yang tidak diwajibkan untuk melaksanakan solat di dalam masjid, seperti yang dinyatakan dalam hadith riwayat al-Bukhari (424) dan Muslim (263) daripada ‘Itban bin Malik R.A, bahawa Nabi SAW datang ke rumahnya lalu Baginda SAW bertanya: “Di mana kamu mahu aku solat untukmu di rumahmu ini?” Beliau (‘Itban) berkata: “Maka aku pun tunjukkan kepada Baginda suatu ruang. Nabi SAW pun mengangkat takbir dan kami membuat saf di belakangnya untuk solat. Setelah itu, Baginda SAW menunaikan solat dua rakaat.”
Dalam hadith ini juga, disunatkan untuk membersihkan dan meletakkan wangian di dalam masjid, seperti yang dinyatakan dalam al-Quran Surah An-Nur (36) dan Surah al-Hajj (26), yang mana Allah SWT memerintahkan agar rumah-rumah dan masjid-masjid-Nya sentiasa bersih dan suci. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/113-114)
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa hadith ini merupakan perintah Rasulullah SAW supaya membina masjid di sesuatu perkampungan atau perumahan. Hal ini kerana dengan adanya masjid di kawasan tersebut, ia memudahkan mereka yang tinggal di situ untuk pergi ke masjid dan melakukan solat secara berjemaah di kawasan mereka. Begitu juga dengan galakan untuk kawasan yang khusus untuk solat di dalam rumah seperti solat sunat atau solat fardhu bagi individu yang tidak diwajibkan untuk melaksanakan solat di dalam masjid.
Walaupun begitu, suasana realiti di Malaysia tertakluk kepada Majlis Agama Islam Negeri masing-masing. Justeru, mungkin jika sudah ada masjid dan berdekatan, biasanya dibina surau.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”
Surah Ibrahim (40-41)
Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H