Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah bukan semua manusia yang kita dieprintahkan untuk memerangi berdasarkan hadith ke-8 Imam al-Nawawi dalam kitabnya Matan Arba’in?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Menjawab persoalan di atas kami kemukakan hadith daripada lbn ‘Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوا أَنْ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ، وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ؛ فَإِذَا فَعَلُوا ذَلِكَ عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ إلَّا بِحَقِّ الْإِسْلَامِ، وَحِسَابُهُمْ عَلَى اللَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Aku diperintahkan untuk memerangi manusia hingga mereka bersaksi bahawa tidak ada tuhan yang hak melainkan Allah dan bahawa Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat dan menunaikan zakat. Apabila mereka telah melakukan hal itu, maka darah dan harta mereka akan dilindungi kecuali dengan hak Islam dan perhitungan sebenar mereka diserahkan kepada Allah SWT.”
Riwayat al-Bukhari (25) dan Muslim (22)
Syeikh al-Azhar, Prof. Dr. Ahmad al-Tayyib dalam satu wawancara khusus bertajuk Tashih al-Mafahim pada 2 Jun 2020 telah menjelaskan berkenaan hadith ini, khususnya berkanaan kalimah ‘النَّاس‘ di mana katanya: Alif Lam (ال) yang terdapat padanya boleh ditafsirkan dengan pelbagai maksud, sama ada:
- Alif Lam (ال) li al-Jinsi yang memberi makna semua manusia dan jenis manusia.
- Alif Lam (ال) li al-’Ahdi yang memberi makna khusus dalam kalangan manusia dan bukan semua mereka.
Justeru, di sini lebih kepada maksud Alif Lam (ال) li al-’Ahdi yang memberi maksud khusus dan bukan ‘am. Bahkan di sana terdapat kaedah ‘am yang dikehendaki dengannya makhsus. Maka di sini, dalalat al-alfaz menunjukkan bahawa manusia atau ‘النَّاس‘ adalah secara khusus, iaitu yang memerangi umat Islam, dan bukan semua Yahudi, Kristian atau mana-mana agama pun.
Kami katakan, hal ini mudah difahami berdasarkan sirah Nabi SAW dalam hidupnya. Bahkan masyarakat di Kota Madinah juga terdiri daripada pelbagai bangsa, bahasa bahkan agama. Sifat kemajmukan itu tidaklah membawa kepada paksaan untuk mereka memeluk Islam serta arahan untuk diperangi dan dibunuh mereka itu. Inilah hakikat dan realiti sebenar.
Siapakah ‘النَّاسُ’ (Manusia) yang Dimaksudkan dalam Hadith?
Berdasarkan hadith di atas, berlaku perbincangan dalam kalangan ulama’ berkenaan lafaz ‘manusia’ yang dimaksudkan.
Para ulama’ berbeza pandangan dalam mentafsirkan lafaz ‘النَّاس’ yang terdapat di dalam hadith seperti berikut:
Pandangan Pertama: Lafaz ‘النَّاس’ yang dimaksudkan dalam hadith di atas ialah orang-orang musyrik. Hal ini kerana, dalam riwayat lain, terdapat hadith yang menyebut: ‘أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ الْمُشْرِكِينَ’ (Aku diperintahkan untuk memerangi kaum musyrikin).
Pandangan Kedua: Lafaz ‘النَّاسَ’ dalam hadith di atas khusus kepada orang-orang yang memerangi umat Islam.
Antara yang berpegang dengan pandangan ini ialah Ibn al-’Arabi al-Maliki. Beliau berpandangan bahawa ayat-ayat yang menyebut: ‘فَاقْتُلُوا الْمُشْرِكِينَ’ (“Bunuhlah orang-orang yang musyrik,”) hendaklah difahami bahawa yang dimaksudkan di situ ialah orang-orang musyrik yang memerangi umat Islam, bukan semua orang musyrik. Hal ini kerana beberapa hadith telah menjelaskan bahawa golongan perempuan, anak-anak kecil, pendeta, dan orang-orang yang lemah tidak boleh untuk dibunuh. Dengan demikian, lafaz ‘النَّاس’ pada hadith di atas ialah orang-orang musyrik yang memerangi umat Islam.
Pendapat kedua ini juga yang disokong oleh Ibn Taimiyyah. Beliau berpendapat, bahawa manusia yang boleh diperangi hanyalah orang-orang musyrik yang menghunuskan pedang mereka untuk menyerang umat Islam, bukan orang-orang musyrik yang berdamai dengan orang Islam.
Beliau menguatkan pandangannya ini dengan firman Allah SWT:
وَقَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ
Maksudnya: “Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh.”
(Surah al-Baqarah: 190)
Mereka yang dimaksudkan ialah orang-orang musyrik yang mempersiapkan dirinya untuk berperang. Adapun orang-orang musyrik yang tidak memerangi umat Islam, seperti orang-orang yang sudah tua renta, anak-anak kecil, kaum perempuan dan golongan pendeta, maka mereka semua tidak boleh diperangi.
Pandangan ini juga merupakan pandangan Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Ibn Rajab al-Hanbali, al-Amir al-San’ani, Syeikh Muhammad al-Ghazali, Syeikh Abdullah bin Zaid dan Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi.
Berdasarkan keterangan di atas, jelas bahawa yang dimaksudkan dengan ‘النَّاس’ (manusia) yang boleh diperangi dalam hadith di atas ialah orang-orang musyrik yang mengangkat senjata memerangi umat Islam. Kefahaman seperti ini sesuai dengan manhaj menghimpunkan semua dalil, sama ada dari al-Quran mahupun hadith-hadith Nabi SAW, sehingga tidak berlaku pertentangan antara dalil-dalil itu, dan juga tidak menggugurkan sebahagian dalil-dalil tersebut.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”
Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H