Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan sahabat Nabi SAW yang bernama Syaddad ini dan contoh hadith yang diriwayatkan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا ۖ سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ السُّجُودِ ۚ ذَٰلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ ۚ وَمَثَلُهُمْ فِي الْإِنجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَىٰ عَلَىٰ سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ ۗ وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا

Maksudnya: “Nabi Muhammad (SAW) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka – dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.

(Surah al-Fath: 29)

Syaddad bin Aus bin Thabit al-Khazraji, Dikunyahkan dengan Abu Yala Stau Abu Abdul Rahman. Nama ibunya ialah Sarimah atau Sarmah daripada Bani Adi bin Najjar. Ayahnya pula menyertai Peperangan Badar bersama-sama Rasulullah SAW dan telah mati syahid di dalam peperangan Uhud.

Ubadah bin al-Somit berkata: “Syaddad bin Aus termasuk dalam kalangan manusia yang dikurniakan dengan ilmu dan sifat lemah lembutnya sedangkan ramai manusia dikurniakan salah satu daripada keduanya”.

Dengan sebab itu, Said bin Abdul Aziz berkata, kelebihan Syaddad bin Aus ialah dengan dua perkara iaitu penuh dengan ilmu dan kesabaran yang tinggi ketika marah.

Khalid bin Ma’dan berkata: “Tidak ada di bumi Syam ini, orang yang lebih dipercayai, lebih faqih, dan lebih diredhai melainkan Ubadah bin al-Samit dan Syaddad bin Aus”. (Lihat Tahzib Tarikh Ibn ‘Asakir, 6/291)

Al-Mufaddhal al-Ghalabi menyatakan: “Orang yang zuhud dari- pada kalangan Ansar hanya 3 orang, iaitu Abu al-Darda’, Umair bin Sa’d, dan Syaddad bin Aus.” (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 2/465)

Beliau telah meriwayatkan 50 buah hadis daripada Rasulullah SAW. Satu ketika Rasulullah SAW bertanya kepada Syaddad, lantas jawabnya: “Dunia sempit bagiku”. Kemudian sabda Nabi SAW: “Tidak bagi kamu, sesungguhnya Kota Syam akan dibuka, kamu dan keturunanmu akan menjadi pemimpin di sana, insya Allah.”

Imam al-Baihaqi berkata: “Beliau menetap di Kota Hims. Ibn Sa’d berkata: Beliau meninggal pada tahun 58 Hijrah ketika berusia 75 tahun. Terkenal sebagai orang yang kuat beribadat dan rajin berusaha. Abu Nu’aim berkata: Beliau meninggal dunia di Palestin pada zaman pemerintahan Muawiyah. Ibn Hibban berkata: Beliau dikebumikan di Kota Baitul Maqdis.”

Antara hadith yang diriwayatkan oleh beliau adalah seperti berikut:

Daripada Abi Ya’la Syaddad bin Aus RA daripada Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mewajibkan ihsan terhadap segala sesuatu. Jika kamu membunuh, laksanakanlah dengan cara yang baik, dan apabila kamu menyembelih, sembelihlah dengan cara yang baik dan hendaklah seseorang daripada kamu menajamkan pisaunya serto hendaklah dia menyegerakan sembelihannya.”

Riwayat Muslim (1955)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan Rahmat-Mu.”

Surah al-Hasyr (10)

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply