Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Rasulullah SAW menganggap malu adalah penting dan Allah SWT benci orang yang tiada sifat malu? Bagaimana pendapat sahabat dan ulama?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menjawab persoalan di atas, kami katakan betapa hebatnya malu sehingga ia menjadi salah satu sifat manusia. Benarlah hadis nabi SAW:

إِذَا أَبْغَضَ اللَّهُ عَبْدًا نَزَعَ مِنْهُ الْحَيَاءَ

Maksudnya: “Jika Allah membenci seorang hamba nescaya dicabut daripadanya perasaan malu.”

Riwayat al-Baihaqi (7724) dalam Syu’ab al- Iman, juga disebut dalam al-Jami’ al-Saghir oleh al-Suyuti (3467)

Dinukilkan di sini beberapa mutiara kata Salaf al-Soleh:

  • Saidina Umar berkata: “Sesiapa yang malu akan bersembunyi, sesiapa yang bersembunyi akan bertaqwa dan sesiapa yang bertaqwa akan terpelihara daripada keburukan.”
  • Ibn Abbas berkata: “Malu dan iman bergandingan antara satu sama lain. Bila dicabut malu pasti yang lainnya akan mengikuti.”
  • Salman al-Farisi berkata: “Sesungguhnya Allah jika mahu membinasakan seorang hamba nescaya dicabut daripadanya perasaan malu.
  • Al-Hasan Basri berkata: “Malu ada dua jenis. Pertama: Malu berasaskan keimanan dan kedua: Berasaskan kelemahan.”
  • Bishir bin Ka’ab al-‘Adawi berkata kepada Imran bin Husin: “Kami mendapati di dalam sebahagian kitab, bahawa malu itu ada yang menyebabkan seseorang tenang dan merendah diri kerana Allah dan ada pula yang menyebabkan seseorang lemah Lalu Imran marah seraya berkata: “Aku memberitahu kepadamu hadis yang aku dengar daripada Rasulullah SAW dan kamu mahu membangkanginya.”
  • Ahnaf bin Qais berkata: “Dua sifat tidak mungkin berkumpul pada suatu peribadi iaitu, dusta dan maruah. Maruah membuatkan sifat benar, setia, malu, dan bersih daripada perkara haram.”

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply