Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah hikmah pensyariatan talak dalam islam ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dari sudut bahasa, talak bermaksud lepas dan terlepas. Sementara dari sudut syarak, ia bermaksud melepaskan ikatan perkahwinan dengan lafaz dan seumpamanya. Secara lebih jelas, pengertian talak sepertimana disebut dalam al-Qamus al-Fiqhi boleh difahami seperti berikut:
- Mengangkat ikatan perkahwinan.
- Menghilangkan penguasaan terhadap isteri dengan lafaz yang jelas atau kinayah yang zahir atau dengan lafaz yang tertentu disertakan bersama niat. Hal ini sepertimana disebut oleh al-Dusuqi.
- Mengangkat ikatan perkahwinan pada masa tersebut atau akan datang dengan lafaz yang khusus atau yang mengambil kedudukannya. (Lihat Dur al-Mukhtar,hlm.3/226, al-Mughni, 16/192 dan Mughni al-Muhtaj,3/279) .
Talak berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat pula bermaksud pelepasan ikatan nikah dengan ucapan talak, cerai, dan sebagainya oleh suami.
Firman Allah SWT:
ٱلطَّلَـٰقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌۢ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌۢ بِإِحْسَـٰنٍ
Maksudnya :” Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”
(Surah al-Baqarah: 229)
Sheikh al-Maraghi menyatakan di dalam tafsirnya: “Ayat ‘sesudah itu bolehlah ia memegang terus’ membawa makna rujuklah kembali bukan dengan niat untuk melukainya. Akan tetapi dengan niat untuk melakukan islah (tambah baik) dan bergaul dengan cara yang baik. Dan ayat ‘melepaskan dengan cara yang baik’ selepas berlaku 3 kali talak,maka berikanlah haknya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/169)
Talak merupakan jalan terakhir yang digunakan oleh suami dalam penyelesaian masalah sekiranya tidak dapat dielakkan. Namun, sekiranya perkara ini digunakan hanya untuk memuaskan nafsunya, maka talak itu dianggap halal, namun perkara itu amat dibenci oleh Allah SWT. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/120)
Driwayat Ibn ‘Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ الطَّلَاقِ
Maksudnya: “Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talak.”
Riwayat Abu Daud (2178)
Al-Son’ani pula menjelaskan bahawa hadith ini menjadi dalil bahawa sebaiknya, jauhilah diri daripada terjatuh dalam perbuatan talak ini selagimana terdapat padanya keluasan, iaitu ruang-ruang untuk tidak menceraikan. (Lihat Subul al-Salam, 2/248)
Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa dalam Islam, Allah telah menetapkan hukum talak sebagai penyelesaian terakhir bagi pasangan suami isteri yang tidak dapat menemukan penyelesaian dalam pertelingkahan yang berlaku di antara mereka.
Profesor Afif Tabarah bahawa: Punca-punca perceraian yang disebutkan dalam al-Quran adalah keinginan salah satu pasangan untuk berpisah dan disebabkan tidak bermu’asyarah dengan cara yang baik. Bukan lah setiap perselisihan mengakibatkan perceraian. Yang sebenarnya menentukan perceraian adalah pertelingkahan yang berterusan yang mustahil adanya pergaulan yang baik antara mereka.
Dalam kes berlakunya perselisihan, tidak dibenarkan untuk segera memutuskan tali perkahwinan, sebaliknya, hendaklah berusaha mengislahkan antara pasangan dan melaluli proses mahkamah sebelum penceraian dengan menghantar hakim dari pihak suami dan hakim dari pihak isteri untuk memberikan pendapat mereka, serta memberi peluang kepada kedua-dua pasangan untuk berdamai dan berubah fikiran. Oleh itu, hakim-hakim ini harus berusaha sebaik mungkin dalam usaha memperbaiki hubungan antara pasangan.
Jika usaha-usaha perbaikan dan pendamaian telah dilakukan dan hakim-hakim yakin bahawa perceraian adalah penyelesaian terbaik, maka dalam keadaan ini, pemisahan adalah yang terbaik. (Lihat Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram,5/476)
Firman Allah SWT:
وَإِن يَتَفَرَّقَا يُغْنِ اللَّهُ كُلًّا مِّن سَعَتِهِ ۚ وَكَانَ اللَّهُ وَاسِعًا حَكِيمًا
Maksudnya: Dan jika keduanya bercerai, maka Allah akan cukupkan (keperluan) masing-masing dari limpah kurniaNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Maha Bijaksana.
(Surah al-Nisa’: 130)
Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan: Setelah memberikan dorongan dan motivasi untuk mengadakan perdamaian antara suami isteri (dalam ayat sebelumnya), kemudian Allah SWT menyebut dalam ayat ini ‘وَإِن يَتَفَرَّقَا يُغْنِ اللَّهُ كُلًّا مِّن سَعَتِهِ’, iaitu tentang bolehnya berpisah dan cerai, sekiranya memang tidak ada jalan lain lagi untuk menghindarinya. Allah SWT menghiburkan hati kedua belah pihak dan menjanjikan kepada masing-masing bahawa Dia akan memberikan kecukupan kepada mereka, jika matlamat sebenar perpisahan itu adalah dengan maksud untuk menghindarkan diri daripada perbuatan tidak menunaikan hak-hak Allah SWT yang telah diwajibkan-Nya. Oleh itu, kedua-dua belah pihak hendaklah bersangka baik kepada Allah SWT. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 3/285)
Antara hikmah pensyariatan talak sepertimana yang telah dinyatakan dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah bahawa: Allah mensyariatkan perkahwinan untuk mengekalkan kehidupan perkahwinan yang stabil, dibina atas asas kasih sayang dan saling mencintai antara pasangan, menjaga kesucian, dan melahirkan keturunan, serta menyelesaikan keperluan nafkah.
Apabila manfaat-manfaat ini terganggu dan niat baik tercalar akibat perilaku buruk salah seorang pasangan, atau hubungan pergaulan yang buruk, atau sebab-sebab lain yang menyebabkan pertelingkahan yang berterusan yang membuatkan kehidupan perkahwinan itu menjadi sukar maka dalam keadaan seperti ini, Allah SWT telah memberikan rahmat dengan membenarkan perceraian sebagai jalan penyelesaian. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah,3/110)
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ إِذَا طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ فَطَلِّقُوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ وَأَحْصُوا الْعِدَّةَ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ رَبَّكُمْ ۖ لَا تُخْرِجُوهُنَّ مِن بُيُوتِهِنَّ وَلَا يَخْرُجْنَ إِلَّا أَن يَأْتِينَ بِفَاحِشَةٍ مُّبَيِّنَةٍ ۚ وَتِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ ۚ وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَقَدْ ظَلَمَ نَفْسَهُ ۚ لَا تَدْرِي لَعَلَّ اللَّهَ يُحْدِثُ بَعْدَ ذَٰلِكَ أَمْرًا
Maksudnya: Wahai Nabi! Apabila kamu – (engkau dan umatmu) – hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan idahnya, dan hitunglah masa idah itu (dengan betul), serta bertaqwalah kepada Allah, Tuhan kamu. Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai idahnya), dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan itulah aturan-aturan hukum Allah (maka janganlah kamu melanggarnya); dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka sesungguhnya ia telah berlaku zalim kepada dirinya. (Patuhilah hukum-hukum itu, kerana) engkau tidak mengetahui boleh jadi Allah akan mengadakan, sesudah itu, sesuatu perkara (yang lain).
(Surah al-Talaq:1)
Justeru kami katakan bahawa talak merupakan jalan penyelesaian dan jalan keluar yang terakhir bagi pasangan suami isteri yang tidak dapat meneruskan lagi hubungan perkahwinan disebabkan pertelingkahan yang berpanjangan dalam rumahtangga. Perceraian ini, yang dipandu oleh syariat agama, harus diambil sebagai langkah terakhir setelah usaha-usaha islah dan perundingan telah dilakukan.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا
Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ke-takwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”
Wallahua’lam
Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H