Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah wanita bercukur semasa haji atau umrah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ
Maksudnya: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.”
(Surah al-Hajj: 27)
Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW:
نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ تَحْلِقَ الْمَرْأَةُ رَأْسَهَا
Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang wanita dari mencukur kepala mereka.”
Riwayat al-Tirmidhi (914) dan al-Nasa’ie (5049)
Hadith di atas menjelaskan bahawa larangan untuk bercukur bagi perempuan ketika bertahallul (haji dan umrah) dan secara mutlaknya kecuali sekiranya terdapat darurat. (Lihat Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih, 5/1832).
Begitu juga, dalam hadith yang lain, Abu Salamah bin Abd al-Rahman RA, bahawa dia menyatakan:
وَكَانَ أَزْوَاجُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْخُذْنَ مِنْ رؤوسهن حَتَّى تَكُونَ كَالْوَفْرَةِ
Maksudnya: “Para isteri Nabi SAW menipiskan sedikit rambut di kepala mereka, sehingga menjadi seperti ‘wafrah’ (iaitu rambut yang tidak melebihi telinga).“
Riwayat Muslim (320)
Imam al-Nawawi menyatakan harus menipiskan rambut wanita namun tidak melebihi telinga. (Lihat Syarah Sahih Muslim, 4/4). Hal ini kerana fitrah bagi seorang wanita itu untuk membiarkan rambutnya panjang dan hanya dibenarkan memotong rambut pada kadar yang tidak sampai tahap menyerupai lelaki iaitu tidak melebihi telinga.
Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:
لَيْسَ عَلَى النِّسَاءِ حَلْقٌ، وَإنَّمَا عَلَى النِّسَاءِ التَّقْصِيرُ
Maksudnya: “Bagi wanita, tidak boleh mencukur rambutnya dan sesungguhnya bagi wanita hanya memotong sebahagian rambut sahaja.”
Riwayat Abu Dawud (1985)
Syeikh Abdullah al-Bassam menjelaskan: Yang wajib bagi golongan wanita hanya memotong sebahagian rambut sahaja, dan ini adalah ijma’ ulama’. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/176)
Kami akhiri dengan doa:
اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”
Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H