#3927: Benarkah Selepas Melontar, Halal Memakai Wangian

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah selepas melontar, maka halal untuk memakai wangian?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا ۚ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.

(Surah Ali-Imran: 97)

Secara asasnya, hukum asal mengenakan wangian bagi mereka yang sedang berada dalam ihram sama ada lelaki atau perempuan adalah dilarang. Larangan ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَلَا تَلْبَسُوا شَيْئًا مَسَّهُ زَعْفَرَانٌ وَلَا الْوَرْسُ

Maksudnya: “Dan janganlah kalian memakai (ketika ihram) pakaian yang disentuh za‘faran dan al-wars (herba yang biasa dijadikan wangian)”

Riwayat al-Bukhari (1838) dan Muslim (1177)

Syeikh Jalaluddin al-Mahalli menyatakan, bahawa termasuk di dalam larangan ihram mengenakan wangi-wangian pada pakaian dan badan seperti dengan minyak wangi atau kapur barus atau atau wars (الوَرْسُ) atau seumpamanya. Begitu juga, Syeikh Ahmad al-Barlisi ‘Umairah menukilkan daripada Imam al-Rafi’ie, bahawa yang dimaksudkan dengan wangi-wangian adalah penggunaannya bertujuan untuk wangian semata-mata. (Lihat Hasyiata Qalyubi wa ‘Umairah, 2/168)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith daripada Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا رَمَيْتُمْ وَحَلَقْتُمْ فَقَدَ حَلَّ لَكُمُ الطِّيبُ، وَكُلُّ شَيْءٍ إِلَّا اَلنِّسَاءَ

Maksudnya: “Apabila kamu semua telah melontar Jamrah dan mencukur rambut, maka telah halal bagi kamu untuk wangi-wangian dan melakukan segala sesuatu, kecuali menggauli isteri.”

Riwayat Ahmad (23951) dan Abu Daud (1978)

Syeikh Abdullah al-Bassam menjelaskan:

  • Hadith ini menunjukkan bahawa tahallul yang pertama – di mana dibolehkan bagi orang yang ihram untuk melakukan apa sahaja kecuali terhadap isterinya – dan tidak akan berlaku perkara tersebut kecuali dengan terkumpulnya dua perkara, iaitu melontar dan mencukur rambut.
  • Hadith di atas juga menunjukkan bahawa para isteri belum halal untuk disetubuhi kecuali setelah tahallul secara sempurna, iaitu setelah melontar jamrah, mencukur rambut, tawaf ifadhah dan sa’ie. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/182).

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *