Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah dibolehkan menambat orang kafir dalam masjid sebagai tawanan?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Majoriti ulama mengharamkan orang Musyrik memasuki Masjid al-Haram. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلاَ يَقْرَبُواْ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَذَا
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjid al-Haram sesudah tahun ini”
(Surah al-Taubah: 28)
Al-Qurtubi menukilkan daripada imam al-Syafi’i yang mengatakan bahawa ayat ini melarang orang kafir daripada memasuki Masjid al-Haram, dan tidak masjid selainnya. Ia juga menunjukkan orang Yahudi dan Nasrani boleh masuk ke masjid yang lain selain Masjid al-Haram. Para ulama mazhab Hanafi pula mengharuskan orang Yahudi dan Nasrani memasuki masjid secara mutlak, iaitu samada Masjid al-Haram mahupun masjid yang lain, namun tidak dibenarkan bagi orang musyrik. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 8/105)
Imam al-Bukhari ada membawakan sebuah hadith yang menyebut bagaimana seorang bukan Islam bernama Thamamah bin Athal, diikat oleh Rasulullah SAW di dalam masjid yang ditangkap atas satu kesalahan. Hal ini sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A, katanya:
بَعَثَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيْلًا قِبَلَ نَجْدٍ، فَجَاءَتْ بِرَجُلٍ مِنْ بَنِي حَنِيفَةَ يُقَالُ لَهُ ثُمَامَةُ بْنُ أُثَالٍ، فَرَبَطُوهُ بِسَارِيَةٍ مِنْ سَوَارِي المَسْجِدِ،فَخَرَجَ إِلَيْهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: «مَا عِنْدَكَ يَا ثُمَامَةُ؟» فَقَالَ: عِنْدِي خَيْرٌ يَا مُحَمَّدُ، إِنْ تَقْتُلْنِي تَقْتُلْ ذَا دَمٍ، وَإِنْ تُنْعِمْ تُنْعِمْ عَلَى شَاكِرٍ، وَإِنْ كُنْتَ تُرِيدُ المَالَ فَسَلْ مِنْهُ مَا شِئْتَ، فَتُرِكَ حَتَّى كَانَ الغَدُ، ثُمَّ قَالَ لَهُ: «مَا عِنْدَكَ يَا ثُمَامَةُ؟» قَالَ: عِنْدِي مَا قُلْتُ لَكَ: إِنْ تُنْعِمْ تُنْعِمْ عَلَى شَاكِرٍ، فَتَرَكَهُ حَتَّى كَانَ بَعْدَ الغَدِ، فَقَالَ: «مَا عِنْدَكَ يَا ثُمَامَةُ؟» فَقَالَ: عِنْدِي مَا قُلْتُ لَكَ، فَقَالَ: «أَطْلِقُوا ثُمَامَةَ» فَانْطَلَقَ إِلَى نَخْلٍ قَرِيبٍ مِنَ المَسْجِدِ، فَاغْتَسَلَ ثُمَّ دَخَلَ المَسْجِدَ، فَقَالَ: أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلَّا اللهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ، يَا مُحَمَّدُ، وَاللهِ مَا كَانَ عَلَى الأَرْضِ وَجْهٌ أَبْغَضَ إِلَيَّ مِنْ وَجْهِكَ، فَقَدْ أَصْبَحَ وَجْهُكَ أَحَبَّ الوُجُوهِ إِلَيَّ، وَاللهِ مَا كَانَ مِنْ دِينٍ أَبْغَضَ إِلَيَّ مِنْ دِينِكَ، فَأَصْبَحَ دِينُكَ أَحَبَّ الدِّينِ إِلَيَّ، وَاللهِ مَا كَانَ مِنْ بَلَدٍ أَبْغَضُ إِلَيَّ مِنْ بَلَدِكَ، فَأَصْبَحَ بَلَدُكَ أَحَبَّ البِلاَدِ إِلَيَّ، وَإِنَّ خَيْلَكَ أَخَذَتْنِي وَأَنَا أُرِيدُ العُمْرَةَ، فَمَاذَا تَرَى؟ فَبَشَّرَهُ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَمَرَهُ أَنْ يَعْتَمِرَ، فَلَمَّا قَدِمَ مَكَّةَ قَالَ لَهُ قَائِلٌ: صَبَوْتَ، قَالَ: لاَ، وَلَكِنْ أَسْلَمْتُ مَعَ مُحَمَّدٍ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَلاَ وَاللهِ، لاَ يَأْتِيكُمْ مِنَ اليَمَامَةِ حَبَّةُ حِنْطَةٍ، حَتَّى يَأْذَنَ فِيهَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Maksudnya: Nabi SAW menghantar pasukan berkuda ke Najd. Lalu mereka datang membawa seorang lelaki daripada bani Hanifah, iaitu Thumamah bin Uthal. Mereka mengikatnya pada salah satu tiang masjid. Nabi SAW keluar dan pergi kepadanya dan bersabda: “Apa yang ada padamu wahai Thumamah?.” Dia berkata: “Padaku kebaikan wahai Muhammad. Jika engkau membunuhku maka engkau membunuh orang yang terpelihara darahnya dan jika engkau memberi nikmat maka engkau memberi nikmat pada orang yang bersyukur dan jika engkau menginginkan harta maka mintalah daripadanya apa yang engkau sukai.” Nabi SAW meninggalkannya sehingga keesokan harinya, kemudian Baginda bertanya kepadanya: “Apa yang ada padamu wahai Thumamah.” Dia menjawab: “Apa yang telah aku katakan kepadamu. Jika engkau memberi nikmat, maka engkau memberi nikmat kepada orang yang bersyukur.” Nabi SAW meninggalkannya sehingga keesokan harinya, kemudian Baginda bertanya kepadanya: “Apa yang ada padamu wahai Thumamah.” Dia menjawab: “Padaku apa yang telah aku katakan kepadamu.” Baginda bersabda: “Bebaskanlah Thumamah.” Dia pergi ke kebun yang dekat dengan masjid dan mandi, kemudian dia masuk masjid. Lalu berkata: “Aku bersaksi bahawa tidak ada yang layak disembah melainkan Allah dan Muhammad ialah Rasulullah. Wahai Muhammad, demi Allah tidak ada di atas bumi ini satu wajah yang lebih aku benci daripada wajahmu dan sekarang wajahmu menjadi yang paling aku cintai. Demi Allah, tidak ada agama yang lebih aku benci daripada agamamu dan sekarang agamamu menjadi yang paling aku cintai. Demi Allah, tidak ada negeri yang paling aku benci daripada negerimu dan sekarang negerimu menjadi yang paling aku cintai. Sesungguhnya pasukan berkuda yang engkau utuskan telah mengambilku dalam keadaan aku hendak mengerjakan umrah, maka apakah pendapatmu?.” Rasulullah SAW memberi khabar gembira kepadanya dan memerintahkannya untuk melaksanakan umrah. Ketika dia datang ke Makkah, maka seseorang berkata kepadanya: “Engkau telah menukar agama.” Dia berkata: “Tidak, tetapi aku masuk Islam bersama Muhammad SAW. Demi Allah, tidak akan datang sebiji kurma atau sya’ir dari Yamamah kepada kalian sehingga Nabi SAW mengizinkan.”
Riwayat al-Bukhari (4372) dan Muslim (1764)
Menjawab persoalan di atas, Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: “Dalam hadith ini, ditegaskan bahawa adalah dibenarkan untuk mengikat tawanan di dalam masjid, walaupun mereka adalah kafir. Selain itu, hadith ini juga menjadi dalil tentang kebenaran masuknya orang musyrik dan Ahli Kitab ke dalam masjid sekiranya ada keperluan yang berkaitan dengan masjid, seperti urusan-urusan yang mereka lebih mampu untuk menjalankannya daripada orang lain, dan perkara seumpamanya. Dahulu, orang-orang kafir sering memasuki masjid Nabi SAW dan duduk di dalamnya untuk jangka masa yang agak lama. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/118)
Justeru, adalah diharuskan untuk mengikat tawanan tawanan dalam masjid walaupun dia seorang yang kafir sebagaimana hadith di atas. Dalam hadith ini juga, ditekankan pentingnya berbuat baik kepada orang yang layak menerimanya, dan bahawa kebaikan dapat melembutkan hati yang keras. Selain itu, hadith tersebut juga menyatakan supaya berbuat baik kepada orang yang ditawan, memberi mereka pengampunan, bersikap lembut terhadap mereka yang menunjukkan minat untuk memeluk Islam, dan membebaskan mereka. Hadith ini juga mengandungi ajaran tentang meletakkan tawanan di dalam masjid, walaupun jika mereka adalah kafir, terutama jika itu bertujuan untuk mendapatkan manfaat seperti mendengar bacaan Quran, mendapatkan ilmu, atau berharap mereka akan memeluk Islam, dan manfaat-manfaat seumpama itu.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir.”
Surah al-Baqarah (250)
Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H