Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa balasan Allah SWT kepada orang yang berlaku adil di akhirat kelak?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami terangkan terlebih dahulu maksud adil. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, terdapat beberapa definisi adil:
- Adil bermaksud menyebelahi pihak yang benar (bukan sesuatu, seseorang, tindakan, undang-undang, keputusan dan sebagainya),
- Meletakkan sesuatu pd tempatnya yang betul (bukan sesuatu, seseorang, tindakan, undang-undang, keputusan dan sebagainya),
- menepati hak seseorang atau sesuatu dan
- tidak menyebelahi mana-mana pihak (bukan layanan terhadap seseorang dan sebagainya) atau tidak berat sebelah.
Firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.”
(Surah al-Nahl: 90)
Nas di atas jelas menunjukkan kepada kita, di mana perintah melakukan adil oleh Allah SWT kepada kita semua dan juga dengan sifat ihsan.
Menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadis di dalam Sahih Muslim, daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma meriwayatkan daripada Rasulullah SAW sebuah hadis iaitu:
إِنَّ الْمُقْسِطِينَ عِنْدَ الله عَلَى مَنَابِرَ مِنْ نُورٍ عَنْ يَمِينِ الرَّحْمَنِ عَزَّ وَجَلَّ وَكِلْتَا يَدَيْهِ يَمِينُ الَّذِينَ يَعْدِلُونَ فِي حُكْمِهِمْ وَأَهْلِيهِمْ وَمَا وَلُوا
Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang adil di sisi Allah SWT (di akhirat kelak) di atas minbar-minbar yang diperbuat daripada cahaya dan kedudukannya di sebelah kanan al-Rahman ‘Azza wa Jalla (Allah SWT) dan kedua tangan-Nya adalah kanan yang mana (mereka itu) adalah orang yang adil dalam menjatuhkan hukuman, adil ke atas ahli keluarganya dan juga orang yang dipimpinnya.”
Riwayat Muslim (1827)
Antara kefarduan lain yang dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT adalah berlaku adil seorang pemimpin ke atas rakyatnya sama ada kepimpinan am seperti seorang al-hakim (pemerintah) ataupun kepimpinan khas seperti adil dalam memimpin rumah tangga serta anak-anak. Ini sepertimana sabda Rasulullah SAW:
كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ
Maksudnya: “Setiap dari kalian adalah pemimpin dan kalian akan dipertanggungjawabkan terhadap terhadap apa yang dipimpinnya itu.”
Riwayat al-Bukhari (5200) dan Muslim (1829)
(Lihat Syarah Hadis 40, hlm. 397)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا
Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”
Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H