Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Seperti dalam hadith menyebut: “Sehingga hawanya mengikut apa yang aku bawa,” Apakah maksud hawa di sini?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Daripada Abu Muhammad Abdullah bin Amru bin al-‘As R.Anhuma telah berkata: Rasulullah SAW telah bersabda:
لا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يَكُونَ هَواهُ تَبَعَاً لِمَا جِئْتُ بِهِ
Maksudnya: “Tidak beriman salah seorang dari kamu sehingga nafsunya mengikut apa yang telah aku datangkan dengannya (ajaran yang aku bawa).”
Riwayat Ibn Abi ‘Asim di dalam Al-Sunnah (15) & Al-Baghawi di dalam Syarh al-Sunnah (104). Hadis Hassan Sahih menurut Imam Nawawi.
Al-Hawa boleh diertikan dengan kecenderungan hati kepada kebenaran, mencintai dan menjunjungnya. Di antara penggunaan al-hawa dengan makna tersebut ialah kata-kata Aisyah R.Anha: Aku melihat Tuhanmu melainkan dia bersegera kepada hawa kamu (kecenderungan hatimu terhadap kebenaran).
Begitu juga kata-kata Sayidina Umar RA di dalam kisah tawanan Badar: Rasulullah SAW cenderung (Yahwa – daripada perkataan al- hawa) kepada pendapat Sayidina Abu Bakar dan tidak cenderung kepada pandanganku.
Al-Hawa juga boleh diertikan dengan kecenderungan dan kecintaan. Termasuk di dalam pengertian ini kecenderungan kepada kebenaran dan selainnya. Inilah makna yang dikehendaki oleh hadis ini.
la juga boleh diertikan dengan memenuhi tuntutan tubuh badan dan keinginannya. Pengertian ini adalah yang biasa digunakan untuk perkataan al-hawa. Al-hawa dengan pengertian inilah yang banyak kali dicela, diminta berhati-hati serta menjauhkan diri oleh nas-nas syarak kerana kebiasaannya keinginan syahwat ialah cenderung kepada perkara yang bertentangan dengan kebenaran dan memenuhi keinginan tabiatnya, bukannya tuntutan syara’. Oleh itu, ia membawa kepada kesesatan dan kecelakaan.
Mengikut hawa nafsu. Punca maksiat, bid’ah dan berpaling dari- pada kebenaran. Sesiapa yang mengikut syahwat dan membiarkan dirinya dikuasai oleh hawa nafsu, maka ia akan dipandu ke medan maksiat dan dosa serta diterjunkan ke lembah penyanggahan syariat Allah SWT.
Sebenarnya mereka yang melakukan penyelewengan dan bid’ah, orang-orang kafir dan fasik yang menolak kebenaran dan manhaj ini. Mereka bertindak demikian bukan disebabkan kaburnya kebenaran atau tidak berpuas hati terhadap kebenaran tersebut, sebagaimana dakwaan mereka kerana kebenaran adalah terlalu jelas dan kebatilan adalah samar dan kaku, tetapi disebabkan dorongan hawa nafsu yang diikuti. Firman Allah SWT:
فَإِن لَّمْ يَسْتَجِيبُوا لَكَ فَأَعْلَمْ أَنَّمَا يَتَّبِعُونَ أَهْوَاءَهُمْ وَمَنْ أَضَلُّ مِمَّنِ اتَّبَعَ هَوَلَهُ بِغَيْرِ هُدًى مِّنَ اللَّهِ
Maksudnya: “Kemudian kalau mereka tidak dapat menerima cabaranmu (wahai Muhammad) maka ketahuilah sesungguhnya mereka hanyalah mengikut hawa nafsu mereka. Dan tidak ada yang lebih sesat dari orang yang menurut hawa nafsunya dengan tidak berdasarkan hidayah petunjuk daripada Allah.”
(Surah al-Qasas: 50)
Hawa nafsu secara keseluruhannya boleh dibahagi kepada dua jenis; terpuji dan tercela. Hawa nafsu yang terpuji itu bermaksud apa-apa yang mengikuti kehendak Allah SWT dan Rasul-Nya. Manakala hawa nafsu yang tercela pula bermaksud apa-apa yang dituruti namun menyanggahi apa yang telah Allah dan Rasul-Nya tetapkan.
Selalunya apabila disebutkan tentang hawa nafsu, maka yang dimaksudkan itu adalah hawa nafsu yang buruk dan Allah SWT berfirman:
وَلَا تَتَّبِعِ الْهَوَىٰ فَيُضِلَّكَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ
Maksudnya: “Dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah.”
(Surah Saad: 26)
(Lihat Syarah Hadis 40, hlm. 427-428)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا
Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”
Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H