Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hikmah pusaka disyariatkan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Hukum pusaka ini telah disyariatkan dalam Islam dan telah dinaskan oleh al-Quran, al-Sunnah serta ijma’ ulama’. Orang-orang yang mengingkari pensyariatan hukum pusaka adalah kafir dan keluar daripada Islam. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ ۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

Maksudnya: “Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).”

(Surah al-Nisa’: 7)

Ayat-ayat berkenaan pusaka di dalam al-Quran jelas mengesahkan bahawa pusaka adalah disyariatkan. Berdasarkan nas di atas, disebut kalimah مِّمَّا تَرَكَ iaitu daripada apa yang ditinggalkan oleh si mati, maka ia dianggap pusaka selama mana ia adalah termasuk dalam harta; sama ada wang ringgit, kenderaan, pakaian, rumah, dan lain-lain.

Menjawab persoalan di atas, hikmah hukum pusaka disyariatkan dan harta dibahagikan kepada pewaris amat jelas. Antaranya:

  • Menghormati fitrah manusia. Allah SWT telah menetapkan fitrah manusia supaya mengasihi anak yang dianggap sebagai cahaya hidup dan penyambung hayatnya. Oleh itu, kita dapati manusia sanggup bersusah payah hanya untuk anak-anak mereka. Dengan kesungguhan inilah kekayaan dan kehidupan di dunia berkembang. Sekiranya Islam mengharamkan pusaka, nescaya kesungguhan untuk bekerja menjadi malap dan jiwa mereka tertekan. Manusia melihat seluruh dunia ini gelap dan segala usaha mereka hanya sia-sia. Hasil susah payah mereka akan bertukar tangan, mungkin kepada orang yang tidak disukainya. Fenomena ini bertentangan dengan fitrah yang Allah jadikan untuk manusia.

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَوةِ الدُّنْيَا

Maksudnya: “Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia.”

(Surah al-Kahfi: 46)

Di dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman:

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ وَالْبَنِينَ

Maksudnya: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia, kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan perempuan dan anak-pinak.”

(Surah Ali-Imran: 14)

  • Merealisasikan keseimbangan sosial dalam lingkungan keluarga kerana harta yang mereka miliki melalui pusaka ini mendatangkan kebaikan kepada mereka.
  • Memelihara hubungan silaturrahim setelah kematian si mati. Ini kerana kaum keluarga si mati seperti saudara lelaki, saudara perempuan dan sebagainya akan menerima bahagian masing masing daripada harta si mati.

(Lihat Syarah Hadis 40, hlm. 458-459)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”

Riwayat al-Tirmizi (3173), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (1443) dan Ahmad (223)

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply