Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum menjirus atau menyiram air pada kubur? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, secara umumnya, para ulama berpendapat bahawa digalakkan (sunat) untuk menjirus air pada kubur selepas jenazah dikebumikan. Di antara alasan atau sebab yang disebutkan adalah supaya air tersebut membantu mengukuhkan tanah sehingga angin tidak dapat meniupkan atau menggerak-gerakkan tanah tersebut. Selain itu, mereka juga menyebutkan bahawa Nabi SAW pernah melakukan perkara tersebut ketika Baginda mengebumikan anaknya, Ibrahim.

Hal ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari bahawa disunatkan untuk menjirus kubur dengan air supaya tanahnya tidak dapat ditiup angin. Begitu juga kerana Nabi SAW sendiri pernah melakukan perkara tersebut di kubur anaknya, sebagaimana diriwayatkan oleh Imam al-Syafi‘i. (Lihat Asna al-Matalib, 1/329).

Begitu juga al-Buhuti turut menyebutkan, disunatkan untuk merenjis/menjirus air ke atas kubur dan juga diletakkan batu kecil di atasnya bagi tujuan menjaga tanahnya. Ini adalah berdasarkan kepada riwayat Jaafar bin Muhammad daripada bapanya bahawa:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَشَّ عَلَى قَبْرِ إِبْرَاهِيمَ ابْنِهِ وَوَضَعَ عَلَيْهِ حَصْبَاءَ

Maksudnya: “Nabi SAW menjirus air ke atas kubur Ibrahim, anaknya dan juga meletakkan batu kerikil di atasnya.” (Lihat Musnad al-Syafi‘i, hlm 360)

Kemudian, al-Buhuti menyatakan, hal itu digalakkan atau dianjurkan (sunat) kerana ia dapat mengukuhkan lagi tanah kubur, begitu juga menghalang tanah-tanahnya daripada digerak-gerakan atau diterbangkan oleh angin. (Lihat Kassyaf al-Qina‘, 2/139).

Tambahan lagi, dinyatakan dalam I‘anah al-Talibin (2/135-136) bahawa disunatkan menyiram kubur dengan air agar debu-debu tanah tidak ditiup angin dan kerana bahawasanya Nabi SAW melakukan sedemikian pada kubur anakanda Baginda SAW, Ibrahim sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Syafi‘i dan juga pada kubur Sa‘ad bin Mu‘az sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah. Begitu juga Nabi SAW telah memerintahkan dengannya (iaitu dengan menjirus air) pada kubur Uthman bin Maz‘un sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi. Apa yang disunatkan (istihbab) adalah air tersebut suci lagi menyucikan dan sejuk (air mutlak) sebagai tafa’ul mudah-mudahan Allah menyejukkan kubur si mati. Namun, dihukumkan sebagai makruh menyiram atau menjirus air dengan air mawar atau seumpamanya kerana perbuatan tersebut adalah satu pembaziran dan mensia-siakan harta.

Begitu juga Syeikh Abdullah al-Bassam setelah menukilkan riwayat Imam al-Syafi‘i sebagaimana di atas, beliau menyatakan pula, demikianlah yang dilakukan pada kubur Sa‘ad bin Mu‘az dan kubur Uthman bin Maz‘un. Hal itu kerana ia lebih mengukuhkan, mengekalkan dan menjauhkan tanah kubur daripada dibawa terbang oleh angin atau dihanyutkan oleh banjir. Amalan itu (yakni menyiram air ke atas kubur) berterusan menjadi amalan kaum Muslimin. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/242-243).

Selain daripada itu, pada asalnya, menjirus air ke atas kubur dilakukan sebaik sahaja selesai pengebumian. Akan tetapi jika terdapatnya keperluan untuk melakukannya selepas beberapa tempoh, seperti dikhuatiri tanah kubur mungkin berterbangan dibawa oleh angin, maka dalam situasi itu tidak mengapa untuk menyiram air ke atas kubur sekali lagi kerana wujudnya alasan atau sebab yang telah disebutkan oleh para ulama berkenaan keharusan untuk menyiram air ke atas kubur dalam situasi tersebut.

Malah sebahagian ulama berpendapat, galakan atau anjuran (sunat) untuk menyiram air ke atas kubur tidak tertakluk hanya kepada waktu selepas dikebumikan sahaja, sebaliknya ia diharuskan sekalipun selepas beberapa tempoh setelah dikebumikan mayat yakni ketika adanya keperluan untuk perkara tersebut. Ini adalah sebagaimana dinyatakan dalam Hasyiah al-Ramli al-Kabir (1/328) bahawa menurut guru kami disunatkan untuk menyiram ke atas kubur dengan air sekalipun setelah pengebumian selama beberapa tempoh.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa dianjurkan atau digalakkan (sunat) untuk menyiram air ke atas kubur, lebih-lebih setelah jenazah selesai dikebumikan. Tujuannya adalah supaya tanahnya lebih kukuh dan tetap sehingga ia tidak dapat digerak-gerakkan atau berterbangan ditiup angin. Selain itu, hal ini kerana Nabi SAW sendiri pernah melakukan perkara tersebut di kubur anaknya, sebagaimana diriwayatkan oleh Imam al-Syafi‘i, serta yang dilakukan pada kubur Sa‘ad bin Mu‘az dan kubur Uthman bin Maz‘un

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”

Riwayat Abu Daud (3201); al-Tirmizi (1024); al-Nasa’i (1986) dan Ibn Majah (1498)

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply