Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Baru-baru ini, sebelum pergi solat Jumaat, saya berwuduk terlebih dahulu. Kemudian, saya minum air manis bergas. Dalam perjalanan ke masjid, saya terfikir-fikir perlu ka saya ambil semula wuduk atau cukup dengan hanya berkumur-kumur sahaja, sebabnya ada rasa manis air gas tersebut dalam mulut saya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya:Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.

(Surah al-Ma’idah: 6)

Al-Maraghi menyatakan bahawa makna ayat di atas adalah sekiranya seseorang itu hendak bangun bagi mendirikan solat — dan masih lagi dalam keadaan berhadas. Hal ini kerana seluruh kaum Muslimin menyatakan bahawa bersuci (yakni berwuduk dan mandi wajib) tidak diwajibkan ke atas orang yang ingin mengerjakan solat melainkan dia masih dalam keadaan berhadas. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/61).

Begitu juga, al-Sa‘di menyatakan bahawa terdapat banyak persoalan hukum (yang dapat dikeluarkan) daripada ayat ini. Antaranya ialah perintah mendirikan solat, perintah untuk berniat bagi mengerjakan solat, juga disyaratkan untuk bersuci (daripada hadas) bagi sah solat, juga bersuci tidak diwajibkan ketika masuknya waktu solat tetapi wajib ketika hendak mendirikan solat dan lain-lain. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 222).

Keduanya, berkenaan wuduk. Wuduk merupakan medium syarak yang terpenting untuk menghilangkan (mengangkat) hadas kecil daripada anggota badan bagi menjadikan seorang Muslim itu suci, lalu membolehkannya melaksanakan segala perbuatan atau amalan yang disyaratkan padanya suci daripada hadas — seperti mendirikan solat, memegang mashaf al-Quran, tawaf dan lain-lain. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/69).

Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff menyebutkan bahawa rukun wuduk ada enam. Empat daripadanya adalah berdasarkan ayat al-Quran iaitu membasuh muka, membasuh kedua tangan, menyapu sebahagian kepala dan membasuh kedua kaki. Manakala dua rukun yang berbaki adalah berdasarkan sunnah iaitu niat dan tertib. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 82).

Seterusnya, di dalam al-Fiqh al-Manhaji (1/62-63) disebutkan bahawa perkara yang membatalkan wuduk ada lima, iaitu:

  1. Keluar sesuatu daripada salah satu saluran qubul dan dubur kencing, tahi, darah, kentut dan lain-lain.
  2. Tidur yang tidak tetap. Maksud ‘tetap’ di sini ialah duduk dalam keadaan punggung bertaup rapat dengan lantai manakala maksud tidak tetap pula ialah terdapat rongga di antara punggung dan lantai.
  3. Hilang akal disebabkan sama ada mabuk, pitam, sakit atau gila.
  4. Seseorang lelaki menyentuh isterinya atau perempuan lain tanpa berlapik dan perbuatan itu membatalkan wuduk kedua-duanya. Maksud perempuan lain ialah perempuan yang halal berkahwin.
  5. Menyentuh kemaluan manusia, sama ada diri sendiri atau orang lain, sama ada qubul atau dubur dengan tapak tangan dan perut-perut jari tanpa berlapik.

Ketiganya, dalam menjawab soalan di atas, terdapat riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa:

إِنَّما الوُضوءُ ممّا يخرجُ وليسَ مما يدخلُ

Maksudnya:Sesungguhnya wuduk itu disebabkan oleh apa yang keluar, bukannya disebabkan oleh apa yang masuk.

Riwayat al-Baihaqi (8512)[1]

Selain itu, terdapat hadith lain yang jelas menunjukkan bahawa Baginda SAW makan dan minum, kemudian Baginda pergi menunaikan solat tanpa memperbaharui wuduknya, mahupun berkumur-kumur. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

تَعَرَّقَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَتِفًا، ثُمَّ قَامَ فَصَلَّى وَلَمْ يَتَوَضَّأْ

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah menggigit (mencarik) paha kambing, kemudian Baginda SAW bangun dan menunaikan solat tanpa (memperbaharui) wuduk.

Riwayat al-Bukhari (5404)

Begitu juga riwayat daripada Anas bin Malik R.A bahawa:

أنَّ رسولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَرِبَ لبَنًا فلم يمضمِضْ ولم يتوضَّأْ وصلّى

Maksudnya:Rasulullah SAW minum susu. Lalu Baginda tidak berkumur-kumur dan tidak juga (memperbaharui) wuduk, kemudian Baginda solat.

Riwayat Abu Daud (197)

Syaraf al-Haq al-‘Azim Abadi menyatakan, hadith di atas menunjukkan bahawa perbuatan berkumur-kumur selepas meminum susu atau selainnya yang mengandungi lemak, bukanlah suatu perintah yang mesti, tetapi merupakan pilihan. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 1/228).

Bukan itu sahaja, bahkan perbuatan berkumur-kumur selepas minum susu atau sesuatu yang berlemak itu adalah disunatkan. Hal ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Ibn Khuzaimah dalam kitabnya, bab menyatakan dalil bahawa berkumur-kumur selepas meminum susu adalah sunat bagi menghilangkan lemak (lemak susu) di dalam mulut dan bukannya mewajibkan berkumur-kumur selepas meminumnya. (Lihat Sahih Ibn Khuzaimah, 1/29).

Tambahan lagi, Imam al-Nawawi juga ada menyatakan bahawa disunatkan untuk berkumur-kumur selepas minum susu. Begitu juga disunatkan untuk berkumur-kumur selepas makan dan minum, supaya tidak ada baki sisa yang tertinggal lalu dia menelannya semasa sedang solat. Juga bagi menghilangkan lekit dan lemaknya serta membersihkan mulutnya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/46).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa perbuatan meminum air sekalipun air itu manis, bergas atau berlemak seperti susu, tidak membatalkan wuduk seseorang. Ini kerana perbuatan meminum atau memakan sesuatu itu tidak termasuk dalam perkara yang membatalkan wuduk. Begitu juga sah solat yang didirikannya tanpa perlu memperbaharui wuduknya mahupun berkumur-kumur sebelum mendirikan solat.

Sekalipun begitu, disunatkan baginya untuk berkumur-kumur selepas makan dan minum, lebih-lebih lagi sebelum mendirikan solat agar tidak ada baki sisa makanan atau minuman yang tertinggal di celah-celah gigi atau di dalam mulutnya, lalu dia menelannya semasa sedang solat menyebabkan solatnya itu terbatal mengikut pendapat yang masyhur.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”

[1] Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa sanadnya adalah hasan atau sahih. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/317).

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply