Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Berkenaan kelebihan solat di Masjid al-Haram, adakah ia hanya khusus pada solat sahaja, atau ibadah lain juga sama?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Masjid al-Haram (المسجد الحرام) merupakan sebuah masjid yang terletak di kota Makkah yang dilihat antara tempat yang suci bagi umat Islam di seluruh dunia. Masjid ini juga di dalamnya terletak rumah Allah iaitu baitullah atau dinamakan Ka’bah yang menjadi arah kiblat bagi seluruh umat Islam apabila ingin mengerjakan ibadah solat.

Selain itu juga, nama masjid al-Haram disebut di dalam al-Qur’an di beberapa tempat, antaranya firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّـهِ وَالْمَسْجِدِ الْحَرَامِ الَّذِي جَعَلْنَاهُ لِلنَّاسِ سَوَاءً الْعَاكِفُ فِيهِ وَالْبَادِ

Maksudnya: “Sesungguhnya (amatlah zalim) orang-orang yang kafir serta menghalang manusia dari jalan Allah (agama Islam) dan dari memasuki Masjid al-Haram (Makkah) yang Kami jadikan ia sebagai tempat beribadah bagi seluruh umat manusia (yang beriman) sama ada yang menetap di situ atau yang datang berziarah.”

(Surah al-Haj: 25)

Imam Ibn Kathir mengatakan ayat ini menunjukkan bahawa Allah SWT telah menjadikan ia (masjid al-Haram) sebagai tempat ibadah bagi semua manusia dan tidak ada perbezaan antara yang bermukim di tempat tersebut ataupun orang yang tinggal jauh dari tempat tersebut. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/409)

Demikianlah jelaslah pada kita bahawa masjid al-Haram merupakan salah satu masjid yang mulia kerana namanya dinukilkan di dalam al-Qur’an yang mulia. Di samping itu juga, masjid al-Haram terletak di dalam tempat yang mulia iaitu Makkah al-Mukarramah.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan hadith daripada Jabir bin Abdillah RA bahawa Nabi SAW bersabda:

صَلَاةٌ فِي الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ أَفْضَلُ مِنْ مِائَةِ أَلْفِ صَلَاةٍ فِيمَا سِوَاهُ

Maksudnya: “Solat di Masjid al-Haram lebih baik daripada 100,000 (seratus ribu) solat di tempat lain.”

Riwayat al-Bukhari (1190) dan Muslim (1394) dengan sedikit perbezaan. Lafaz di atas mengikut riwayat Ahmad (15271). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan bahawa sanadnya adalah sahih mengikut syarat Imam al-Bukhari dalam takhrij beliau atas musnad Ahmad.

Berdasarkan hadith ini, jelas menunjukkan bahawa ganjaran bagi sesiapa yang menunaikan solat di masjid al-Haram adalah amat besar berbanding masjid-masjid yang lain.

Daripada Ibn al-Zubair R.A, katanya: Bahawa Rasulullah SAW bersabda:

صَلَاةٌ فِي مَسْجِدِي هَذَا أَفْضَلُ مِنْ أَلْفِ صَلَاةٍ فِيمَا سِوَاهُ إِلَّا اَلْمَسْجِدَ اَلْحَرَامَ، وَصَلَاةٌ فِي اَلْمَسْجِدِ اَلْحَرَامِ أَفْضَلُ مِنْ صَلَاةٍ فِي مَسْجِدِي بِمِائَةِ صَلَاةٍ

Maksudnya: “Satu kali solat di masjidku lebih utama dari seribu kali solat di tempat lain, kecuali Masjid al-Haram. Dan solat di Masjid al-Haram lebih utama daripada solat di masjidku ini dengan seratus kali solat.”

Riwayat Ibn Majah (1406) dan Ahmad (14694). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya sahih dalam takhrij Musykil al-Athar (599)

Sesungguhnya gandaan satu solat di Masjid Nabawi atas masjid-masjid yang lain sekitar seribu kali solat kecuali Masjid al-Haram. Adapun Masjid al-Haram, maka keutamaannya atas Masjid Nabawi adalah seratus kali solat. Maka gandaan Masjid al-Haram atas masjid-masjid yang lain, selain Masjid Nabawi adalah seratus ribu kali solat. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 4/202)

Imam al-Nawawi dalam kitab al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-’Umrah menyebut: Semua jenis solat digandakan pahalanya di Makkah. Begitu juga dengan semua jenis ketaatan. Sebahagian ulama’ juga menyatakan bahawa dosa melakukan kejahatan juga digandakan. Antara yang mengatakan sedemikian ialah Mujahid dan Ahmad bin Hanbal.

Al-Hasan al-Basri berkata: “Puasa sehari di Makkah bersamaan seratus ribu, sedekah sebanyak satu dirham bersamaan dengan seratus ribu. Setiap kebajikan bernilai seratus ribu. Sesungguhnya disunatkan untuk memperbanyakkan solat, puasa, sedekah, bacaan al-Quran dan semua jenis ketaatan yang dia mampu untuk lakukan.” (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-’Umrah, hlm. 465)

Syeikh Abdullah al-Bassam menyebut: Para ulama’ berbeza pendapat, adakah gandaan pahala tersebut khusus untuk solat sahaja, atau juga pada amalan-amalan soleh yang lain. Pendapat yang sahih adalah ia bersifat umum.

Para ulama’ juga berbeza pendapat mengenai gandaan pahala, adakah hanya terbatas pada Masjid al-Haram sahaja, atau mencakupi tanah haram secara umum? Pendapat yang sahih adalah mencakupi keseluruhan tanah haram. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/203)

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply