Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan maksud niat bersyarat mengikut hadith Dhuba’ah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

فَإِنْ أُحْصِرْتُمْ فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ ۖ وَلَا تَحْلِقُوا رُءُوسَكُمْ حَتَّىٰ يَبْلُغَ الْهَدْيُ مَحِلَّهُ ۚ

Maksudnya: “Maka sekiranya kamu dikepung (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah dam yang mudah didapati, dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya.”

(Surah al-Baqarah : 196)

Ayat di atas telah turun di Hudaibiyah tatkala orang Musyrikin menghalang Nabi SAW dan para sahabatnya yang menuju ke Baitullah untuk mengerjakan umrah. Lalu Baginda pun menyembelih binatang dam dan bercukur. Sabda Nabi SAW kepada sahabat: “Bangunlah dan lakukanlah penyembelihan, kemudian bercukurlah.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/175)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith daripada Aisyah R.Anha, katanya:

دَخَلَ اَلنَّبِيُّ ‏- صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏-عَلَى ضُبَاعَةَ بِنْتِ اَلزُّبَيْرِ بْنِ عَبْدِ اَلْمُطَّلِبِ رَضِيَ اَللَّهُ عَنْهَا, فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اَللَّهِ! إِنِّي أُرِيدُ اَلْحَجَّ, وَأَنَا شَاكِيَةٌ، فَقَالَ اَلنَّبِيُّ ‏- صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏- حُجِّي وَاشْتَرِطِي: أَنَّ مَحَلِّي حَيْثُ حَبَسْتَنِي.

Maksudnya: “Nabi SAW masuk menemui Dhuba’ah binti Zubair binti ‘Abd al-Muttalib, dan dia berkata: “Wahai Rasulullah, aku ingin melaksanakan ibadah haji, sementara aku sedang sakit.” Nabi SAW bersabda: “Kerjakanlah haji dan tetapkanlah syarat: “Sesungguhnya tempat tahallulku adalah di mana Engkau menahanku.”

Riwayat al-Bukhari (5089) dan Muslim (1207)

Syeikh Abdullah al-Bassam menjelaskan:

Dhuba’ah merupakan anak perempuan kepada bapa saudara Nabi SAW. Beliau ialah anak perempuan kepada Zubair bin ‘Abd al-Muttalib. Beliau dikahwini oleh Miqdad bin Aswad dan melahirkan anak yang bernama Abdullah bin Karimah.

Perkataan ‘شَاكِيَةٌ’ bermaksud mengemukakan alasan dan memberitahu tentang keadaannya.

Berkenaan perkataan ‘اشْتَرِطِي’, syarat adalah mengharuskan sesuatu. Al-Isytirat (الاشْتِرَاط) adalah sesungguhnya sesiapa yang melakukan ihram, maka dia mensyaratkan dirinya kepada Tuhan. Apabila seorang musuh menegahnya daripada memasuki Baitullah atau dia terhalang disebabkan oleh penyakit dan kehilangan harta, maka dia boleh bertahallul daripada ihramnya dan melakukan qadha’ ibadah haji. Dan sesungguhnya, baginya adalah apa yang telah disyaratkan kepada Tuhannya.

Perkataan ‘مَحَلِّي’ iaitu apabila seseorang keluar dari ihram. Maksudnya, tempat keluarnya diriku daripada ihram dalam ibadah haji dan umrah pada waktu dan tempat itu.

Kalimat ‘حَيْثُ حَبَسْتَنِي’ bermaksud di tempat dan waktu berlakunya halangan. Itu adalah tempat dan waktu yang dihalalkan untuk ihram.

Inilah sepertimana dijelaskan oleh Syeikh Abdullah al-Bassam dalam Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram (4/207).

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply