Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah dibenarkan pelaksanaan hudud di masjid?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Diriwayatkan daripada Hakim bin Hizam R.A, Rasulullah SAW bersabda:

لَا تُقَامُ الحُدُودُ فِي المَسَاجِدِ، وَلاَ يُسْتَقَادُ فِيهَا

Maksudnya: “Janganlah hukum hudud dilakukan di masjid-masjid, dan jangan pula melakukan qisas di dalamnya

Riwayat Abu Dawud (4490) dan Ahmad  (15151). Ibn Hajar dalam Bulugh al-Maram (203) menyatakan sanad hadith ini dhaif.

Al-Mubarakfuri berkata: Perkataannya (tidak ada hukuman hudud di dalam masjid) adalah dengan tujuan untuk menjaga masjid dan memelihara kehormatannya, maka dimakruhkan untuk dilakukan hukuman hudud di dalamnya. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/546)

Al-Munawi berkata: (Tidak ada hukuman hudud di dalam masjid) adalah untuk menjaganya dan memelihara kehormatannya, dan ini adalah sesuatu yang makruh tanzihi. Benar, sekiranya seseorang berlindung di dalamnya,  dibolehkan menyempurnakannya di dalamnya, bahkan dalam Masjid al-Haram, maka hendaklah dia memanjangkan dan menyempurnakannya untuk menyegerakan menunaikan hak, menurut pendapat Imam Asy-Syafi’i. Abu Hanifah pula berpendapat bahawa tidak boleh dilakukan hukuman bunuh di kawasan haram, tetapi hendaklah dilakukan di luar. (Lihat Faidh al-Qadir, 6/414)

Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan: Ibn Battal berkata: Mazhab al-Kufiyyun, al-Syafi’i, Ahmad, dan Ishaq berpendapat bahawa hukuman hudud tidak boleh dijalankan di dalam masjid. Al-Sya’bi dan Ibn Abi Laila pula membenarkan hukumna hudud di dalam masjid. Imam Malik pula berpendapat bahawa tidak ada masalah untuk menggunakan rotan kecil di dalam masjid sekiranya ia adalah hukuman yang ringan. jika hukuman hudud terlalu banyak, maka ia perlu dilakukan di luar masjid. Ibn Battal mengatakan: Lebih baik menghormati masjid dengan tidak melibatkan perkara-perkara ini. Dalam bab ini, terdapat dua hadith yang lemah yang melarang pelaksanaan hukuman hudud di dalam masjid.

Dan hadith yang masyhur dalam hal ini ialah hadith Makhul daripada Abu al-Darda’ dan Wathilah, yang berkata: “Jauhkan anak-anak kamu dari masjid-masjid kamu…” Hadith ini juga menyebutkan “pelaksanaan hudud kamu.” Ia diriwayatkan oleh Al-Baihaqi dalam kitab Al-Khilafiyat, dan asalnya dalam Ibn Majah daripada hadith Wathilah sahaja, dan tidak menyebutkan hukuman hudud dan sanadnya adalah lemah. Ibn Majah meriwayatkan hadith daripada Ibn ‘Umar yang marfu’: “Sesuatu tindakan yang tidak sesuai dilakukan di dalam masjid, tidak boleh diambil sebagai laluan…” Hadith ini juga menyebutkan “tidak boleh melaksanakan hukuman hudud di dalamnya.” Sanad hadith ini juga adalah lemah.

Ibn al-Munir berkata: Sesiapa yang membenci memasukkan jenazah ke dalam masjid untuk disolatkan atasnya, kerana takut akan keluarnya sesuatu daripada jenazah, adalah lebih baik mengatakan “tidak ada hukuman hudud di dalam masjid” kerana tidak ada keyakinan bahawa darah akan keluar dari mayat yang dibalut dan adalah lebih baik hukuman hudud dihalang di dalam masjid. (Lihat Fath al-Bari, 13/157)

Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: Hadith ini merupakan larangan mendirikan dan melaksanakan hukuman hudud di dalam masjid, sama ada pembunuhan balas (qisas), pemotongan, atau sebatan. Hikmah di sebalik larangan ini – wallahu a’lam – adalah kerana penetapan hukuman hudud dalam masjid akan menimbulkan kekacauan dan meningkatkan kebisingan, selain daripada risiko darah atau benda lain yang boleh mengotori masjid, atau perkara lain yang mungkin keluar daripada orang yang dikenakan hukuman hudud itu. Hadith ini juga menunjukkan bahawa pengharaman mendirikan hukuman hudud di dalam masjid, kerana larangan itu bersifat pengharaman. Dinyatakan dalam Syarh al-Muntaha: “Mendirikan hukuman hudud di dalam masjid adalah haram, berdasarkan hadith Hakim bin Hizam, dan kerana masjid tidak boleh dijamin daripada berlakunya perkara yang akan mengotorkan masjid. Oleh itu, jika hukuman hudud didirikan di dalam masjid, maka ia tidak kira disebabkan risiko kekacauan tersebut.” (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/126-127)

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa tidak boleh didirikan hukuman hudud dan qisas di dalam masjid sebagaimana yanng disebut dalam hadith di atas kerana ia boleh menimbulkan kekacauan, bising serta kekotoran di dalam masjid disebabkan oleh hukuman hudud dan qisas tersebut. Hukuman hudud dan qisas perlu dilaksanakan di tempat yang khusus yang ditetapkan oleh pemerintah dan tidak boleh dilakukan dalam masjid.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Surah al-Baqarah (201)

Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply