Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah hukum dan hikmah larangan bernafas di dalam bekas ketika minum ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةً لَّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”
(Surah al-Ahzab: 21)
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ
Maksudnya: “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.”
Riwayat Ahmad (8952), Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai sahih dan sanadnya kuat.
Islam dikenali sebagai agama yang sempurna kerana ia membimbing manusia dalam segala aspek kehidupan, dari yang paling kecil hinggalah kepada yang terbesar. Selain itu, Nabi Muhammad SAW juga digambarkan sebagai individu yang luar biasa, kerana Baginda telah menyampaikan wahyu-wahyu Allah dan ajaran agama kepada umatnya.
Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan antara adab yang diajar oleh Rasulullah SAW semasa minum adalah untuk tidak bernafas ke dalam bekas atau cawan yang diisi air. Hal ini penting kerana perbuatan bernafas dalam bekas semasa minum boleh membawa potensi kemudaratan kepada individu yang sedang minum air tersebut. Hal ini boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada Abi Qatadah R.Anhu bahwa Rasulullah SAW bersabda:
إذا شَرِبَ أحَدُكُمْ فلا يَتَنَفَّسْ في الإناءِ
Maksudnya: Apabila salah seorang daripada kalian minum janganlah dia bernafas dalam bekas.
Riwayat Bukhari (5630) dan Muslim (267)
Pengharaman bernafas di dalam bekas adalah kerana ia boleh membawa kemudaratan seperti boleh menyebabkan tercekik. Minum dari tiga helaan nafas diluar bekas adalah lebih baik dan lebih menyenangkan. Oleh itu, syariat Islam yang suci hanya memerintahkan yang baik dan melarang terhadap apa yang membawa kemudaratan. (Lihat Taudih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram,5/446)
Begitu juga boleh dilihat daripada hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA bahawa beliau berkata:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَنَفَّسُ فِي الشَّرَابِ ثَلَاثًا، وَيَقُولُ: إِنَّهُ أَرْوَى وَأَبْرَأُ وَأَمْرَأُ، قَالَ أَنَسٌ: فَأَنَا أَتَنَفَّسُ فِي الشَّرَابِ ثَلَاثًا
Maksudnya: “Adapun Rasulullah SAW bernafas sebanyak tiga kali ketika minum. Baginda SAW bersabda: “Itu lebih melegakan, bersih dan bermanfaat.” Anas berkata: Aku bernafas sebanyak tiga kali ketika minum.”
Riwayat Muslim (2028)
Imam al-Nawawi meletakkan hadith ini di dalam bab kemakruhan bernafas di dalam bekas dan sunat bernafas di luar bekas minuman sebanyak tiga kali. Hadith ini juga menunjukkan larangan bernafas di dalam bekas minuman. Tambahan pula hadith ini bermaksud dengan mengikuti cara Nabi SAW ini akan menyelamatkan kita daripada penyakit dahaga dan dikatakan juga terselamat daripada penyakit yang datang disebabkan meminum dengan satu nafas. (Lihat al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 13/198-199)
Imam al-Qurthubi dalam isu ini menyatakan bahawa: Larangan bernafas di dalam bekas agar bekas air atau air tersebut tidak tercemar dengan air ludah ataupun bau yang tidak sedap berkaitan dengan air. (Lihat Fath al-Bari, 10/94 )
Justeru kami katakan bernafas di dalam bekas dihukumkan makruh oleh ulama. Yang demikian kerana ia boleh membawa mudharat kepada individu yang meminumnya. Antara hikmah larangan tersebut juga adalah bagi mengelakkan daripada terkena penyakit yang datang disebabkan meminum dari air yang dihembuskan nafas ke dalamnya. Oleh yang demikin kami nasihati agar mengamalkan cara Rasulullah SAW ketika minum kerana ia lebih terselamat.
Justeru, kami ingin menegaskan bahawa bernafas di dalam bekas semasa minum adalah dianggap sebagai tindakan makruh oleh ulama. Hal ini disebabkan kerana ia boleh membawa kemudaratan kepada individu yang meminum dari bekas tersebut. Salah satu hikmah di sebalik larangan ini adalah untuk menghindari kemungkinan berlakunya penyakit yang mungkin terjadi apabila seseorang meminum dari air yang telah tercemar dengan nafas. Oleh itu, disarankan agar kita mengamalkan cara minum seperti yang diajar oleh Rasulullah SAW, kerana cara ini adalah lebih selamat dan sejajar dengan ajaran yang baik dalam Islam.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahua’lam
Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H