Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum menjadikan masjid tempat tinggal sementara seperti musim banjir, atau sebab rumah terbakar, atau musibah perang.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, katanya:
أَنَّ وَلِيدَةً كَانَتْ سَوْدَاءَ لِحَيٍّ مِنَ العَرَبِ، فَأَعْتَقُوهَا، فَكَانَتْ مَعَهُمْ، قَالَتْ: فَخَرَجَتْ صَبِيَّةٌ لَهُمْ عَلَيْهَا وِشَاحٌ أَحْمَرُ مِنْ سُيُورٍ، قَالَتْ: فَوَضَعَتْهُ – أَوْ وَقَعَ مِنْهَا – فَمَرَّتْ بِهِ حُدَيَّاةٌ وَهُوَ مُلْقًى، فَحَسِبَتْهُ لَحْمًا فَخَطِفَتْهُ، قَالَتْ: فَالْتَمَسُوهُ، فَلَمْ يَجِدُوهُ، قَالَتْ: فَاتَّهَمُونِي بِهِ، قَالَتْ: فَطَفِقُوا يُفَتِّشُونَ حَتَّى فَتَّشُوا قُبُلَهَا، قَالَتْ: وَاللهِ إِنِّي لَقَائِمَةٌ مَعَهُمْ، إِذْ مَرَّتِ الحُدَيَّاةُ فَأَلْقَتْهُ، قَالَتْ: فَوَقَعَ بَيْنَهُمْ، قَالَتْ: فَقُلْتُ هَذَا الَّذِي اتَّهَمْتُمُونِي بِهِ، زَعَمْتُمْ وَأَنَا مِنْهُ بَرِيئَةٌ، وَهُوَ ذَا هُوَ، قَالَتْ: فَجَاءَتْ إِلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَسْلَمَتْ، قَالَتْ عَائِشَةُ: فَكَانَ لَهَا خِبَاءٌ فِي المَسْجِدِ – أَوْ حِفْشٌ – قَالَتْ: فَكَانَتْ تَأْتِينِي فَتَحَدَّثُ عِنْدِي، قَالَتْ: فَلاَ تَجْلِسُ عِنْدِي مَجْلِسًا، إِلَّا قَالَتْ: وَيَوْمَ الوِشَاحِ مِنْ أَعَاجِيبِ رَبِّنَا … أَلاَ إِنَّهُ مِنْ بَلْدَةِ الكُفْرِ أَنْجَانِي. قَالَتْ عَائِشَةُ: فَقُلْتُ لَهَا مَا شَأْنُكِ، لاَ تَقْعُدِينَ مَعِي مَقْعَدًا إِلَّا قُلْتِ هَذَا؟ قَالَتْ: فَحَدَّثَتْنِي بِهَذَا الحَدِيثِ.
Maksudnya: Bahawa ada seorang hamba perempuan berkulit hitam kepunyaan satu keluarga Arab. Setelah keluarga itu memerdekakannya, dia tinggal bersama mereka. Bekas hamba perempuan itu berkata: “Seorang anak perempuan keluarga tersebut keluar dengan memakai selempang merah daripada kulit yang bertatahkan permata.” Dia berkata: “Dia meninggalkan selempangnya atau – (syak perawi) – selempangnya terjatuh daripada tubuhnya. Tiba-tiba seekor burung helang lalu di situ dan ia ternampak selempang yang terletak di atas tanah itu. Kerana menyangka ia daging, lalu helang itu menyambarnya.” Dia berkata lagi: “Mereka pula mencarinya tetapi tidak dijumpai.” Hamba perempuan itu berkata lagi: “Maka kaumnya menuduh aku mengambilnya, mereka terus memeriksaku, sehingga ke tahap memeriksa kemaluanku.” Bekas hamba perempuan itu meneruskan ceritanya: “Demi Allah, sesungguhnya ketika aku sedang berdiri bersama mereka, tiba-tiba burung helang tadi datang dan melepaskan selempang itu. Ia jatuh di hadapan mereka.” Aku lantas berkata: “Inilah tuduhan kamu kepada aku sebagaimana yang kamu sangkakan. Kamu mendakwa aku mengambilnya sedangkan aku tidak bersalah. Dan inilah apa yang sebenarnya berlaku.” Aisyah berkata: “Hamba perempuan ini datang menemui Rasulullah SAW lalu memeluk agama Islam.” Aisyah berkata lagi: “Dia mempunyai khiba’ (khemah kecil yang diperbuat daripada bulu) atau sebuah bilik kecil di dalam masjid.” Dia berkata: “Dia selalu datang kepadaku dan berbicara denganku.” Aisyah berkata: “Dia tidak akan berada di dalam majlisku melainkan dia mengatakan: “Pada hari berlakunya perisiwa selempang yang terserlahnya kudrat Tuhan kami yang luar biasa. Ketahuilah Dia telah menyelamatkan aku di negeri orang kafir.” Aisyah berkata: Aku bertanya kepadanya: “Mengapakah setiap kali engkau duduk di sampingku, engkau mengungkapkan syair ini?” Lalu dia menyampaikan kepadaku kisah sebagaimana yang terkandung dalam hadith ini.
Riwayat al-Bukhari (439)
Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: “Wanita kulit hitam ini adalah seorang hamba milik keluarga Arab, dan dia telah dibebaskan. Kemudian, dia datang kepada Nabi Muhammad SAW dan memeluk Islam. Dia diberikan tempat perlindungan di dalam Masjid Nabawi, di mana dia tinggal. Dia selalu datang kepada Aisyah dan berbicara dengannya.
Hadith ini menunjukkan bahawa bolehnya untuk seseorang tinggal dan tidur di dalam masjid, walaupun di seorang wanita, terutamanya bagi mereka yang tidak mempunyai tempat tinggal lain. Ini seperti apa yang dilakukan oleh orang-orang yang tinggal di sekitar Masjid al-Nabawi. Hadith ini juga menunjukkan bolehnya membina bilik atau khemah di dalam masjid untuk orang yang tinggal atau beribadat di dalamnya, dengan syarat ia tidak menyusahkan orang-orang yang sedang menunaikan solat. Hal ini kerana kepentingan awam untuk beribadah di dalam masjid adalah lebih penting daripada kepentingan individu yang tinggal di dalam masjid. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/133)
Syeikh Abdullah al-Fauzan berkata: Hadith ini menjadi dalil bolehnya seorang wanita untuk tinggal di masjid dan tidur di dalamnya. Hal ini kerana wanita tersebut mempunyai ruang tersendiri di dalam masjid di mana dia tinggal dan tidur. Namun, perkara ini perlu dihadkan untuk mengelakkan fitnah yang mungkin timbul daripadanya atau kepada dirinya. Pada zaman kita sekarang, tidak dibenarkan bagi wanita untuk tinggal di dalam masjid kerana fitnah tidak dapat dijamin. (Lihat Minhah al-’Allam, 2/491)
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa hukum menjadikan masjid tempat tinggal sementara bagi orang yang ketiadaan tempat tinggal ataupun orang yang terlibat dengan musibah seperti musim banjir, atau sebab rumah terbakar, atau musibah perang adalah diharuskan berdasarkan hadith ini. Namun ia tidak boleh menyusahkan orang-orang yang ingin menunaikan solat dan ibadah di dalamnya. Hal ini kerana kepentingan awam untuk beribadah di dalam masjid adalah lebih penting daripada kepentingan individu yang tinggal di dalam masjid.
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H