Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Kenapa Nabi SAW menyatakan bahawa kerja dengan tangan sendiri adalah yang terbaik?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.Soalan
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
هُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ ذَلُولًا فَامْشُوا فِي مَنَاكِبِهَا وَكُلُوا مِن رِّزْقِهِ ۖ وَإِلَيْهِ النُّشُورُ
Maksudnya: “Dia lah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya).”
Surah al-Mulk (15)
Firman Allah SWT:
وَلَقَدْ آتَيْنَا دَاوُودَ مِنَّا فَضْلًا ۖ يَا جِبَالُ أَوِّبِي مَعَهُ وَالطَّيْرَ ۖ وَأَلَنَّا لَهُ الْحَدِيدَ ﴿١٠﴾ أَنِ اعْمَلْ سَابِغَاتٍ وَقَدِّرْ فِي السَّرْدِ ۖ وَاعْمَلُوا صَالِحًا ۖ إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ
Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberikan kepada Nabi Daud limpah kurnia dari Kami (sambil Kami berfirman): “Hai gunung-ganang, ulang-ulangilah mengucap tasbih bersama-sama dengan Nabi Daud, dan wahai burung-burung (bertasbihlah bersama-sama dengannya)!” Dan juga telah melembutkan besi baginya; (Serta Kami wahyukan kepadanya): “Buatlah baju-baju besi yang luas labuh, dan sempurnakanlah jalinannya sekadar yang dikehendaki; dan kerjakanlah kamu (wahai Daud dan umatmu) amal-amal yang soleh, sesungguhnya Aku Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan.”
Surah Saba’ (10-11)
Antara mafhum daripada nas ini agar kita bekerja dan beramal dengan amalan soleh mengikut kesesuaian yang kita miliki. Betapa mulianya bekerja sehingga Dr Yususf al-Qaradhawi berkata:
Nabi SAW juga menolak pemikiran sesetengah orang yang merendahkan pekerjaan dan perusahaan orang lain. Baginda mengajar para pengikutnya bahawa kemuliaan yang sebenar ialah apabila seseorang itu bekerja untuk mencari sara hidupnya dengan apa-apa pekerjaan sekalipun. Sesungguhnya kehinaan itu ialah apabila seseorang itu bergantung hidupnya atas bantuan orang lain.
Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لأَنْ يَأْخُذَ أَحَدُكُمْ حَبْلَهُ فَيَأْتِ بِحَزْمَةِ حَطَبٍ عَلَى ظَهْرِهِ فَبَيْعَهَا فَيَكُفَّ الله بها وَجْهَهُ خَيْرٌ مِنْ أَنْ يَسْأَلَ النَّاسَ أَعْطُوهُ أَوْ مَنْعُوهُ
Maksudnya: “Bahawa seseorang kamu mangambil tali, kemudian dia mengangkat seikat kayu di belakangnya, lalu dijualnya dengan itu Allah SWT akan mengangkat air mukanya, adalah lebih baik daripada dia meminta-minta kepada orang, sama ada diberikan orang apa yang dimintanya ataupun ditolaknya.”
Riwayat al-Bukhari (1470), Ibn Majah (1836), al-Nasaie (2589) dan Ahmad (1429)
Tegas Baginda tidak menjadi masalah bagi seorang Muslim itu berusaha dalam bercucuk tanam, berniaga, berindustri atau apa sahaja pekerjaan dengan syarat tidak berkaitan dengan sumber dan kerja yang haram. (Lihat Halal dan Haram Dalam Islam, hlm. 219)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith daripada Rifa’ah bin Rafi’ R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
أَنَّ النَّبِيَّ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- سُئِلَ أَيُّ الكَسْبِ أَطْيَبُ؟ قَالَ: عَمَلُ الرَّجُلِ بِيَدِه، وَكُلُّ بَيْعٍ مَبْرُورٍ.
Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW pernah ditanya: “Pekerjaan apa yang paling baik?” Maka Baginda SaW menjawab: “Pekerjaan seseorang yang dilakukan dengan tangannya sendiri, dan setiap jual beli yang baik.”
Riwayat Ahmad (17265), al-Tabarani (13939), al-Hakim (2/10), al-Bazzar (2/83) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (5/263). Hadith ini dinilai sebagai sahih dalam Sahih al-Jami’ (1126). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut pula menyatakan ianya sebagai hasan li ghairihi dalam takhrij al-Musnad.
Syeikh Abdullah al-Bassam menjelaskan: Maksud ‘الكَسْبِ’ adalah usaha yang dilakukan dengan tangannya sendiri. ‘الكَسْبِ’ adalah mencari rezeki dan melakukannya dengan tindakan dan kerja keras. Manakala lafaz ‘أَطْيَبُ’ pula bermaksud perbuatan yang paling utama, paling banyak keberkatannya dan yang paling halal.
Berdasarkan hadith di atas, terdapat beberapa pengajaran, antaranya:
- Hadith di atas merupakan dalil bahawa ajaran Islam menganjurkan untuk bergerak dan bekerja, serta mencari pekerjaan-pekerjaan yang baik. Islam adalah agama dan negara. Sebagaimana Allah SWT memerintahkan kepada hamba-Nya melaksanakan hak-hak Allah, maka Allah SWT juga memerintahkan untuk mencari rezeki dan berusaha di muka bumi untuk memakmurkan dan mengembangkannya. Allah SWT berfirman:
هُوَ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ ذَلُولًا فَامْشُوا فِي مَنَاكِبِهَا وَكُلُوا مِن رِّزْقِهِ
Maksudnya: “Dia lah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah.”
(Surah al-Mulk: 15)
- Hadith di atas menunjukkan bahawa pekerjaan yang paling utama adalah pekerjaan seseorang dengan tangannya. Terdapat hadith daripada al-Miqdam R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا أَكَلَ أَحَدٌ طَعَامًا قَطُّ خَيْرًا مِنْ أَنْ يَأْكُلَ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ
Maksudnya: “Tidak ada seorang pun yang memakan makanan yang lebih baik daripada memakan makanan hasil pekerjaan tangannya.”
Riwayat al-Bukhari (2072)
- Hadith di atas juga menunjukkan bahawa perbuatan apa sahaja yang dilakukan oleh seorang Muslim untuk memperbaiki dirinya dan tidak mempedulikan dengan apa-apa yang ada di tangan manusia (yakni merasa cukup), maka ia termasuk pekerjaan-pekerjaan yang baik. Setiap manusia hendaklah bersedia menerima pekerjaan, kemahiran dan jenis industri yang sesuai dengan kemampuan dirinya.
Inilah sepertimana dijelaskan oleh Syeikh Abdullah al-Bassam dalam Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram (4/218-219).
Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H