Soalan:
Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum berwuduk sehingga membazir air? Mohon pencerahan.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”
(Surah al-Isra’: 27)
Ayat ini menunjukkan bahawa berlebih-lebihan dalam membelanjakan harta — dan lain-lain perkara sehingga membazir — merupakan sebahagian daripada hasutan dan godaan syaitan. Justeru jika seseorang itu membazir, maka sebenarnya dia telah mentaati dan mengikuti syaitan. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 368)
Definisi membazir
Membazir didefinisikan sebagai berlebih-lebihan sehingga terbuang.[1] Terdapat sebahagian ulama yang membezakan makna israf (berlebihan) dan membazir, iaitu lafaz israf merujuk kepada penggunaan ke atas sesuatu yang perlu secara berlebihan daripada kadar keperluan. Manakala membazir pula merujuk kepada penggunaan ke atas sesuatu yang tidak perlu. (Lihat al-Ta‘rifat oleh al-Jurjani, hlm. 24)
Berwuduk sehingga membazir air
Mengenai hal ini, pengarang al-Fiqh al-Manhaji menyatakan bahawa menggunakan air secara berlebihan atau membazirkan air termasuk dalam perkara-perkara yang makruh ketika berwuduk. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/60)
Bahkan turut dinukilkan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah (4/180), para ulama telah bersepakat bahawa berlebih-lebihan dalam penggunaan air hukumnya adalah makruh.
Firman Allah SWT:
وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
Maksudnya: “Dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”
(Surah al-A‘raf: 31)
Berlebihan-lebihan bermaksud melampaui had kesederhanaan yang biasa. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/60)
Dalam hadith yang lain, Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّهُ سَيَكُونُ فِى هَذِهِ الأُمَّةِ قَوْمٌ يَعْتَدُونَ فِى الطَّهُورِ وَالدُّعَاءِ
Maksudnya: “Akan ada dalam kalangan umatku golongan yang melampau ketika bersuci dan berdoa.”
Selain itu, terdapat sebuah riwayat daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW melalui suatu kawasan dan melihat Sa‘d sedang berwuduk. Lalu Baginda SAW bersabda:
مَا هَذَا السَّرَفُ. فَقَالَ: أَفِي الْوُضُوءِ إِسْرَافٌ؟ قَالَ: نَعَمْ وَإِنْ كُنْتَ عَلَى نَهَرٍ جَارٍ
Maksudnya: “Kenapakah berlebihan guna air ini?” Maka Sa‘d menjawab: “Adakah pada wuduk juga terdapat berlebihan — yakni melampaui batas sehingga membazir? Baginda menjawab: “Ya, sekalipun kamu berada di sungai yang mengalir.”
Riwayat Ibn Majah (425)
Ini menunjukkan bahawa perbuatan berlebihan menggunakan air ketika berwuduk dilarang oleh Rasulullah SAW, sekalipun kuantiti air itu banyak seperti di laut, sungat dan seumpamanya.
Syeikh Mulla Ali al-Qari menyebutkan bahawa berlebihan dalam berwuduk sama ada dengan menambah lebih daripada tiga kali basuhan atau menambah lebih daripada kadar yang diperlukan dalam penggunaan air. Abdullah bin ‘Amr bertanya mengenai adakah pada wuduk terdapat juga berlebihan — atau melampaui batas — berdasarkan kepada apa yang pernah dikatakan iaitu ‘tidak ada kebaikan pada berlebihan dan tidak ada berlebihan dalam hal kebaikan.’ Justeru, beliau menyangka bahawa tidak ada berlebihan pada hal ketaatan dan ibadah. Lalu Baginda SAW membetulkan semula sangkaan yang tersilap tersebut dengan sabdanya: “Ya, pada hal itu juga ada berlebihan, sekalipun kamu berada di sungai yang mengalir.” Hal ini kerana pada perbuatan itu adanya pembaziran pada waktu dan mensia-siakan umur, atau melampui batas had syar‘i dalam wuduk seperti yang telah disebutkan sebelum ini. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 2/420-421)
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami menyimpulkan bahawa menggunakan air secara berlebihan atau membazirkan air ketika berwuduk, hukumnya adalah makruh. Berdasarkan petunjuk Nabi SAW, di mana Baginda hanyalah berwuduk dengan menggunakan secupak air. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Ibn Jabr bahawa beliau mendengar daripada Anas R.A, katanya:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَغْسِلُ، أَوْ كَانَ يَغْتَسِلُ، بِالصَّاعِ إِلَى خَمْسَةِ أَمْدَادٍ، وَيَتَوَضَّأُ بِالمُدِّ
Maksudnya: “Nabi SAW mandi menggunakan satu gantang air (bersamaan empat hingga lima cupak air), dan Baginda berwuduk dengan menggunakan satu cupak air.”
Riwayat al-Bukhari (201); Muslim (325)
Hal ini kerana sikap berlebihan dan membazir itu bukan daripada budaya Islam, bahkan ia langsung tidak mencerminkan akhlak seorang Muslim yang disifatkan sebagai seorang yang bersederhana dalam setiap keadaan.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahua‘lam.
Bertarikh: 3 Februari 2022 bersamaan 1 Rejab 1443H
[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=membazir.