Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum melakukan bedah siasat atau post mortem ke atas mayat bagi tujuan mengenalpasti sebab kematiannya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu takrifan bedah siasat atau dipanggil juga sebagai post mortem. Bedah siasat atau dalam istilah Bahasa Inggeris disebut post mortem bermaksud suatu pemeriksaan yang dijalankan oleh Pegawai Perubatan Kerajaan ke atas mayat. Ianya melibatkan pemeriksaan luaran dan dalaman untuk mengenalpasti punca kematian dan ciri atau setakat mana perubahan dihasilkan oleh sesuatu penyakit, kimia, radiasi, kemalangan, kecederaan dan lain-lain.

Dalam hal ini, sebahagian besar ahli perubatan memberi takrifan dengan setiap pembedahan yang dilakukan untuk menghasilkan maklumat dan dapatan berkaitan penyakit yang tidak mungkin terhasil dengan cara yang lain. (Lihat Mausu‘ah Tibbiyyah Hadithah, 5/983).

Sebenarnya isu bedah siasat atau post mortem mayat ini termasuk dalam fiqh al-Nawazil iaitu sebahagian daripada permasalah moden dan baru. Guru kami Syeikh Dr. Muhammad bin Muhammad Mukhtar al-Syanqiti menyebutkan: “Aku tidak mendapati dan menemui sebarang nas dalam kalangan ulama fuqaha yang terdahulu berbicara berkenaan dengan keharusan bedah siasat mayat (post mortem) bagi tujuan belajar atau ketidakharusan melakukannya. (Lihat Ahkam al-Jarahah al-Tibbiyyah, hlm. 169).

Seterusnya dalam menjawab soalan di atas, pada asalnya kita dilarang daripada memotong, menghina, menyakiti  dan seumpamanya terhadap mayat. Hal ini adalah sebagaimana firman Allah SWT:

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُمْ مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.

(Surah al-Isra’: 70)

Manusia itu adalah merupakan makhluk ciptaan Allah SWT yang dimuliakan dan dihormati semasa hidupnya mahupun telah pergi meninggalkan dunia ini. Imam Jalaluddin Al-Suyuti dan Imam Jalaluddin Al-Mahalli menyebut bahawa tidak boleh dihinakan mahupun dikotori mayat mereka. (Lihat Tafsir al-Jalalain, 5/108).

Begitu juga, Nabi SAW pernah bersabda:

إنَّ كَسْرَ عَظْمِ الـمُؤمِنِ مَيِّتًا، مِثلُ كَسْرِه حَيًّا

Maksudnya: “Sesungguhnya mematahkan tulang orang beriman yang telah mati seperti mematahkan tulang orang beriman yang masih hidup.

Riwayat Ahmad (24308) dan Abu Daud (3207)

Syeikh al-‘Azim Abadi menukilkan pandangan al-Tibi berkenaan hadith tersebut. Al-Tibi menyebutkan, padanya terdapat isyarat bahawa tidak dihina mayat (orang yang telah mati) sebagaimana dia tidak dihinakan ketika masih hidup. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 9/18).

Selain daripada itu, di sana terdapat resolusi yang dikeluarkan oleh Hai’ah Kibar Ulama berkenaan bedah siasat atau post mortem mayat. Dalam persidangan kesembilan Majlis Hai’ah Kibar Ulama yang diadakan di Taif pada bulan Syaaban tahun 1396 Hijrah telah membincangkan berkenaan prosedur pembedahan perubatan (post mortem) ke atas mayat seorang Muslim, tujuannya adalah untuk maslahah perubatan.

Sehubungan dengan itu, berdasarkan kepada kertas kerja yang telah dibentangkan oleh al-Lajnah al-Da’imah li al-Buhuth al-‘Ilmiyyah wa al-Ifta’ (Jawatankuasa Penyelidikan dan Fatwa),  didapati perkara tersebut boleh dibahagikan kepada tiga bahagian:

Pertama: Bedah siasat untuk tujuan penyiasatan jenayah.

Kedua: Bedah siasat untuk mengesahkan penyakit berjangkit bagi tujuan mengambil langkah-langkah berjaga-jaga yang sesuai untuk mengelakkan penyebarannya.

Ketiga: Bedah siasat untuk tujuan penyelidikan ilmiah dan pendidikan.

Selepas perbincangan dan penelitian terhadap kertas kerja yang dikemukakan oleh jawatankuasa yang disebut di atas, Majlis memutuskan perkara berikut:

Bagi bahagian pertama dan kedua, Majlis berpendapat bahawa membolehkan atau membenarkan dua perkara ini terdapatnya banyak maslahah dan manfaat yang dapat dicapai dari segi bidang keselamatan dan keadilan, dan juga melindungi masyarakat dari penyakit berjangkit dan kerosakan mencabul kehormatan mayat yang dibedah adalah terlindung dalam konteks manfaat umum yang besar. Atas dasar itu, Majlis memutuskan dengan menyatakan persetujuan sepenuhnya bagi membenarkan bedah siasat untuk dua tujuan ini; sama ada jenazah yang di bedah itu jenazah yang terpelihara ataupun tidak.

Manakala bagi bahagian ketiga, iaitu bedah siasat mayat bagi tujuan penyelidikan, dengan melihat kepada Syariah Islamiyyah telah datang bagi mencapai atau mendapatkan maslahah dan memperbanyakkannya, di samping menolak kerosakkan dan mengurangkannya, begitu juga mengambil atau memilih kerosakan yang lebih ringan (antara dua kerosakan) supaya dapat mengelakkan kerosakan yang lebih berat dan besar, begitu juga apabila bertembungnya banyak maslahah yang ingin dicapai maka hendaklah mengambil maslahah yang paling banyak memberi manfaat, di mana bedah siasat ke atas haiwan sudah memadai dan tidak memerlukan lagi kepada bedah siasat ke atas manusia, lebih-lebih lagi dalam bedah siasat ini terdapatnya banyak manfaat yang muncul dalam kemajuan ilmu dalam pelbagai bidang perubatan.

Maka Majlis berpendapat diharuskan bedah siasat ke atas mayat secara umumnya melainkan syariah Islamiyyah memberi perhatian terhadap soal memelihara kehormatan orang Islam yang sudah meninggal dunia sebagaimana perhatian diberikan terhadap kehormatan mereka semasa masih hidup. Hal tersebut adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah daripada riwayat Aisyah R.Anha bahawa Nabi SAW bersabda:

كَسْرُ عَظْمِ  الميت ككسره حيًّا

Maksudnya: “Mematahkan tulang orang yang telah mati seperti mematahkan tulangnya ketika masih hidup.

Justeru, prosedur bedah siasat itu, padanya terdapat penghinaan dan pencabulan ke atas kehormatan mayat itu. Maka, jika terdapatnya keadaan darurat untuk bedah siasat tersebut ternafi disebabkan oleh mudahnya untuk memperolehi atau mendapatkan mayat yang tidak terpelihara — yakni orang kafir. Oleh itu, Majlis berpendapat, cukup dengan bedah siasat ke atas mayat tersebut (yakni yang tidak terpelihara) tanpa melibatkan mayat yang terpelihara — yakni mayat orang Islam.

Begitu juga Majlis al-Majma‘ al-Fiqhi al-Islami li Rabitah al-‘Alam al-Islami dalam mesyuaratnya yang kesepuluh di Makkah al-Mukarramah, bertarikh: Sabtu, 24 Safar 1408 Hijrah bersamaan 17 Oktober 1987 Masihi sehingga Rabu, 28 Safar 1408 Hijrah bersamaan 21 Oktober 1987 Masihi, telah membincangkan mengenai “bedah siasat mayat” dan selepas perbincangan serta saling bertukar-tukar pendapat, mereka telah memutuskan sebagaimana berikut:

Berdasarkan kepada keperluan mendesak (darurat) yang memerlukan kepada bedah siasat mayat, dan dengan membuat pertimbangan di antara bedah siasat tersebut menghasilkan maslahah dan juga menimbulkan kerosakan dari sudut mencabuli kehormatan mayat manusia, Majlis Majma‘ al-Fiqh al-Islami yang bernaung di bawah Rabitah al-‘Alam al-Islami telah memutuskan seperti berikut:

Pertama: Bedah siasat mayat boleh dilakukan untuk salah satu daripada tujuan berikut:

  • Penyiasatan jenayah; untuk mengetahui sebab-sebab kematian atau jenayah yang dilakukan, apabila ada keperluan bagi hakim untuk mengetahui sebab-sebab kematian, dan ternyata bahawa hanya bedah siasat (post mortem) adalah cara untuk mengetahui sebab-sebab tersebut.
  • Pengesahan penyakit yang memerlukan bedah siasat; untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan rawatan yang sesuai untuk penyakit-penyakit tersebut.
  • Tujuan pendidikan dalam bidang perubatan seperti dalam fakulti-fakulti perubatan

Kedua: Dalam bedah siasat mayat untuk tujuan pendidikan, perkara-perkara berikut mesti diambil kira:

  • Jika mayat adalah milik individu tertentu, disyaratkan dia telah memberikan keizinan sebelum kematiannya untuk membenarkan bedah siasat ke atas mayatnya, atau hal itu diizinkan oleh waris-warisnya selepas kematiannya. Begitu juga tidak dibolehkan bedah siasat ke atas mayat yang terpelihara melainkan ketika adanya keperluan yang mendesak.
  • Bedah siasat itu hendaklah dihadkan setakat yang perlu sahaja, supaya mayat itu tidak dipermain-mainkan.
  • Bedah siasat ke atas mayat wanita hanya boleh dilakukan oleh doktor wanita, kecuali jika tidak ada doktor wanita.

Ketiga: Dalam semua keadaan, semua bahagian mayat yang dibedah siasat hendaklah dikebumikan — yakni ditanam.

Kesemua resolusi-resolusi ini adalah sebagaimana disebutkan dan dinukilkan oleh Syeikh Abdullah al-Bassam dalam kitabnya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/233-236).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa bedah siasat atau post mortem ke atas mayat adalah dibolehkan jika adanya keperluan untuk melakukannya seperti penyiasatan jenayah, mengenalpasti sebab kematiannya dan seumpamanya. Sekiranya tidak, bedah siasat ke atas mayat tersebut adalah kembali kepada hukum asalnya iaitu diharamkan.

Perkara ini adalah selari dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-25 yang bersidang pada 13 Disember 1989 telah memutuskan: “Pembedahan mayat orang Islam hanya boleh dilakukan jika keadaan benar-benar memerlukan (darurat) sahaja seperti terlibat di dalam kes-kes jenayah yang sangat memerlukan post mortem atau si mati tertelan benda yang berharga atau si mati yang sedang mengandung sedangkan kandungannya masih hidup.”

Begitu juga Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-61 yang bersidang pada 27 Januari 2004 dalam membincangkan mengenai hukum bedah siasat mayat yang kematian bukan dikategorikan kes jenayah telah memutuskan: “Hukum asal pembedahan mayat adalah haram tetapi dibolehkan sekiranya dalam keadaan darurat dan terdapat keperluan yang mendesak seperti membuat kajian terhadap penyakit, mengenalpasti punca kematian dan penyelidikan serta pendidikan khususnya dalam bidang perubatan.”

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply