Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan mengenai mengawet (embalming) mayat   bagi tujuan tatacara pengendalian keluar/masuk Negara, mayat yang disyaki mempunyai penyakit berjangkit, mereka perlu melalui prosedur embalming. Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu takrifan embalming dan prosedurnya. Ringkasnya, embalming adalah mengawet atau mengabadikan.[1] Dalam erti kata lain ia adalah satu proses bagi menghalang mayat daripada reput dan busuk.[2]

Selanjutnya, secara ringkasnya sebelum proses mengawet dilakukan, mayat akan dibasuh terlebih dahulu dengan cecair disinfektan (bahan penyahjangkit). Anggota-anggota badan akan diurut bagi melonggarkan sendi-sendi dan otot. Mata mayat tersebut akan ditutup dengan sejenis gam atau penutup mata plastik yang akan menahan kelopak mata daripada terbuka.  Darah mayat itu akan dikeluarkan melalui vena (urat darah) dan digantikan dengan cecair formaldehid (sejenis bahan kimia) melalui arteri.  Selepas selesai mengawet arteri, rongga-rongga yang terdapat di badan juga perlu diawet. Satu insisi kecil akan dibuat di bahagian bawah abdomen dan trocar akan dimasukkan ke dalam rongga badan. Kemudian, organ-organ pada bahagian rongga dada dan abdomen akan ditebuk bagi mengeluarkan segala gas dan cecair yang ada. Kemudian, cecair formaldehid pula akan dimasukkan. Proses pengawetan mayat itu dikira selesai sepenuhnya, selepas insisi tersebut ditutup.[3]

Berbalik kepada soalan yang telah ditanyakan, hukum asal mengawet mayat melalui bahan kimia sebagaimana proses yang telah disebutkan adalah haram. Hal ini adalah sebagaimana firman Allah SWT:

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُمْ مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.

(Surah al-Isra’: 70)

Manusia itu adalah merupakan makhluk ciptaan Allah SWT yang dimuliakan dan dihormati semasa hidupnya mahupun telah pergi meninggalkan dunia ini. Imam Jalaluddin Al-Suyuti dan Imam Jalaluddin Al-Mahalli menyebut bahawa tidak boleh dihinakan mahupun dikotori mayat mereka. (Lihat Tafsir al-Jalalain, 5/108).

Begitu juga, Nabi SAW pernah bersabda:

إنَّ كَسْرَ عَظْمِ الـمُؤمِنِ مَيِّتًا، مِثلُ كَسْرِه حَيًّا

Maksudnya: “Sesungguhnya mematahkan tulang orang beriman yang telah mati seperti mematahkan tulang orang beriman yang masih hidup.

Riwayat Ahmad (24308) dan Abu Daud (3207)

Syeikh al-‘Azim Abadi menukilkan pandangan al-Tibi berkenaan hadith tersebut. Al-Tibi menyebutkan, padanya terdapat isyarat bahawa tidak dihina mayat (orang yang telah mati) sebagaimana dia tidak dihinakan ketika masih hidup. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 9/18).

Adapun mengawet mayat atas sebab-sebab yang mendesak seperti mengawal penyakit berjangkit hukumnya adalah harus sebagaimana keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Kali ke-33 yang bersidang pada 11 Oktober 1993.

Hal ini bertepatan dengan kaedah:

 الضَّرُورَاتُ تُبِيحُ الْمَحْظُورَاتِ

Maksudnya: “Perkara yang darurat boleh mengharuskan yang haram.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 84 dan al-Asybah wa al-Naza’ir oleh Ibn Nujaim, hlm. 85)

Begitu juga, Islam telah datang bagi mencegah kemudaratan dan kerosakkan. Apabila berlakunya perkara yang merosakkan (mafsadah), maka wajib ke atas orang Islam itu untuk mencegah kerosakkan tersebut semampu mungkin. Namun, sekiranya dia tidak dapat menolak kesemua kerosakkan tersebut, hendaklah dia menolak kerosakkan yang paling berbahaya dan banyak, dengan harapan kerosakkan tersebut dapat dikurangkan sebanyak mungkin. Demikian juga, sekiranya manusia itu tidak dapat mengelakkan daripada melakukan perkara yang memudaratkan, hendaklah dia memilih mudarat atau kerosakkan yang paling sedikit dan ringan. Perkara ini adalah sebagaimana kaedah:

إِذَا تَعَارَضَتْ مَفْسَدَتَانِ رُوعِيَ أَعْظَمُهُمَا ضَرَرًاً بِارْتِكَابِ أَخَفِّهِمَا

Maksudnya: “Apabila bertembung dua mafsadah, hendaklah menolak mafsadah yang paling besar dengan memilih mafsadah yang paling ringan.” (Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah wa Tatbiqatiha fi al-Mazahib al-Arba‘ah, 1/226).

Oleh itu, dalam hal ini, telah berlaku pertembungan antara dua mafsadah iaitu mengawet mayat dan mengawal penyakit berjangkit. Maka, mengawet mayat tersebut adalah lebih diutamakan bagi mengawal dan menolak kemudaratan yang lebih besar iaitu penularan penyakit berjangkit.

Perkara ini juga adalah sebagaimana garis panduan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia di dalam Standard Precaution yang menyatakan bahawa antara dokumen yang diperlukan untuk urusan keluar masuk Negara bagi mayat yang dijangkiti penyakit berjangkit  ialah sijil embalming, selain daripada garis panduan terhadap keranda dan tempat simpan. (Lihat Standard Precaution, KKM, hlm. 46)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa hukum asal bagi mengawet mayat (embalming) melalui bahan kimia adalah haram kerana ia telah mencabuli kehormatan mayat. Sedangkan manusia ialah makhluk ciptaan Allah SWT yang dimuliakan semasa masih hidup mahukan setelah meninggal dunia.

Sekalipun begitu, apabila terdapatnya sebab-sebab yang mendesak dan jjjkeadaan darurat untuk mengawet mayat seperti bagi tujuan untuk mengawal penyakit berjangkit maka ketika itu kami berpendapat bahawa hukumnya adalah diharuskan sebagaimana keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Kali ke-33 yang bersidang pada 11 Oktober 1993. Ini kerana menolak kemudaratan yang lebih besar iaitu penularan penyakit berjangkit adalah lebih utama berbanding meninggalkan embalming (mengawet) mayat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

[1] Lihat http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=embalm&d=139128&#LIHATSINI. Diakses pada 28 Januari 2020.

[2] Lihat https://www.merriam-webster.com/dictionary/embalming?utm_campaign=sd&utm_medium=serp&utm_source=jsonld. Diakses pada 28 Januari 2020.

[3] Lihat https://basicfunerals.ca/funeral-industry/the-embalming-process/. Diakses pada 28 Januari 2020.

Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply