Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Jika seseorang itu mengintai atau menghendap orang lain, kemudian terkena balingan batu sehingga buta matanya. Adakah dia layak mendapat diyah?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Menghendap didefinisikan menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat merujuk kepada perbuatan merendahkan diri, membong­kok dan sebagainya, atau menyembunyikan diri (me­nyorok) supaya tidak kelihatan, dengan maksud hendak mengintai, menangkap, dan sebagainya.

Dalam konteks persoalan yang diajukan oleh saudara, ia lebih tertumpu kepada perbuatan menghendap menyembunyikan diri (me­nyorok) supaya tidak kelihatan, dengan maksud hendak mengintai.

Berbalik kepada persoalan yang saudara utarakan, kami katakan bahawa peristiwa ini pernah disebutkan oleh Rasulullah SAW. Ini sebagaimana dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَوْ أَنَّ امْرَأً اطَّلَعَ عَلَيْكَ بِغَيْرِ إِذْنٍ فَخَذَفْتَهُ بِعَصَاةٍ فَفَقَأْتَ عَيْنَهُ، لَمْ يَكُنْ عَلَيْكَ جُنَاحٌ

Maksudnya: “Seandainya seseorang mengintipmu tanpa izin, lalu kamu melontarnya dengan batu kecil sehingga mencederakan matanya, maka tidak ada dosa bagimu.”

Riwayat al-Bukhari (6902) dan Muslim (2158)

Berdasarkan hadith di atas, jelas bahawa haram untuk seseorang melihat ke dalam rumah orang lain. Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam berkata, haram tengok ke dalam rumah orang, sama ada dari tempat tinggi seperti menara, atau rumah bertingkat dan sebagainya. Ini kerana perbuatan tersebut seperti melihat aurat orang lain, terutamanya perempuan. Ia umpama membuka privasi mereka, maka ianya haram dan ditegah.

Sesiapa yang menghendap rumah orang lain tanpa izinnya, maka telah hilang kehormatannya, dan juga hilang pandangannya. Jika tuan rumah tersebut menghambatnya dengan kayu, mencungkil matanya, maka tuan rumah itu tidak berdosa dan tidak dikenakan ke atasnya qisas atau diyah. Ini kerana tuan rumah mempunyai hak untuk mempertahankan dirinya, dan apa yang dilakukan atas dasar keizinan, maka tidak dipertanggungjawabkan untuk memberi jaminan. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 6/200)

Hadith ini juga menunjukkan keharusan seseorang itu untuk membaling sesuatu kepada orang yang menghendap sebelum memberikan sebarang amaran. Ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, katanya:

أَنَّ رَجُلًا اطَّلَعَ مِنْ بَعْضِ حُجَرِ النَّبِيِّ ﷺ، فَقَامَ إِلَيْهِ النَّبِيُّ ﷺ بِمِشْقَصٍ، أَوْ: بِمَشَاقِصَ، فَكَأَنِّي أَنْظُرُ إِلَيْهِ يَخْتِلُ الرَّجُلَ لِيَطْعُنَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya ada seorang lelaki pernah mengintai ke dalam sebahagian bilik Nabi SAW, maka Nabi SAW berdiri menghampirinya dengan membawa mata anak panah – atau kata perawi: beberapa mata anak panah. Aku seakan-akan masih melihat Baginda berjalan perlahan-lahan kepada lelaki tersebut untuk menusuk matanya.”

Riwayat al-Bukhari (6242) dan Muslim (2157)

Jika sekiranya perbuatan mencederakan mata mereka yang menghendap atau mengintai ke rumah seseorang itu dilarang dan wajib dikenakan qisas atau diyah, tidak mungkin Rasulullah SAW sendiri bertindak melakukan perbuatan tersebut.

Kami menasihatkan agar kita menjaga penglihatan kita dari melihat perkara yang dilarang Allah SWT, antaranya adalah melihat kepada aurat orang lain. Ingatlah firman Allah SWT:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ ‎﴿٣٠﴾‏ وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka.”

(Surah al-Nur: 30-31)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِي وَدُنْيَايَ وَأَهْلِي وَمَالِي، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي وَآمِنْ رَوْعَاتِي، اللَّهُمَّ احْفَظْنِي مِنْ بَيْنِ يَدَيَّ وَمِنْ خَلْفِي وَعَنْ يَمِينِي وَعَنْ شِمَالِي وَمِنْ فَوْقِي، وَأَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِي

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan hartaku. Ya Allah, tutupilah aibku dan berilah ketenteraman di hatiku. Ya Allah, jagalah aku dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atasku. Aku memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawahku.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply