Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah dalam Islam dilarang kita makan berlebihan bahkan hanya disuruh ⅓ sahaja? Bagaimana pendapat ulama serta pakar dalam bidang ini?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Miqdam bin Ma’di Karib RA, beliau berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَا مَلَأَ آدَمِيٌّ وِعَاءً شَرًّا مِنْ بَطْنٍ، بِحَسْبِ ابْنِ آدَمَ أَكَلَاتٌ يُقِمْنَ صُلْبَهُ، فَإِنْ كَانَ لَا مَحَالَةَ، فَثُلُثٌ لِطَعَامِهِ، وَثُلُثٌ لِشَرَابِهِ، وَثُلُثٌ لِنَفَسِهِ

Maksudnya: “Tidaklah seorang anak Adam memenuhi satu tempat yang lebih teruk dari (memenuhi) perutnya. Cukuplah bagi anak Adam makanan yang boleh menegakkan tulang belakangnya, jika boleh (lebih dari itu) maka sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumnya dan sepertiga untuk nafasnya.”

Riwayat Ahmad (4/132), al-Tirmizi (2380), al-Nasaie (6769) (6770) dan Ibn Majah (3349). Al-Tirmizi berkata hadis ini hasan

Daripada hadis ini ramai ulama memberi pandangan antaranya:

  • Al-Haris bin Kaladah (pakar perubatan Arab) berkata: “Mengisi perut secara berlebihan merupakan punca utama penyakit.”
  • Al-Hasan berkata: “Hai anak Adam makanlah dengan memenuhi satu pertiga perutmu dan minumlah satu pertiga serta berilah ruang satu pertiga untuk perutmu bernafas supaya kamu dapat berfikir.”

Hadyu al-Nabawi dan Istifadah Hadis:

  • Umar al-Khattab berkata: “Jauhilah dari membesarkan perut (makan banyak) sesungguhnya ia akan memudharatkan jasad, datangnya penyakit, bermalasan dalam solat. Hendaklah kamu berusaha menjauhinya (makan banyak) kerana dengannya (kurang makan) akan menyihatkan jasad, dan menjauhkan dari sifat melampau. Dan Sesungguhnya Allah tidak suka kepada para rahib gereja dan orang yang gemuk (disebabkan makan).”
  • Seorang doktor perubatan dari Amerika Syarikat telah memeluk Islam. Apabila ditanya sebab beliau memeluk Islam, beliau menjawab: “Aku memeluk Islam kerana satu hadis dan kerana satu ayat al-Quran.” Mereka bertanya: “Apa hadisnya?” Doktor perubatan tersebut menjawab: “Iaitu hadis yang disabdakan Nabi SAW: “Cukuplah bagi anak Adam makanan yang boleh menegakkan tulang belakangnya, jika boleh (lebih dari itu) maka sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumnya dan sepertiga untuk nafasnya.” Beliau berkata: “Ini adalah asas kepada perubatan, kalau semua manusia melakukan sepertimana hadis ini, maka tiada seorang yang akan ditimpa penyakit.” (Lihat al-‘Itidal di al-Tha’am, Maqalah al-‘Ijaz fi al-Sunnah al-Nabawiyyah, Ahmad Nawwaf al-Mawwas)
  • Pernah berlaku hiwar iaitu dialog antara seorang doktor perubatan dari German dan seorang wartawan muslim di satu hospital, doktor German tersebut telah menanyakan soalan kepada wartawan muslim tersebut dengan soalan: “Apakah sebab mundur dan terkebelakangnya umat Islam dalam ketamadunan dan kebangkitan ilmu? Wartawan muslim menjawab: “Sudah tentu disebabkan identiti (status) dengan makna bahawa yang menyebabkan kemunduran ketamadunan dan kebangkitan ilmu ialah disebabkan identiti Islam. Maka doktor German tersebut memegang tangan wartawan muslim tersebut dan membawanya ke dinding untuk menunjukkan kepadanya satu gambar poster yang digantung di dinding tersebut. Maka doktor tersebut berkata: “Bacalah apa yang tertulis di gambar tersebut, di situ terdapat hadis yang mulia yang diungkapkan Nabi SAW: “Tidaklah seorang anak Adam memenuhi satu tempat yang lebih teruk dari (memenuhi) perutnya. Cukuplah bagi anak Adam makanan yang boleh menegakkan tulang belakangnya, jika boleh (lebih dari itu) maka sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumnya dan sepertiga untuk nafasnya.” Dan pada akhir ungkapan tersebut di ditulis nama orang yang mengungkapkan ungkapan tersebut dengan nama Muhammmad bin Abdullah. Maka doktor tersebut berkata kepada wartawan muslim: “kamu kenalkan siapa ini? Wartawan muslim menjawab: “Ya. Dia adalah Nabi kami.” Maka doktor German itu berkata: “Nabi kamu mengungkapkan sesuatu perkataan yang sangat agung. Akan tetapi kamu berkata Islam bahawa Islam adalah penyebab kepada kemunduran dan keterbelakangnya ketamadunan dan kebangkitan ilmu. Akhirnya doktor German tersebut mengakhiri bicara dengan ungkapan: “Maaflah (dengan nada yang kecewa), sesungguhnya jasad Muhammad di sisi kamu akan tetapi ilmunya (pengajarannya) di sisi kami.” (Lihat Al-Kafi Syarah Hadis 40, hlm. 503-507)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply