Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bagaimanakah sudut pandang Islam bagi orang yang memperbanyakkan meminum air? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya:Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang berfikir.

(Surah al-Jathiyah: 13)

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT telah menundukkan untuk kamu semua segala apa yang ada di langit yang terdiri daripada matahari, bulan dan bintang, serta segala apa yang ada di bumi yang terdiri daripada haiwan-haiwan (makanan dan pengangkutan darat), tumbuh-tumbuhan, kapal dan lain-lain, untuk manfaat buat kamu semua. Kesemua nikmat-nikmat ini adalah merupakan pemberian daripada Allah semata-mata, Dia memberikan perkara-perkara tersebut kepada kamu sebagai nikmat-Nya dan juga kurniaan-Nya. Maka hendaklah kepada-Nya sahaja kamu menyembah (yakni beribadah) dan jangan sekali-kali kamu menjadikan bagi-Nya sekutu. Sesungguhnya pada apa yang telah Dia tundukkan buat kamu itu ada mengandungi tanda-tanda dan bukti-bukti yang menunjukkan kepada keesaan-Nya, bagi mereka yang merenung (yakni berfikir) akan ayat-ayat Allah (tanda-tanda kekuasaan-Nya) serta hujah-hujah dan dalil-dalil-Nya lalu mereka mengambil pengajaran daripadanya. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 499).

Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa pada asalnya hukum meminum air adalah diharuskan dan ini termasuk dalam perkara yang sudah dimaklumi. Bahkan ia bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ.

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Begitu juga dengan kaedah fiqh yang dipersetujui para ulama:

الأَصْلُ فِي الأَطْعِمَةِ الْحِلُّ، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ

Maksudnya:Hukum asal bagi makanan (dan juga minuman) adalah halal dan hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125).

Seterusnya, sekalipun pada asalnya ia diharuskan, namun jika berlebih-lebihan meminumnya sehingga merosakkan badan, maka ia menjadi haram kerana seseorang tidak dibenarkan untuk menyebabkan kerosakan kepada diri sendiri mahupun kepada orang lain. Demikianlah juga kita tidak dibenarkan untuk membazir. Ini adalah sebagaimana firman Allah SWT:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ

Maksudnya: “Dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”

(Surah al-A‘raf: 31)

Menurut Syeikh al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat di atas, beliau menyebutkan, hal tersebut merujuk kepada perbuatan berlebih-lebihan. Ia boleh berlaku dengan beberapa cara, seperti makan atau minum berlebihan hingga membahayakan tubuh, kemewahan dan pemborosan dalam makanan, minuman, dan pakaian, atau melampaui batasan halal sehingga membawa kepada haram.

Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas kerana ia boleh membawa kepada membahayakan tubuh badan dan kehidupan manusia. Bahkan boleh menyebabkan ketidakmampuan untuk memberi nafkah. Justeru, ayat ini mengandungi perintah untuk makan dan minum, di samping larangan untuk meninggalkannya serta larangan berlebih-lebihan padanya. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/287)

Tambahan lagi, larangan daripada memudaratkan diri ini selari sebagaimana firman Allah SWT:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya:Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan.”

(Surah al-Baqarah: 195)

Ayat di atas bermaksud janganlah kamu menyerahkan diri kepada hal-hal yang menyebabkan kebinasaan, akan tetapi lakukanlah untuk diri kamu sebab-sebab yang boleh membawa kepada keselamatan. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 38). Tambahan lagi, agama Islam selalu mengingatkan penganutnya agar menjauhi semua perkara yang boleh memudaratkan diri. Kaedah ada menyebutkan bahawa:

وَالْأَصْلُ فِي الْمَضَارِّ الْحُرْمَةُ

Maksudnya:Hukum asal pada setiap sesuatu yang memudaratkan adalah haram.” (Lihat Mafatih al-Ghaib, 15/381).

Begitu juga pembaziran atau pemborosan merupakan sifat yang tergolong dalam sifat berlebih-Iebihan atau melampaui batas. Sifat ini keji dan mendapat larangan keras daripada Allah sebagaimana firman-Nya:

وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا (٢٦﴾‏ إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا

Maksudnya: “Janganlah kamu membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

(Surah al-Isra’: 26-27)

Ibn Kathir dalam tafsirnya menyebutkan, maksud saudara syaitan adalah seperti menyerupai sifat mereka — yakni yang suka membazir dan boros. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/48).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”

Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply