Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Ada pelajar di sekolah saya bergaduh, kemudian salah seorang menggigit kawannya di tangan. Kawan yang digigit itu kemudian menyentap tangannya sehingga menyebabkan gigi pelajar itu tercabut. Adakah pelajar yang menarik tangannya ini perlu dikenakan sebarang hukuman kerana mengakibatkan kawannya kehilangan gigi?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya: “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

(Surah al-Hujurat: 10)

Syeikh al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Persaudaraan merupakan satu ikatan yang mana Allah SWT telah mengikatnya di antara orang-orang yang beriman. Sekiranya kita mendapati sesiapa sahaja sama ada dari timur atau barat yang beriman kepada Allah, para malaikat, kitab-kitab, para rasul, hari Akhirat maka dia adalah saudara kepada orang yang beriman. Di samping itu juga, persaudaraan ini juga mewajibkan orang beriman untuk menyayanginya sepertimana mereka menyayangi diri mereka sendiri atau sebaliknya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, 800)

Ayat di atas menunjukkan kepada kita betapa pentingnya mendamaikan dua orang yang bertelingkah kerana muslim itu adalah bersaudara. Pertelingkahan sesama muslim boleh membawa kepada  perpecahan dan putusnya tali persaudaraan yang terbina. Oleh yang demikian wajib ke atas setiap muslim menjaga tali persaudaraan agar tidak berlaku perpecahan yang merugikan kita jua.

Dalam menjawab soalan di atas, kami mengatakan bahawa orang yang diserang oleh orang lain dengan apa jua cara sekalipun, seperti gigitan pada tubuh atau seumpamanya, maka dia berhaq untuk mempertahankan dirinya dengan segala usaha yang termampu.

Diriwayatkan daripada ‘Imran bin Husain R.A, katanya:

أَنَّ رَجُلًا عَضَّ يَدَ رَجُلٍ، فَنَزَعَ يَدَهُ مِنْ فَمِهِ، فَوَقَعَتْ ثَنِيَّتَاهُ، فَاخْتَصَمُوا إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَعَضُّ أَحَدُكُمْ أَخَاهُ كَمَا يَعَضُّ الفَحْلُ؟ لاَ دِيَةَ لَكَ

Maksudnya: “Seorang lelaki telah menggigit tangan lelaki yang lain, lalu lelaki yang digigit itu menarik tangannya daripada mulutnya (orang yang menggigitnya) sehingga dua gigi depannya tercabut. Lalu mereka mengadukan masalah itu kepada Nabi SAW, maka Baginda bersabda: ‘Salah seorang daripada kamu menggigit saudaranya seperti unta jantan menggigit? Tidak ada diyah bagi kamu’.”

Riwayat al-Bukhari (6892) dan Muslim (1673)

Imam Ibn Daqiq al-‘Aid menyebutkan, Imam al-Syafi‘i mengambil hadith ini secara zahirnya, maka beliau tidak mewajibkan ganti rugi pada keadaan seorang lelaki menggigit seorang yang lain, lalu orang yang digigit menyentap tangannya sehingga gugur gigi orang yang menggigit. Hal ini sekiranya dia tidak mampu membebaskan gigitan tersebut dari tangannya dengan cara yang lebih mudah berdasarkan kemampuannya, seperti membuka atau memukul  rahangnya supaya dia melepaskan tangannya. Dalam keadaan ini, jika gugur keseluruhan atau sebahagian gigi orang itu, mangsa ini tidak dikenakan ganti rugi. (Lihat Ihkam al-Ahkam, 2/233)

Imam Ibn Hajar al- ‘Asqalani menyebutkan, sabda Rasulullah SAW (لاَ دِيَةَ لَكَ), dalam riwayat yang lain disebutkan Baginda menggugurkan hukuman dari lelaki yang digigit itu. Dalam riwayat lain dari Imam Muslim, Rasulullah SAW bersabda:

ما تَأْمُرُنِي؟ تَأْمُرُنِي أَنْ آمُرَهُ أَنْ يَدَعَ يَدَهُ في فِيكَ تَقْضَمُها كما يَقْضَمُ الفَحْلُ؟ ادْفَعْ يَدَكَ حتّى يَعَضَّها، ثُمَّ انْتَزِعْها؟

Maksudnya: “Apa yang engkau hendak aku lakukan? Engkau ingin menyuruhku memerintahkannya agar membiarkan tangannya di mulutmu dan engkau mengunyahnya sepertimana unta jantan mengunyah? Engkau hulurkan tanganmu supaya dia menggigitnya, lalu engkau menyentap tanganmu?”

Riwayat Muslim (1674)

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani  juga menyebutkan, jumhur ulama’ telah mengambil zahir hadith ini seraya berkata, tidak diwajibkan ke atas orang yang digigit hukuman qisas atau membayar diyah kerana orang yang menggigit ini dihukumkan seperti orang yang menyerang. Ulama’ juga berhujjah dengan ijma‘ bahawa sesiapa yang menghunuskan senjata ke arah orang lain untuk membunuhnya, kemudian orang yang dihunuskan senjata itu bertindak mempertahankan dirinya sehingga terbunuhnya orang yang menghunuskan senjata itu, maka pembunuh ini tidak dikenakan apa-apa hukuman. Begitu juga orang yang digigit, tidak dikenakan hukuman ganti rugi kerana dia mempertahankan diri dari gigitan tersebut. (Lihat Fath al-Bari, 12/221-222)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada perbincangan di atas, dapat difahami bahawa pelajar yang menyentap tangannya dari gigitan kawannya itu tidak diwajibkan ke atasnya apa-apa balasan, sama ada qisas atau diyah. Hal ini kerana pelajar itu berada pada kedudukan seseorang yang sedang mempertahankan dirinya daripada kekal disakiti.

Sebagai seorang muslim, kita diberi tanggungjawab untuk mendamaikan dua pihak yang sedang bertelingkah dan meneruskan silaturrahim, sejajar dengan nilai-nilai keharmonian yang digalakkan dalam agama Islam. Ini adalah satu langkah penting dalam memelihara hubungan dan kasih sayang dalam kalangan umat Islam, serta memastikan bahawa hubungan sesama muslim kekal kukuh dan saling membantu satu sama lain dalam kehidupan dunia dan akhirat.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 30 Oktober 2023 bersamaan 15 Rabiulakhir 1445 H

Leave a Reply